Skip to content

Perlu berperang?

November 14, 2010
tags:

14 Nov 2010:

Proses mahu memahami hikmah prof Al-Attas diteruskan lagi sejak awal pagi tadi. Prolegomena, bahagian ‘introduction’, dibaca perlahan-lahan. iaitu berkaitan dengan takrifan Pandangan alam Islam (worldview of Islam). Prof Al-Attas menjelaskan bahawa Pandangan Alam Islam tidak boleh ditakrifkan sebagai Nazrat al islam li al-kawn, kerana makna nazrat itu sendiri merujuk kepada proses spekulasi akal atau falsafah dalam mencari kebenaran.

Oleh itu, Prof al-Attas menyarankan penggunaan ‘ru’yat al Islam li al-wujud’ sebagai perkataan yang sesuai dalam bahasa arab.

Selepas itu, aku membuka buku 55 Petua Orang Berjaya, karya Dr Fadzilah Kamsah dan Tn Hj Ahmad Fadzli Yusof. Latihan untuk mengetahui cara untuk menjejaki masa yang telah digunakan seharian. Sebabnya, selalu ramai orang tidak sedar, ke mana mereka menghabiskan masa mereka berlalu. Saranannya ialah, sediakan satu buku log dan catat apa yang dilakukan bagi setiap 15 minit. Tidak perlu dibuat setiap hari, cukup menjadikan 2 hari bekerja dan 1 hari cuti sebagai sampel untuk bermuhasabah.

Meja kemas yang baru di atur malam tadi, memang sangat membantu memberikan aku keselesaan dalam membaca buku.

Mesyuarat tengah tadi berjalan dengan lancar. Ketika makan tengah hari, abang Fadzli berkongsi tentang peperangan yang berlaku antara Korea Selatan dan Korea Utara. Juga anggapan bahawa kemungkinan boleh dikatakan peperangan antara Korea Selatan dan Korea Utara sebagai perang dunia ke-3. Menarik

Dan yang lebih menarik ialah berkenaan dengan peperangan yang dianggap sebagai medium terbentuknya teknologi-teknologi moden masa kini. Maknanya, seolah-olah, jika tiada peperangan, banyak teknologi masa kini tidak akan tercipta.

Ketika itu, timbul persoalan, adakah peperangan menjadi satu keperluan? Aku tidak rasa begitu. Ia mungkin boleh dianggap sebagai asbab tercetusnya teknologi-teknologi moden, tetapi dari segi etika, ia sangat bertentangan dengan tujuan kehidupan manusia. bahkan, teknologi masa kini juga berpotensi menyumbang kepada perkara yang menyalahi tujuan penciptaan manusia.

Ini membuatkan aku teringat perumpamaan Prof al-Attas perihal perumpamaan beliau tentang teknologi dan kepentingan pendidikan ke atas manusia. Pisau itu adalah objek. Yang mampu menjadi pembantu di dapur untuk mempermudahkan urusan, dan mampu juga menjadi alat yang berbahaya bila digunakan untuk membunuh manusia.

Iya, persoalannya adalah pada manusia. Nilai baik dan hidup beragama yang menjadi fokus untuk dibangunkan dalam diri manusia.

Aku tahu, ini masih belum betul-betul membincangkan hal tersebut. Moga satu hari nanti, aku dapat menjawab persoalan ini secara tuntas. Amin.

No comments yet

Leave a comment