Skip to content

Pengislahan Sifar: Cabaran Para Aktivis Masani

February 16, 2010

Masalah ummah masani adalah berkaitan dengan kecelaruan jati diri sebagai seorang muslim sejati. Segala tindak tanduk muslim pada hari ini adalah tindak balas kepada segala apa yang berlaku disekeliling mereka. Baik para ilmuan, ahli politik, ahli perniagaan, mahupun para artis.

Semuanya bertindak mengikut suasana semasa. Dari satu sudut, sesuatu dasar untuk memelihara jati diri Muslim itu, wujud. Sebagai contoh, wujudnya program J-QAF, berlangsungnya tilawah al-Quran, sambutan Maulidur Rasul, wujudnya sekolah-sekolah menengah agama atau pun untegrasi, wujudnya institusi-institusi kewangan dan perbankan Islam, dan banyak lagi institusi, peristiwa, aktiviti yang berkaitan dengan Islam, dilaksanakan di dalam negara kita, Malaysia.

Mungkin itu sebagai satu hujah bahawa pelbagai pihak sedaya upaya mahu menerapkan nilai-nilai Islam di dalam kehidupan setiap ahli masyarakat di Malaysia.

AKan tetapi, pada masa yang sama, situasi sebaliknya berlaku. SIkap keterbukaan telah meng’halal’kan konsep liberal menyusup masuk melalui filem-filem tanah air dan ia menjalar terus ke rumah-rumah Muslim di serata pelusuk tanah air. Ini merupakan satu metod pentarbiyyahan golongan liberalis, pluralis, dan sekularis dalam usaha mereka untuk mencelarukan jati diri umat Islam.

Industri ini yang perlu diambil perhatian yang serius oleh pihak yang mempunyai kelebihan dari sudut kewangan dan kepakaran untuk dimaksimakan penggunaannya sebagai metod untuk mengembalikan jati diri Melayu-Islam di dalam jiwa generasi baru.

Saya semakin tertarik dengan kemunculan filem-filem atau drama yang berbentuk sastera islamy yang semakin banyak pada hari ini. Kehadiran filem dari Indonesia seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih I dan II, juga drama bersiri dari malaysia seperti Nur Kasih dan lain-lain, sebenarnya mampu membuka mata masyarakat, betapa pentingnya untuk kita kembalikan diri dan kehidupan menurut lunas-lunas Islam, kerana di situ ada kebahagiaan yang mutlak dan hakiki. Dan tren ini harus diteruskan oleh para karyawan tanah air mahupun dunia Islam yang lain, sebagai satu metod pelindung jati diri Muslim dan seterusnya sebagai metod pentarbiyyahan buat generasi akan datang.

Hollywood dan Islah

Sejak bulan Januari yang lepas, saya meluangkan masa menonton di pawagam KLCC dengan tujuan:

1) Menonton filem-filem hollywood seperti The Legion dan Avatar bagai mendapatkan maklumat secara terus berkaitan dengan filem-filem tersebut yang dikatakan sebagai antara alat pentarbiyyahan kaum Illuminati.

2) Melihat situasi sebenar keadaan umat Islam di dunia luar daripada masjid dan majlis-majlis ilmu.

3) Bermuhasabah terhadap diri.

Suasana di dalam pawagam disertai oleh setiap lapisan masyarakat. Baik Muslim mahupun non-Muslim. Baik muda mahupun tua. Baik kanak-kanak mahu pun dewasa.

Perkara yang menjadi fokus saya pada ketika itu ialah kanak-kanak. Mereka menonton filem-filem tersebut (yang sarat dengan idea dan falsafah anti-agama) dengan galakan yang diberikan oleh ibu-bapa. Mungkin juga ibu bapa tersebut tidak mengetahui bahaya yang sedang dihadapi oleh anak-anak mereka, tetapi bagi kelompok yang sedar, yang berada di IPT-IPT, NGO’s, mahupun jabatan-jabatan kerajaan atau pembangkang, perkara ini harus diperhatikan dengan serius.

ANak-anak muda zaman kini sedang berperang dengan pemikiran barat yang sarat dengan anti-tesis terhadap agama, keadilan dan sa’adah (kebahagiaan).

Akibat ketidak-fahaman yang wujud dalam kalangan ahli-ahli politik tentang pokok permasalahan mendasar yang dialami oleh ahli masyarakat, mengakibatkan sesuatu usaha itu membentuk keadaan yang dipanggil ‘pengislahan sifar’.

