Skip to content

Baca Lambat Atau Cepat?

September 23, 2010

Semalam, waktu pulang dari Mid Velley bersama Rahimi, saya membaca satu rencana yang sangat bermanfaat. Rasa tidak puas sekiranya manfaat ini tidak saya kongsikan bersama pembaca sekalian.

Oleh: Aidil Khalid*

Sebelum saya membaca pengalaman kreatif Sasterawan Negara Datuk (Dr) A Samad Said (Pak Samad) yang ditulisnya sendiri bertajuk Dari Salina Ke Langit Petang, saya selalu merasakan bahawa kadar pembacaan saya yang begitu lembab adalah satu kelemahan.

Kalau biasanya buku yang berketebalan 100-200 muka boleh dihabiskan orang dalam masa kurang lebih tiga atau empat jam, saya perlu mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari sebelum mampu mengkhatamkannya. Saya pernah bertanya kepada seorang rakan yang begitu pantas membaca. Buku setebal 600 halaman dihabiskannya dalam tempoh satu malam sahaja. Jawabnya, “Aku baca sekali lalu. ASebab itu cepat.Selepas itu biasanya aku akan ulang-ulang membacanya banyak kali.”

Dari situ saya dapat melihat perbezaan antara saya dengan dia. Saya membaca begitu lembab seperti kura-kura. Namun setelah selesai membacanya, saya tidak akan mengulang baca kembali sekurang-kurangnya buat beberapa tahun kerana dalam tempoh pembacaan itu, saya membaca berulang kali beberapa ayat dan perfenggan sebelum meneruskan ke perenggan yang berikutnya.

Natijahnya, untuk menghabiskan sekurang-kurangnya sebuah buku seminggu, saya perlu menghabiskan banyak masa ‘berkurung’. Alangkah jimatnya waktu saya sekiranya dapat membaca dengan kadar yang cepat seperti orang lain.

Setelah membaca gaya pembacaan Sasterawan Negara kita yang keempat, ternyata pembacaan yang lambat tidak semestinya satu kelemahan.Malah boleh juga jadi satu kelebihan. Pak Samad mengatakan:

“Memang sejak dahulu lagi cara pembacaan saya amat lambat.Saya tidak membiarkan naluri ingin tahu yang melonjak-lonjak mengganggu kenikmatan saya ‘melihat’ atau ‘merasa’ sesuatu pemandangan atau beberapa potongan dialog. Saya sedia membaca berulang kali pelukisan sesuatu tempat itu hingga membiarkan perjalanan cerita tersekat atau terbeku beberapa ketika. Saya mengambil masa yang cepat untuk membaca 3 suku bahagian novel Jaws, tetapi sehingga sekarang – hampir setahun belum lagi menyelesaikan kesudahan kisah Jaws itu.”

Pak Samad menyambung lagi:

“Satu lagi kecenderungan saya sewaktu membaca ialah menyalin semula bahagian-bahagian yang menarik hati saya, khususnya bahagian pelukisan atau pewarnaan tempat, watak dan keadaan, apabila saya menyalin semula bahagian-bahagian yang menarik daripada buku itu, saya lebih ingin mengingatkan pemandangan-pemandangan, watak-watak dan sesuatu keadaan atau iklim dalam sesebuah novel.”

Dan menurut Pak Samad, kecenderungannya yang begitu teliti dalam membaca sehingga proses membacanya menjadi lambat ternyata telah membentuk peribadinya sebagai seorang sasterawan yang begitu teliti dalam melukis cerita:

“Kecenderungan ini, akhirnya membentuk saya menjadi seorang yang terlalu perihatin,” kata sesetengah pengkritik; terlalu melukiskan benda kecil sedekat-dekatnya.”

Bagi saya kadar pembacaan adalah bergantung kepada keperibadian masing-masing. Baca lambat atau baca cepat, itu bukan persoalannya. Yang lebih penting bagaimana kita memanfaatkan gaya pembacaan itu agar menyebelahi kita tidak kira pembacaan lambat atau cepat.

Tokoh sasterawan klasik, William Shakespeare misalnya dikatakan mempunyai gaya pembacaan yang sama sekali bercanggah dengan gaya Pak Samad. Shakespeare membaca dengan kadar yang sangat cepat. Misalnya, andai dia membaca sebuah kisah sejarah, dia akan membacanya sekali lalu sahaja. Dia tidak ambil pusing soal fakta sejarahnya atau yang lain-lain. Yang diutamakan adalah watak-watak dalam kisah tersebut.

Dan setelah habis membacanya sekali lalu, dia akan mencapai pen dan kertas, lalu menghidupkan kembali watak-watak yang dibacanya tadi oleh imiginasinya sendiri.

Peter Ackroyd menulis dalam Shakespeare: the Biography:

“This suggest one method by which he worked. He took up a copy of Fasti, read it quickly, and then put it down without further reference to it. He needed only the raw materials to excite his imagination.. The history is not, however, what interest the poet. Shakespeare concerned with the play of feeling between the two protagonists, as Taruin prepares himself to rape the lad and then, after the deed, slink it away…”

Nah! akhirnya, membaca lambat atau tidak, ada kelemahan dan kebaikkannya. Terserah bagaimana kita mencerna dan memanfaatkannya.

*Aidil Khalid merupakan pelajar undang-undang UiTM Shah Alam dan turut bergiat aktif dalam penulisan puisi, cerpen atau novel.

2 Comments leave one →
  1. alida permalink
    September 24, 2010 12:24 am

    emm menarik…..tgk buku jgk kalau nk bc lambat atau cpt tp klu time exam dlu 1 hari pun ble abih bc…hehe…

    • Aliff Bin Basri permalink*
      September 24, 2010 6:10 pm

      hehe…betul tu,alida… memang kena baca cepat, kalau tidak terngangalah jawabnya di dewan peperiksaan..hehe

Leave a comment