Skip to content

Risalah Untuk Kaum Muslimin: #1

January 22, 2010
tags:

Risalah Untuk kaum Muslimin

Perenggan 1

Wahai Saudaraku! – Seringkali telah kau tanyakan kepadaku perihal Islam dan Kaum Muslimin dewasa ini; seringkali telah kau tanyakan mengenai Islam dan peranannya sekarang di dalam dunia yang sedang giat berubah corak dan nilai, yang sedang pesat mengalami perubahan-perubahan meluas dan mendalam akibat perkembangan ilmu pengetahuan sains dan teknologi. Kau telah bertanya apakah ma’na bagi Kaum Muslimin dewasa ini: adakah Islam itu sesuai untuk zaman aneka-rupa yang sedang kita tempuh ini?; tiadakah patut Islam pun harus mengalami perubahan seperti yang dialami oleh agama-agama lain di dunia?; tiadakah patut pula kita, dalam berusaha mentafsir semula Islam demi memperoleh panduan kehidupan kita dewasa ini, kembali sahaja terus kepada al-Qur’an dan Sunnah tanpa merujuk kepada sumber-sumber lain dalam perbendaharaan ilmu-ilmu agama Islam?; tiadakah harus kita kemukakan daripada hasil usaha kita sendiri faham-faham baharu, serta dalam pada itu kita ubah-gantikan petua-petua lama atau petunjuk nakali yang telah ditetapkan oleh beberapa Imam agung serta Mujtahidin kita penganut mazhab Ahli’l-Sunnah wa’l-Jama;ah?; mengapakah orang-orang Islam kini dikabuti kejahilan serta menderita kemunduran duniawi?; apakah sebabnya kita tercicir jauh ke belakang sedangkan bangsa-bangsa lain, khususnya orang-orang Kristian Barat, dapat berjaya menguasai kemajuan dunia dan hidup mewah sentosa?; di manakah letaknya keistimewaan mereka?; adakah kepercayaankita terhadap qada dan qadar mempengaruhi daya kita berbuat dan bertindak, sehingga tiada sesuatu yang kita buat melainkan berdiam sahaja, kononnya membiarkan Allah, Subhanahu wa Ta’ala, melancarkan TakdirNya?; sebab apakah Umat Islammundur dalam bidang ekonominya?; adakah pendapat-pendapat serta hujah-hujah ilmu pengetahuan sains itu menggugat dasar-dasar kepercayaan Islam?; apakah peranan kita Muslimin, khususnya belia kitam di masa hadapan? – dan banyak lagi soal-soal seperti di atas ini telah timbul keluar, dan akan terus ditimbulkan oleh orang-orang Islam sendiri, bukan sahaja di negeri kita ini bahkan di negeri-negeri lain yang Islam. Dan sesungguhnya ini semua membayangkan merebaknya penyakit kekeliruan akal serta keksesatan kalbu, yang kini sedang menyerang dan menggemparkan Umat Islam dengan hebatnya. Apakah sebabnya sehingga terjadi nampak seolah-olah demikian buruk nasib keadaan kita ini? Dan apakah jawapan yang harus dikemukakan bagi mengheningkan yang keruh-kelam, menjelaskan yang samar-keliru, meluruskan yang kusut dan menenteramkan jiwa yang tegang dan getar ini?

Nota ringkas:

Petikan di atas merupakan Perenggan 1 daripada sejumlah perenggan yang terdapat di dalam kitab Risalah Untuk Kaum Muslimin, karya Syed Muhammad Naquib al-Attas. Karya ini adalah versi pertama sebelum keluarnya kitab Islam and Secularism.

Sesiapa yang belum pernah membaca karya-karya beliau, memang agak rumit hendak memahami susun-atur maksud yang hendak disampaikan oleh beliau. Saya sendiri susah dan mengambil sedikit masa untuk benar-benar memahami apa yang hendak disampaikan. Oleh itu, kena baca dengan tenang dn dengan niat hendak mencari ilmu kerana Allah, bukan untuk benda lain. Terdapat hikmah besar di dalam perenggan satu ini sebenarnya.

Beliau cuba menarik para pembaca untuk menyelami hati-hati kaum Muslimin masani tentang tanggapan kaum Muslimin masani terhadap agama mereka sendiri.

Dengan persekitaran yang sangat terbuka dan liberal, membuatkan kaum muslimin tersepit untuk membawa sama ‘muatan’ aqidah di jiwa. Bagi yang cetek ilmunya, kurang amalnya, ‘muatan’ aqidah yang sahih ini mudah sahaja ‘terlerai’ di tengah jalan. Pegangan aqidah Islamiyyah dirasakan seakan-akan suatu beban kepada sipenganutnya, ditambah lagi desakan semasa agar mengikut ‘trend’ semasa yang sudah pasti terpengaruh dengan fahaman Moderniti.

Fahaman ini ada perkaitan dengan fahaman sekular yang bertujuan memisahkan kehidupan manusia daripada aspek metafizik ataupun perkara-perkara yang bersabit dengan perkara ghaib, seperti kehidupan selepas mati, kewujudan ALlah dan pengutusan Rasul-rasul kepada manusia.

Pada saya, adalah wajar bagi setiap anak-anak muda yang sentiasa sarat dengan idealisma inginkan perubahan, untuk membaca Risalah ini bagi memahami apa yang hendak disampaikan oleh prof al-Attas kepada generasi baru ummah.

2 Comments leave one →
  1. org lama permalink
    January 24, 2010 12:37 pm

    Wahai Saudaraku! – Seringkali telah kau tanyakan kepadaku perihal Islam dan Kaum Muslimin dewasa ini; seringkali telah kau tanyakan mengenai Islam dan peranannya sekarang di dalam dunia yang sedang giat berubah corak dan nilai, yang sedang pesat mengalami perubahan-perubahan meluas dan mendalam akibat perkembangan ilmu pengetahuan sains dan teknologi. Kau telah BERTANYA……

    dan banyak lagi soal-soal seperti di atas ini telah timbul keluar, dan akan terus ditimbulkan oleh orang-orang Islam sendiri, bukan sahaja di negeri kita ini bahkan di negeri-negeri lain yang Islam.

    Syed Muhammad Naquib al-Attas memulangkan soalan2 yg dikemukakan org2 Islam utk kita jawab sendiri.Jelas sekali jawapan bg soalan2 diatas bukan pokok utama tp sebab2 persoalan itu ditimbulkan menjadi kerisauan.

    seperti yg dikatakan beliau…’Dan sesungguhnya ini semua membayangkan merebaknya penyakit kekeliruan akal serta keksesatan kalbu, yang kini sedang menyerang dan menggemparkan Umat Islam dengan hebatnya.

    Ini hanya pendapat sy,kalau salah tolong betulkan sebab sy pun x pernah bc buku ni..Pendapat sy,secara dasarnya persoalan timbul sebab tidak memahami dan praktik ajaran islam sepenuhnya.

  2. schuonless permalink
    January 27, 2010 7:50 am

    Sekarang ini tugas Kaum Muslim -Melayu ialah untuk menyediakan KAMUS Bahasa Melayu yang jitu dan boleh di jadikan rujukan yang sahih supaya tidak timbul keraguan oleh sesiapa.

    [1] Dewan Bahasa & Pustaka tidak lagi mampu membuat kerja yang amat penting ini . Projek KAMUS Bahasa Melayu hendak di terajui dan di Ketuai oleh sa orang
    Professor yang berwibawa.

    Ketua ini harus di bantu oleh Prof Madya dan Felow Penyelidek2 dalam belbagai bidang dan disiplin ilmu.

    [2] Projek Besar ini WAJIB di lakukan PENUH MASA oleh mereka di sebut di atas hingga ke akhir hayat mereka. Mereka mesti CINTA akan Bahasa dan CINTA ILMU dan sayang akan Bahasa Melayu yang telah di anugerahkan oleh Allah swt supaya tergolong dalam Bahasa al Quran/ al Islam.

    [3] Ketua Projek dan semua terlibat dalam Projek ini JANGAN cita2 hendak buat Duit atau Kedudukan Parti Politik, atau Perniagaan.

    Jangan jadi macam projek2 “politik” yang lain, ini adalah projek ILMU.

    Jangan LOBI2 atau ambil kesempatan untuk “komisyen” dan “sikap” yang telah melanda banyak projek yang lain2.

    [4] Sekarang sarankan cadangan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi Pengerusi IKIM yang boleh sampaikan kepada Kerajaan. Jangan sekali suruh DBP buat kerja ini … mereka hanya boleh membantu.

    [5] Projek Kamus Bahasa Melayu hendak megikut “SPIRIT” Lisan ul Arab Ibn Mansur dan juga Lane’s Lexicon dan Hans Wehr dan sepertimana Oxford English Dictionary di mulakan hingga ke hari ini ..

    Sesiapa pernah lihat JILID Oxford English Dictionary akan kagum dengan sikap dan ketilitian pakar Etylomogy, Philology, Lexicology, Semantic etc mereka.

    Saya minta saudara2 yang membaca Blog ini HEBUHkan saranan ini ke marata Blog2 yang lain supaya Tun Pak Lah dapat dengar.

    Jangan jadi kan cadangan ini sebagai peluang untuk “buat duit” macam projek yang lain itu.

    Kamus Bahasa Melayu hendak lah berterusan dan di lakukan dalam TULISAN JAWI dan RUMAWI dan jika kalimah [term, word] itu di pinjam dari Bahasa Sanksrit, Arab, al Quran dan lain nya hendak lah gunakan tulisan awal atau asli itu …

    Lantik Ketua Projek sa orang Professor yang betul sayang dan cinta kepada Bahasa Melayu bukan “professor politik” atua professor kangkung”.

    Sekian terima kasih.

Leave a reply to schuonless Cancel reply