Menurut Prof Wan Mohd Nor:

Pengislahan sifar bermaksud satu suasana di mana ma’na dan ni’mat sebenar pencapaian tinggi dalam bidang ekonomi dan infrastruktur fizikal dihapuskan ma’na dan ni’mat sebenarnya oleh kerosakan dalam bidang-bidang lain yang lebih penting. Akhirnya kerosakan dalam bidang-bidang ini akan  menelan juga kejayaan-kejayaan di bidang ekonomi yang dicapai dengan harga moral dan sosial yang begitu tinggi. Lebih menghampakan lagi, kerosakan dan kehampaan dalam bidang-bidang ini akan mengakibatkan kesengsaraan abadi di akhirat nanti. (Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Yang Lebih Sempurna, ISTAC, 2001)

Menurut takrifan yang diberikan oleh Prof Wan Mohd Nor, keadaan semasa yang amat mengagungkan pembangunan fizikal, pada hari ini, sebenarnya telah mengabaikan pembangunan spiritual. Sebenarnya saya lebih suka menggunakan istilah pengislahan, berbanding pembangunan, atas hujah-hujah yang benar.

Keterabaian ‘bidang-bidang lain yang lebih penting’ ini sebenarnya bakal membawa kesan yang sangat buruk kepada survival ummah pada masa akan datang.

Berbalik kepada situasi semasa yang berlaku, konsep pemeliharaan jati diri dilihat tidak dilakukan secara bersepadu. Sebagai contoh, baru-baru ini DBP mengadakan satu program bagi memperjuangkan bahasa Malaysia sebagai bahasa pilihan utama masyarakat Malaysia. Dalam program tersebut, seolah-olah perjuangan tersebut tidak dirancang dengan baik dan disokong oleh pihak-pihak berotoriti, walaupun ia dilakukan secara sah. Pada masa yang sama, program PPSMI masih lagi tidak diketahui keadaannya walaupun ia telah dibahas dan diteliti oleh para intelektual di negara kita.

Ini hanya satu contoh dari pelbagai lagi masalah yang dilihat berlaku secara kontradiksi dengan semnagat pengislahan yang sentiasa dicanang-canangkan oleh pihak pemerintah. Jika hendak dilihat isu-isu lain, boleh saya nyatakan secara ringkas di sini, seperti masalah bahan lucah, budaya samseng di sekolah-sekolah, hedonisme, rasuah, jika di IPT-IPT (masalah ‘exem-oriented’ dan plagiarism), dan pelbagai lagi masalah yang sebenarnya berpunca dengan perancangan yang cetek dan tidak secara mendalam. Hal ini yang dihuraikan oleh Almarhum SYed Husein Alatas tentang ‘Revolusi Orang Pandir’ di dalam pelbagai jabatan-jabatan kerajaan amahupun disetiap peringkat professional. Orang-orang pandir ini mempunyai ciri-ciri ‘Bebalisme’ yang tidak mudah dikesan oleh orang ramai.

Hanya yang benar-benar meneliti sifat-sifat dan ciri-ciri orang pandir ini sahaja, yang dapat mengesannya. Untuk lebih lanjut, sahabat-sahabat disarankan membaca karya Syed Husein Alatas bagai memahami konsep ‘Bebalisme’ dan ‘Revolusi Orang Pandir’ dalam masyarakat membangun.

Pokok kepada persoalan yang hendak diutarakan dalam artikel ini ialah:

1) Kepentingan ahli-ahli gerakan Islam untuk memahami permasalahan pokok, di luar kaca mata politik kepartian.

2) Menjemput ahli-ahli gerakan menelaah karya-karya intelektual negara kita untuk mengetahui permasalahan dan cara penyelesaian yang dicadangkan.

3) Kepentingan memperbaiki cara berfikir dan berfikir secara serius bagi memahami masalah dan mengatur strategi penyelesaian yang tuntas. (tidak bersifat programme-oriented)

Diharapkan pemuda-pemudi gerakan Islam dapat mempersiapkan  diri dengan ilmu yang sahih dan kukuh untuk mengatur strategi yang lebih ampuh dan berkesan untuk berhadapan dengan para musuh yang semakin kompleks dan halus gerak-gerinya.

Kepada Allah jua kita mengharapkan pertolongan.

Wallahu ‘alam.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: