Skip to content

Menziarahi Ilmuan Islam: Prof Wan Mohd Nor

May 25, 2010

Pertemuan dengan prof Wan Mohd Nor Wan daud sememangnya memberikan satu pengalaman berharga pada diri saya. Selama ini buah fikiran dan gagasannya difahami melalui karya-karyanya seperti ‘Budaya Ilmu: Satu Penjelasan’, ‘Pembangunan Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Yang Baru’, dan juga ‘Falsafah dan Praktis Pendidikan Islam Syed Muhammad Naquib Al-Attas’.

Karya-karya tersebut merupakan antara karya yang sangat menyumbang kepada arah-bentuk pemikiran saya untuk lebih memahami pemikiran Prof S. M. N. Al-Attas, terhadap suasana dunia yang berlaku pada masa kini, khususnya memahami permasalahan yang berlaku terhadap umat Islam dan cara bagaimana untuk menyelesaikkannya.

Pada saya, Doktor falsafah dalam bidang Falsafah Pendidikan ini mempunyai martabat tersendiri disamping para ilmuan islam yang lain. Martabat yang dimaksudkan bukan pada Phd yang diperolehinya, tetapi pada ilmu yang ada dalam dirinya untuk digali oleh anak-anak muda zaman kini sebagai salah satu bekalan menuju ke Akhirat.

Cadangan asal datang ke rumah beliau, seperti yang dimaklumkan abang Hilmi, adalah untuk mengemas perpustakaan beliau dan ingin mengambil buku-buku yang menurut prof, “perpustakaannya itu sudah tidak mampu menampung buku-buku yang ada”. Namun, setelah tiba, rupanya prof sudah mengemas dan buku-buku yang hendak diagih-agihkan sudah tersedia di suatu sudut.

Masa yang ada sekitar 2 jam setengah, digunakan oleh kami berempat (Abang Hilmi, Akh Wan Fayhsal, Akh Ikhwan dan saya) untuk menadah ilmu dari prof dengan melakukan perbincangan di perpustakaan/ bilik bacaan  beliau.

Suasana bilik bacaan yang sangat menaikkan semangat untuk menuntut ilmu, turut memberi rangsangan untuk saya juga memiliki perpustakaan atau bilik bacaan sedemikian rupa.

Perbincangan yang berlaku sangat luas, tetapi merupakan perihal yang berkait rapat dengan masalah-masalah fundamental ummah, iaitu berkaitan dengan masalah ilmu iluminasi (ma’rifatullah) dan juga ilmu pengetahuan.

Beberapa potong hadis berkaitan dengan hubungkait antara golongan ‘abid dan ‘Alim turut diperjelaskan dengan satu pandangan sisi yang membuatkan hadith tersebut sarat dengan unsur-unsur tasawuf yang dapat membina keperibadian individu Muslim.

Turut dibincangkan, walau secara tidak mendalam, adalah berkaitan dengan ilmu Kalam, yang dibangkitkan oleh Akh Ikhwan.

Dalam pertemuan tersebut, saya ada bertanyakan beberapa soalan yang sebenarnya berkenaan dengan diri saya sendiri serta hubung kaitnya dengan ilmu.

Banyak peringatan dan nasihat yang prof kongsikan kepada kami sesuai dengan keadaan kami selaku anak muda yang sentiasa dahagakan ilmu dan nasihat oleh para ilmuan.

Pertemuan kali pertama ini saya anggap sebagai pertemuan mukaddimah untuk saya terus memberi fokus dalam bidang penggalian ilmu yang saya amat sayangi dan ‘mabuk’ dibuatnya ini.

Tiada kemanisan lain selain dari kemanisan dapat mengenal Allah swt melalui sebahagian daripada ilmu-ilmunya yang terzahir dari kejadian alam ini dan juga melalui Kitabullah yang sempurna isi kandungannya. Sesungguhnya ilmu-ilmuNya amat luas dan tidak bertepi.

Tanggungjawab kita hidup di dunia ini pula adalah untuk menemukan semula diri dengan Allah swt, melalui tanda-tanda KewujudanNya yang dipamerkanNya di dunia fana ini.

Ilmu adalah Amanah, bukannya kuasa.

2 Comments leave one →
  1. May 25, 2010 3:40 pm

    huhu, sedeyny xleh join aritu ade program=(

  2. November 6, 2010 3:08 pm

    salam, saya hanya mengenali Prof Wan melalui pembacaan, beruntunglah kerana dapat bersua muka dengan beliau

Leave a comment