Skip to content

Semakin Canggih, Semakin Kabur Tujuan Hidup

October 30, 2010

Semakin canggih kehidupan masa kini, semakin kabur tujuan perjalanan hidup.

Frasa ini saya perolehi dalam buku “Pembangunan di Malaysia: Ke arah Satu Kefahaman Yang Baru”, karya Prof Wan Mohd Nor. Beliau mengambil frasa ayat ini daripada karya William Leiss berjudul The Domination of Nature.

Sudah beberapa kali saya mengulangi frasa ini, sejak setahun yang lepas, baru saya dapat memahaminya dengan lebih baik berbanding hari-hari sebelum ini, ketika membacanya berulang kali.

Tiada siapa dapat nafikan, kecanggihan hidup kita sebagai manusia pada hari ini, adalah sesuatu yang mengkagumkan. Menjadi satu kebodohan bagi sesiapa yang bersikap menolak kecanggihan teknologi pada hari ini.

Jika dahulu, proses Revolusi Perindustrian mengambil masa beratus tahun untuk mencapai kemuncaknya, pada hari ini, zaman yang dikenal sebagai Revolusi Informasi, tidak mengambil masa yang lama untuk terus memuncak. Bilang sahaja dengan jari, sekitar tahun berapa komputer dan internet menjadi keperluan manusia? Dan sehingga kini, berapa lama pula mana sesuatu maklumat itu dapat dicapai?

Sungguh, kecanggihan teknologi pada hari ini, dari sudut semakin memudahkan peranan dan tugas sebagai seorang manusia menghadapi hidup sehari-harian di dunia ini, telah tercapai objektifnya-walaupun berubah-ubah.

Tetapi ‘mudah’ yang dimaksudkan itu ialah bersifat material. Contohnya, jika mahu makan, pergi sahaja ke restoran-restoran makanan segera seperti McD dan sebagainya. Mahu lebih mudah lagi? Tidak perlu duduk di restoran tersebut, cukup sekadar ‘drop-by’ di ‘drive-thru’ di setiap restoran McD tersebut. Kehendak (desire) ‘mahu kenyang’ akan tercapai. Contoh lain, jika mahu berniaga, teknologi internet sangat berpontensi dan telah terbukti mampu membantu para usahawan membuat ‘marketing’ dan ‘promotion’ melaluinya. Tambahan pula, melalui internet yang tiada sempadan, jaringan menjadi sangat luas dan tanpa batasan.

Begitu juga dalam aspek pendidikan, jika dahulu(sekitar 6 tahun lepas), semasa di Matrikulasi (teringat kenanagan di Kolej Matrikulasi Perlis), sangat jarang rakan-rakan yang membawa atau menggunakan laptop kerana keperluan tidak begitu terdesak. Tetapi hari ini, laptop telah menjadi satu keperluan penting, baik di sekolah menengah, apatah lagi di matrikulasi.

Banyak contoh sekeliling yang boleh diambil untuk menunjukkan bahawa kecanggihan teknologi sebenarnya sangat membantu urusan manusia, tetapi ia bersifat material-kebendaan.

Pada masa yang sama, ia kering dari aspek spiritual dan ketuhanan. Teknologi hari ini dihasilkan tanpa didahului dengan konsep metafizik yang jelas. Tidak disertai-disaluti dengan ‘tujuan akhir’ penciptaannya. Benar, tujuan akhir bagi penggunaan Mesin basuh adalah tenaga dapat dikurangkan daripada menggunakan tenaga fizikal dan masa yang lama untuk membasuh pakaian. Tetapi, ‘tujuan akhir’ tersebut tidak menyatakan penghasilan mesin basuh dan detergen yang digunakan tidak akan menyumbang kepada pencemaran sungai dan laut yang boleh membawa kepada ketidak-stabilan ekosistem, lalu ‘mencipta’ dosa kering akibat kelalaian tersebut. ‘Tujuan akhir’ seperti ini tidak ada di dalam manual penggunaan atau ketika mempromosikannya kepada para pembeli. Fokusnya adalah ‘kebahagiaan’ lahiriah-material. Ini terjadi apabila idea asalnya sendiri gersang dari aspek metafizik yang mempercayai wujudnya pembalasan bagi setiap yang dilakukan.

Tetapi pada hari ini, sudah mula wujud kesedaran tentang teknologi hijau yang dapat menjadi alterbatif dan pilihan utama berbanding teknologi yang tidak hijau-yang merosakkan alam sekitar. Namun ia masih bersifat material juga, apabila fokusnya adalah untuk pembangunan ekonomi individu-kerajaan, berbanding untuk membawa masyarakat memahami konsep wujudnya Tuhan Yang Esa.

Kesilapan diperingkat awal kewujudan teknologi ini telah mengakibatkan kemusnahan pada diri manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Kemusnahan inilah yang dimaksudkan oleh al-Attas apabila rencana falsafah sekularisasi wujud dalam sains dan teknologi. Aspek metafizik dicabut keluar dari kehidupan yang ada sehingga menjadikan manusia hidup tanpa nilai dan etika yang jelas dan tetap. Nilai dan etika ini tidak akan mampu kekal sekiranya tidak melalui kewujudan agama sebagai asasnya.

Dan apabila bercakap tentang agama, ia merujuk kepada ad-din al-Islam, yang mempunyai kerangka yang sangat jelas tentang bagaimana insan mahu menjalani hidup di dunia fana’ ini. Ad-din ini jugalah satu-satunya ad-din yang menetapkan halatuju yang jelas berkaitan dengan ‘tujuan akhir’ penciptaan manusia.

Apabila kefahaman ini dimiliki oleh manusia, khususnya para saintis Muslim, ia sebenarnya mampu mewujudkan teknologi-teknologi dan kecanggihan yang akan membawa insan menuju Tuhan yang Esa.

Untuk itu, ia bermula dengan kepentingan saintis Muslim masa kini-khususnya, dan Muslim seluruhnya, mengetahui tentang Pandangan Alam Islam, seperti yang di-‘formularized’kan dengan baik sekali oleh Prof al-Attas sebagai asas membezakan Pandangan Alam Islam yang sangat bertentangan dengan Pandangan Alam Barat.

Satu permulaan yang baik sekiranya setiap Muslim, khususnya anak muda, yang mahu menyelami permasalahan mendasar(root of the problem) umat Islam dan juga jalan penyelesaian yang juga mendasar dan untuk jangka masa panjang, untuk menyelongkar idea dan pandangan Prof al-Attas sebagai usaha membentuk kerangka pemikiran yang lebih terarah dalam proses mengislah umat manusia dan umat Islam khususnya.

Kehidupan yang ‘canggih’ adalah kehidupan yang dapat menghadirkan ketenangan dan kebahagiaan kepada manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Bukan disandarkan semata-mata dengan kecanggihan teknologi-tanpa didasari nilai yang jelas dan tetap.

Saya akhiri perkongsian pada kali ini dengan sedutan dari artikel Dr. Adi Setia berjudul “Tiga Pengertian Sains: ke arah Usaha Penyedaran Semula Misi Pengislaman Sains dan teknologi Menurut Kerangka Faham Syed Muhammad Naquib al-Attas”, apabila beliau menghuraikan pengertian sains yang ketiga di dalam makalahnya itu:

“Pengertian ini lebih menitikberatkan sifat keilmuan atau sifat kognitif sains daripada sifat kebergunaan/kealatan atau sifat utiliti/instrumentalnya. Ini adalah kerana matlamat akhir sains dalam Islam ialah ilmu yakini tentang kebenaran mutlak (absolute truth), tentang hakikat tertinggi, tentang aspek numena (noumenon) di sebalik fenomena (phenomenon), tentang makna diri insan dan makna-diri alam, tentang kesyukuran dan pengabdian diri kepada Pencipta, yang semuanya itu merupakan aspek-aspek kemakrifatan akan hakikat tertinggi sekadar yang termampu dicapai insan. Adapun aspek kebergunaan/kealatan sains sebagai teknologi dalam membina kemakmuran hidup di dunia yang fana ini, maka itu hanya merupakan sifat pengantara (a means=wasitah, wasilah) demi mencapai matlamat yang lebih mendasar dan luhur demi kerana firman Allah:

‘Dan demi sesungguhnya alam Akhirat lebih baik dan lebihy kekal…” (al-A’la: 17)

Dan demi kerana tugas insan di dunia fana ini ialah mkenzahirkan kesyukuran kepada Tuhan Yang Maha Tinggi dalam pemikiran, pertuturan dan pengamalan.”

Sumber:

1) Risalah Untuk Kaum Muslimin, S. M. N. al-Attas.

2) Pembangunan Di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna, Wan Mohd Nor Wan Daud.

3) Tiga Pengertian Sains: ke arah Usaha Penyedaran Semula Misi Pengislaman Sains dan teknologi Menurut Kerangka Faham Syed Muhammad Naquib al-Attas, Adi Setia.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: