Skip to content

Pasca-Pelancaran Dinar dan Dirham kelantan: Sedikit Perkongsian Mendasar

August 16, 2010

Musafir ke Kelantan pada Khamis lalu, sempena pelancaran Dinar dan Dirham kelantan di Kelantan Trade Center, Kota Bharu, meninggalkan 1001 nostalgia yang tidak boleh dilupakan. Bermula dengan cara bagaimana proses hendak ke sana, pengisian selama saya di sana, sehinggalah dalam perjalanan saya pulang ke Kuala Lumpur pada hari Jumaatnya.

Salah satu pengalaman sepanjang berada di Kelantan ialah diskusi-diskusi ringkas tetapi mendasar, antara saya bersama Prof umar Vadillo, berkenaan dengan perjuangan meletakkan semua kerangka Muamalat Islam ditempat asalnya. Beberapa diskusi berlaku, bukan sahaja antara saya dengan beliau, tetapi juga meliputi bersama beberapa orang pemuda dari Selangor, kedah, Palestin, Singapura dan beberapa lagi negara lain.

Diskusi kali ini, prof Umar menekankan aspek tujuan, asas, dan fokus utama, mengapa isu Muamalat Islam ini perlu di perjuangkan. Selama hampir 3 jam diskusi, beliau menekankan kepentingan perjuangan ini adalah sebagai tanda keimanan kita kepada Allah swt. Sebagai tanda rasa cinta dan kesungguhan serta ‘kegilaan’ kita kepada Allah swt. Sebagai tanda ketaqwaan kita kepada Allah swt. Ini penyebab utama, mengapa Muamalat Islam ini diperjuangkan.

Beliau tidak menafikan, terdapat manfaat-manfaat lain yang akan diperolehi apabila penggunaan dinar-dirham berlaku dalam masyarakat, seperti kalis inflasi, menjaga kekayaan yang diperolehi, keadilan dan sebagainya. Tetapi yang lebih utama daripada itu adalah sebagai tanda keimanan dan keyakinan kita terhadap ayat-ayat Allah yang menceritakan perihal penggunaan dinar-dirham sebagai medium pertukaran zaman berzaman.

Saya melihat perkara ini dari dua sudut. Sudut pertama adalah dari sudut pengkajian berterusan untuk memastikan peng-implimentasi-an sistem ekonomi berasaskan emas dapat dilaksanakan dengan baik, menggunakan mekanisma-mekansima tertentu. Dari sudut lain, saranan daripada al-Quran yang berulang kali menyebut perihal penggunaan dirham (sebagai contoh) dalam kisah-kisah al-Quran, seperti kisah Ashabul Kahfi, Nabi Yusof AS dan lain-lain kisah, merupakan satu hikmah yang perlu dirungkai oleh umat Islam khususnya dalam usaha memahami mengapa penggunaan dinar-dirham ini menjadi wajar diletakkan pada tempat asalnya.

Sejak pelancaran Dinar dan Dirham Kelantan pada minggu lepas, bersamaan dengan 2 ramadhan 1431H, pelbagai pihak merespon isu ini melalui kaca mata masing-masing, hujah masing-masing berdasarkan pembacaan, perbincangan, pembelajaran dan diskusi masing-masing. Ini adalah petanda positif kerana masyarakat Malaysia mula cakna isu pengembalian dinar-dirham sebagai medium pertukaran. Tidak kurang juga banyaknya respon-respon yang terbit atas dasar jahil terhadap apa yang diperkatakan, terutama yang berstatus ‘menteri’, kerana ia mencerminkan ketidak-layak-kan seseorang itu berada di kedudukan antara yang tertinggi dalam ekonomi negara Malaysia ini.

Sudah sampai masanya, kita mengambil perhatian untuk mengkaji lanskap sistem ekonomi baru bagi bersedia menghadapi kejatuhan dan kebobrokan sistem kapitalis-liberalis yang semakin komplikated(contohnya: dari segi inovasi instrumen kewangannya) sehingga memaksa para eksekutif syariah institusi-institusi kewangan ‘terpaksa’ mengikut arus ‘islamisasi sistem kewangan’ (terma yang sebenarnya saya tidak suka guna) semasa.

Perkara yang saya pelajari dalam hal ini, ialah keperluan kepada persediaan kendiri dalam usaha mencari solusi kepada permasalahan ekonomi dan kewangan semasa dengan menjadikan keimanan, ketaqwaan dan rasa cinta pada Allah sebagai asas pertama dan penting untuk merealisasikan kesinambungan perjuangan ini.

Satu perkara yang penting juga untuk ditegaskan ialah, perjuangan dinar-dirham ini bukan semata-mata emas dan perak itu sendiri, tetapi sebagai tanda keyakinan atas kebijaksanaan Allah swt dalam menjelaskan perihal dinar-dirham sebagai medium pertukaran.

Lagi satu, pengimplimentasian dinar-dirham ini hanya merupakan langkah pertama daripada beberapa langkah seterusnya yang akan membawa kepada perubahan lanskap ekonomi semasa.

Perjalanan masih jauh, kerja para ‘alim-ulama’ yang ahli semakin diperlukan untuk merealisasikan perkara ini, oleh itu, bagi sesiapa yang ingin turut serta dalam dalam perjuangan bersifat intelektual ini, amat digalakan dan ia adalah peluang untuk kita semakin mengenal Allah!

 

 

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: