Skip to content

Musafir Ke Pulau Pinang: Usaha Membentuk Gagasan Mengekalkan Kekayaan Ummah

January 9, 2010

Musafir ke Pulau Pinang telah membuka satu dimensi baru dalam usaha membentuk gagasan hidup untuk diperjuangkan, khususnya berkaitan dengan harta dan ekuiti umat Islam di Malaysia, juga di dunia.

 Lawatan ke Madrasah AN-Nahdhoh telah memberikan satu inspirasi baru dalam hidup saya untuk berusaha mengangkat kembali martabat umat Islam dalam lapangan penguasaan ekonomi dan perkaitannya dengan harta dan kekayaan milik ummah.

An-Nahdhoh mempunyai sebuah bangunan yang berfungsi sebagai sebuah masjid dan juga sebagai satu pusat pentarbiyyahan masyarakat sekitarnya. Kuliah Dhuha pada setiap minggu, seumpama ramainya kuliah Dhuha di Kota Bahru pada setiap hari Jumaat. Figur seorang Murobbi sekali lagi memainkan peranan penting dalam hal ini. Selain itu, An-Nahdhoh juga mempunyai hotel yang dikenali sebagai An-Nahdhoh Inn.

Morobbi dan Ummah

Dalam hal ini, murobbi adalah tonggak atau harapan ummah untuk melakukan islah ummah bermula dari dalam diri individu. Islah diri menjadi tajuk utama dalam hal ini. Dari terbitnya individu muslim yang baik, akan lahir sebuah masyarakat Islam yang baik.

Jika di Ampang atau sekitar Sembilan, Tuan Syeikh Fuad al-Maliki menjadi harapan ummah dalam usaha mengislah jiwa dan harta benda. Jika di Kelantan, ramai juga Tuan Guru yang mampu mencipta ‘crowd’ tersendiri dalam usaha mengislah ummah. Inilah aspek utama dan terpenting untuk membina masyarakat Muslim yang kuat. Melalui aspek pendidikan. Jika benar pendidikan, maka akan benar tindakan selepasnya. Jika salah pendidikan, maka ia akan membentuk cara pandang alam masyarakat yang keliru identiti diri, seperti yang berlaku pada hari ini di kebanyakan tempat.

Jadi, amat penting bagi setiap ahli gerakan untuk menggunakan peluang yang ada disekitarnya untuk menuntut ilmu Islam. Kesedaran bermula dari dalam diri penggerak itu sendiri. Jangan memberi fokus kepada siasah semata-mata sehingga mengorbankan aspek dalaman seperti rohani dan ilmu.

Sekarang, baru saya faham apa perkaitan dengan mengutamakan pendidikan dan ilmu berbanding dengan siasah (tanpa mengabaikan siasah). Siasah itu perlu, tetapi ia mesti mengikut maratib ilmu supaya pemahaman dalam dunia siasah adalah seperti yang dikehendaki Islam. Jika tidak, kita hanya akan melahirkan ahli gerakan yang berkobar-kobar untuk mendirikan Islam, tetapi tiada isi. Kosong. Dan lebih teruk lagi jika tidak dapat berfikir dan bertindak unuk menyelesaikan dengan sebaiknya, bahkan hanya membawa lebih mudarat kepada ummah.

Ini boleh berlaku jika ahli gerakan hanya pandai bercakap, tapi tidak pandai memberi alternatif penyelesaian yamng konkrit.

Para Sahabat dan Kekayaan

Bila bercakap tentang harta atau kekayaan, ia seolah-olah menjadi satu terma yang memberi konotasi negatif kepada segolongan individu dalam ahli gerakan.

Ahli gerakan yang membincangkan soal perniagaan atau yang seumpama dengannya, tidak mendapat tempat dihati golongan tersebut. Alasan bekerja untuk agama tanpa mengharapkan sesuatu yang bersifat keduniaan, telah menjadi slogan yang meng-urat di dalam jiwa segolongan penggerak Islam.

Akibatnya, istilah zuhud disalah-gunakan, konsep ‘taqdir’ disalah-ertikan, dan begitu juga persepsi terhadap ahli-ahli gerakan yang terlibat di dalam dunia perniagaan.

Persepsi negatif menjadi teman buat mereka yang berkecimpung di dalam dunia perniagaan, oleh ‘sahabat’ mereka sendiri. Ketika itu, mulalah kedengaran suara-suara sinis yang kononnya mahu memperingatkan sahabat agar tidak lupa kepada gerakan setelah berjaya, jangan lupa menginfaqkan kepada jemaah, berilah ‘free’ jika untuk kegunaan jemaah dan macam-macam lagi.

Benda ini nampak macam betul dan benar bagi mereka, tetapi jika dilihat dengan pandangan yang lebih luas dan insaf, ia merupakan satu respon sikap yang salah dan dangkal!

Adalah menjadi tugas setiap ahli gerakan untuk memahami konsep ‘saling-melengkapi’ dan juga ithar kepada sahabat dalam hal ini.

APa kaitanya dalam hal ini?

Banyak kaitannya, cuma di sini cukuplah saya memberikan satu petunjuk sikap yang sepatutnya dimainkan oleh setiap ahli gerakan.

Sebagai ahli gerakan Islam, kita memerlukan kekuatan ekonomi yang kukuh dan stabil. Kekuatan ekonomi ini adalah salah satu kekuatan, selain daripada mempunyai para pemikir yang hebat (think-tank), para penggerak yang progresif dan produktif serta berani, para penyelidik dalam pelbagai lapangan atau bidang (baik ekonomi, ketenteraan, pendidikan, sosial, pemikiran dan sebagainya).

Kekuatan ekonomi yang kukuh dan stabil adalah antara kelebihan yang dimiliki oleh Rasulullah saw dan umat Islam pada zaman kegemilangan Islam. Sebut sahaja Abdul rahman bin Auf dan Uthman bin Affan, semua akan terbayang kesanggupan mereka untuk menginfaqkan seberapa banyak harta mereka di jalan Allah. Tidak lupa juga kepada Saiyyidina Abu Bakar yang telah menginfaqkan seluruh hartanya ke jalan Allah.

Bercerita tentang kisah Abu Bakar dan Umar, tentu pembaca masih ingat kisah mereka berlumba-lumba untuk membuat kebaikan. Kisah Masyhur mengenai Umar yang bertemu dengan Rasulullah saw untuk menginfaqkan separuh hartanya ke jalan Allah, lalu Rasulullah saw bertanya, apa yang engkau tinggalkan untuk keluargamu? Maka Umar menjawab: “Aku meninggalkan separuh hartaku, juga Allah dan Rasul.”

Selepas itu, Abu Bakar pula datang kepada Rasulullah SAW dan menyatakan untuk menginfaqkan seluruh hartanya ke jalan Allah! Dan apabila Rasulullah SAW bertanya, apa yang Abu Bakar tinggalkan untuk keluarganya? Maka ABu Bakar menjawab: “AKu meninggalkan Allah dan Rasul.”

Terkejut Umar dibuatnya. Ketika inilah., Umar mendapati bahawa bahawa dia tidak dapat menandingi Abu Bakar dalam  hal membuat kebaikan.

Melalui peristiwa ini, zat yang ingin saya ‘highlight’kan di sini ialah tahap kekayaan Umar al-Khattab. Diceritakan bahawa, jumlah harta Umar al-Khattab yang dilaburkan ke jalan ALlah itu adalah berjumlah 40,000 Dinar emas. Jika di kira dengan nilai semasa, 1 gram emas bersamaan dengan RM120. Jadi, untuk 1 Dinar emas (4.25 gram), nilainya adalah RM510. Oleh itu, jika dijumlahkan separuh harta Umar yang diinfaqkan, ianya berjumlah RM20,400,000 (dua puluh juta empat ratus ribu ringgit!

Jika ditambah lagi dengan separuh lagi harta yang ditinggalkan untuk keluarganya, maknanya jumlah hartanya adalah sekitar RM40,800,000 (Empat puluh juta lapan ratus ribu ringgit)!

Umar al-Khattab seorang ‘millionnaire’!

Itu baru Umar, belum lagi dikira jumlah harta yang dimiliki oleh Uthman bin Affan dan juga Abdul Rahman bin ‘Auf. Begitu juga sahabat-sahabat lain.

Dalam hal ini, saya tidak menafikan wujudnya dikalangan para sahabat yang tidak seperti mereka, tetapi yang perlu di-‘highlight’-kan di sini ialah konsep ‘saling melengkapi’ dan saling memahami menjadi ramuan utama keharmonian hidup mereka yang berasaskan tauhid.

Tidak wujud prejudis dikalangan sahabat yang berharta atau tidak. Masing-masing saling memahami tanggungjawab dan peranan mereka terhadap agama dan perjuangan yang didukungi.

Dan kesedaran tanggungjawab itu timbul melalui pendidikan Islam yang diberikan Rasulullah saw dan bukannya sindiran atau sikap prejudis.

Oleh itu, amat penting, ruang, peluang dan galakan diberikan kepada ahli-ahli gerakan yang ingin berniaga. Bagi yang tidak mampu berniaga dan mampu bergerak dibarisan hadapan, teruskan perjuangan dan beri sokongan kepada sahabat-sahabat seperjuangan dalam lapangan yang berbeza. Sikap terbuka harus timbul dalam kalangan ahli gerakan sendiri, barulah dapat melatih diri menerima sahabat-sahabat yang diluar wasilah yang sama tetapi mempunyai matlamat yang sama.

Pertemuan dengan Ustaz Yusni, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, memberi harapan dan semanagt baru untuk saya terus berkecimpung dalam bidang yang saya ceburi. Dan beliau juga bersemangat untuk membina empayar perniagaan sendiri, walaupun bergerak sepenuh masa dalam gerakan Islam dan juga merangkap Mudir untuk Sekolah Rendah Islam (SRIBU) di Pulau Pinang.

Satu kesimpulan hasil pertemuan dan diskusi hampir sejam setengah itu ialah, betapa perlunya ahli-ahli gerakan untuk menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan. Tidak perlulah ia diberatkan dibahu gerakan untuk memikirkan bagaimana untuk menguatkan ekonomi gerakan/jemaah. Ianya harus dikembalikan kepada tanggungjawab setiap individu gerakan untuk menyumbang hafrta benda kepada gerakan’jemaah. Jemaah atau gerakan harus memfokuskan kepada bidang pengislahan ummah dalam pelbagai bentuk. Ia adalah medan aplikasi. Dan untuk menjayakan segala yang telah diaturkan, memerlukan dana yang mencukupi.

Kita selalu menuding jari bahawa aktiviti-aktiviti SIster’s In Islam dibiayaai oleh badan-badan lain dibelakangnya. Kita juga bersikap emosional bila memikirkan badan-badan kristianisasi dibiayai terus dari Vatican CIty dan sebagainya.

Tapi jarang kedengaran untuk ahli-ahli gerakan Islam berusaha sehabis baik untuk menyumbang harta mereka dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menambah kekayaan. Jarang kedengaran motivasi khusus untuk ahli-ahli gerakan berusaha menjadi seorang usahawan yang berjaya, sebagai galakan dan motivasi.

Perkara ini perlu dijadikan satu agenda gerakan Islam secara internal mahupun eksternal bagi membangunkan ummah secara keseluruhannya.

Semangat untuk terus istiqamah dalam membentuk gagasan mempertingkatkan kekayaan ummah semakin membara setelah dibawa Hafiz dan sahabatnya, Suhaimi, ke Sungai Petani, Kedah untuk merasai kelazatan ayam organik, Radix Fried Chicken (Rfc). Bila berada di dalam premis tersebut, rasa memiliki Rfc tersebut wujud dalam diri. Terasa bangga bila kekuatan ekonomi dapat dijana olej umat Islam.

Tetapi kita masih belum boleh selesa lagi. Ketika ini, tanah-tanah di Pulau Pinang yang dimiliki oleh orang Islam (sebagai contoh), sudah semakin berkurang. Jika dahulu (1975), tanah yang dimiliki oleh orang Melayu-Islam adalah sekitar 35%, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hanya tinggal sekitar 17% sahaja! Ini hanya salah satu contoh yang boleh diambil untuk muhasabah semua pihak. Sejauh mana peranan kita sendiri untuk mengekalkan kekayaan ummah daripada terus berkurang menjadi milik golongan yang tidak sepatutnya.

Isu ini bukan berkaitan dengan isu perkauman, tetapi ia berkaitan dengan darjah keinsafan umat Islam masa kini terhadap nasib mereka kini. Ia juga berkaitan dengan tahap sensitiviti umat Islam untuk berfkir jauh berkaitan dengan survival generasi umat Islam pada masa akan datang. Mahu saja saya tampar setiap orang sahabat yang masih tidak sedar-sedar dan meremehkan isu tentang keperluan menguasai ekonomi semasa. APapun, sebelum tampar, kena beri kesedaran dahulu🙂

P/S: Petang ini, saya akan pulang ke Kuala Lumpur untuk meneruskan agenda pengislahan, InsyaALlah. Moga sahabat-sahabat pembaca dapat menfaat melalui perkongsian di atas.

Wallahu ‘alam.

ALIFF BASRI

Bayan Baru, Pulau Pinang

 

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: