Skip to content

Peri Ilmu dan pandangan Alam (Siri 2)

May 23, 2010

PERI ILMU DAN PANDANGAN ALAM (Siri 2)

Oleh: S. M. N. Al-Attas

Sebagaimana juga sebilah pisau adalah alat yang berguna bagi insan, dan tiap-tiap rumah memerlukannya untuk dipakai di dapur, begitulah ilmu sains dan teknologi berguna bagi maslahat insan di dunia.

Akan tetapi, justeru demikian, kita harus tahu bahawa yang memberi nilai kegunaan bagi pisau itu tentulah insan jua, yang dinilaikan dengan nilai-nilai yang ditetapkan oleh budipekerti akhlakiah yang merujuk kepada agama, bukan kepada sains.

Kita katakan tadi bahawa pisau itu berguna bagi insan sebab dengan adanya pisau maka kerja-kerja dapur dapat diselenggarakan dengan baik, dan juga kerja-kerja mengukir dan membuat perkakas-perkakas lain dapat mudah dihasilkan.

Andai kata pula pada amalam hari pencuri datang mengharu rumah dan dengan pisau dapur itu juga menikam tuan rumah itu hingga mati, maka apatah jadinya penilaian kita terhadap pisau itu?

Pisau itu akan dikeluarkan serta dipamerkan kelak di mahkamah tinggi, dan di situ akan dita’rifkan bukan sebagai alat yang berguna, akan tetapi sebagai senjata yang berbahaya.

Maka sesungguhnya jelaslah bahawa pisau itu sendiri tiada mempunyai salah satu nilai baik atau nilai buruk yang khusus ada bagi pihaknya, meskipun ada bagi pihaknya nilai campuran yang mengelirukan, bersifat samar-samar jua, tiada jelas, kerana ia kedua-duanya baik dan buruk sekaligus; melainkan yang menjelaskannya, yang memberikan kepadanya nilaian baik dan buruk itu, hanyalah insan belaka: jikalau yang menggunakannya itu insan yang baik maka pisau itu ‘alat yang berguna’, jikalau yang menggunakannya itu insan yang yang jahat maka pisau itu ‘senjata yang berbahaya’.

Dan nasib baik atau tinsan itu bergantung kepada ajaran serta pendidikannya dalam ilmu-ilmu mengenai budipekerti dan akhlak yang bersumberkan agama.

Maka sesungguhnya ilmu sains dan teknologi itu samalah sifatnya dengan pisau tadi: insanlah yang memperalatkannya nescaya menjadi ‘baik’ atau ‘buruk’, dan dari itu sangatlah lebih utama bagi kita menimbulkan dari dalam masharakat kita manusia-manusia ‘baik’, sebab mereka inilah yang akan menjamin baiknya penggunaan ilmu sains dan teknologi itu.

Berikutlah pula bahawa ilmu yang betul lagi lengkap mengenai agama haruslah dijadikan dasar hidup sebab dialah yang menilai kehidupan.

Dari segi pandangan Islam, insan yang baik itu ialah insan yang berilmu luhur, yang insaf akan tanggungjawab dirinya kepada Tuhannya yang Hak; insan yang memahami serta menyelenggarakan penunaian tanggungjawannya terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masharakatnya; insan yang dalam  serba-serbi tingkahlakunya senantiasa mengasuh dirinya menuju ke arah kesempurnaan sebagai insan adabi.

Komentar ringkas:

Jika pembaca dapat memahami apa yang dimaksudkan oleh pemulis, saya yakin pembaca juga dapat merasai satu sentakkan yang kuat terkena pada diri kita sendiri.

Penulis memberikan perumpamaan pisau sebagai analogi kepada sains dan teknologi. Sains dan teknologi tidak lebih sebagai alat untuk mencapai maslahah seseorang individu. Dengan pisau itulah, manusia menggunakan ia untuk tujuan memasak yang sudah pasti memberikan manfaat kepada individu dan keluarga (sebagai contoh). Pada masa yang sama, dengan pisau itu jugalah, manusia boleh menggunakan ia untuk tujuan membunuh.

Ini merupakan satu analogi yang amat sesuai untuk memberi kefahaman kepada para pendidik di tanah air kita khususnya dan Dunia Islam amnya.

Mengikut kefahaman saya, analogi ke-pendidik-an ini bertujuan untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di Malaysia dini hari, agar memberi fokus kepada pembentukan Manusia yang Baik.

Ketidak-upayaan para pendidik memberikan kefahaman dan penghayatan yang sebenarnya tentang Islam untuk dijadikan sebagai DASAR hidup setiap anak didiknya adalah mungkin menjadi faktor mengapa runtuhnya akhlak anak-anak muda zaman kini. Kenyataan ini dibuat tanpa mengabaikan ketidak upayaan sistem sedia ada untuk mengangani masalah keruntuhan akhlak dengan baik, juga faktor media massa, dan juga hasil inovasi sains dan teknologi yang lain. Juga tidak bermaksud menyalahkan para guru yang sangat berjasa kepada anak bangsa sehingga hari ini. Cuma diharapkan ia dapat menjadi satu muhasabah buat diri kita semua.

Akan tetapi, ia tetap berbalik kepada persoalan tentang bagaimana pendidikan Islam itu diterapkan dalam jiwa anak-anak didik.

Satu yang perlu diberi perhatian, apabila saya menggunakan terma ‘pendidikan Islam’, ia tidak hanya merujuk kepada subjek pendidikan Islam, tetapi ia meliputi subjek-subjek lain agar dapat dikaitkan dengan dasar-dasar dan prinsip-prinsip Islam yang jelas tiada aspek Dualisme dalam memahami sains dan Islam, matematik dan islam, geografi dan islam, biologi dan Islam dan juga mata pelajaran lain.

Para pendidik diharapkan agar dapat memberikan ilmu seikhlas hati dan seharusnya pembelajaran perlu berlangsung dengan memasukkan unsur-unsur tasawuf ringkas yang menarik sebagai usaha untuk membawa anak didik menghayati ilmu yang dipelajari dengan perkaitannya kehidupan mereka selaku Hamba dan Khalifah di muka bumi Allah.

Di perenggan-perenggan akhir petikan artikel ini memperlihatkan ciri-ciri Manusia baik yang dimaksudkan oleh penulis. Sudah tentu kriteria-kriteria ini mampu menjadi kayu ukur kepada sebuah penghasilan semakin ‘membangun’nya sesebuah negara itu, khususnya Malaysia.

*Terima Kasih Cikgu!!🙂

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: