Skip to content

Kritik Al-Attas Terhadap Pandangan Alam (Worldview) Barat {Bahagian 1}

November 29, 2009

Oleh: Dr. Khalif Muammar A. Harris

Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah seorang intelektual Muslim yangulung pada abad ini kerana telah berjaya membongkar kepincangan falsafah Barat dan menanggapinya secara kritis dan cerdas. Melalui karya-karyanya tentang metafizik Islam, beliau juga telah berjaya melonjakkan pemikiran Islam ke tahap yang lebih tinggi. Salah satu sumbangan besar beliau dapat dilihat melalui sebuah karya yang bertajuk Islam and Secularism yang diterbitkan pada tahun 1978.

Dalam buku ini beliau telah mengkaji dan membedah inti peradaban Barat dan pandangan alamnya, menunjukkan kepincangan-kepincangan yang ada padanya, kecelaruan dan bencana yang diakibatkannya dan menyediakan bagi umat Islam solusi dalam menghadapi krisis keilmuan ini. Keagungan karya al-Attas bukan sahaja diakui oleh para pengikut dan muridnya tetapi oleh ramai cendekiawan Muslim dan beberapa pemikir Barat, seperti terlihat dalam Cranlana Programme, dalam usaha mereka untuk memahami sumbangan pemikir-pemikir dunia dalam menciptakan masyarakat dan peradaban yang unggul.

                Dunia hari ini dipenuhi dengan kekacauan (chaos) dalam hampir semua bidang kehidupan. Kekacauan dapat kita lihat dalam sistem ekonomi dunia hari ini yang telah menjamin kesejahteraan keolompok kecil manusia tetapi memberi kesengsaraan kepada mejoriti penduduk dunia; sistem politik kontemporari juga seringkali gagal melahirkan pemimpin-pemimpin yang amanah dan membela nasib rakyat kecil; universiti-universiti seringkali gagal melahirkan manusia-manusia yang beradab dan maju dalam erti kata yang sebenarnya; sains dan teknologi yang gagal menjadikan dunia lebih layak dihuni oleh manusia.

                 Segala kekacauan yang timbul hari ini menurut al-Attas berpunca daripada krisis keilmuan yang datang dari Barat. Bagi al-Attas, krisis keilmuan adalah cabaran terbesar yang dihadapi oleh umat manusia di zaman ini, kerana bangunan ilmu (epistemic construct) ini yang akan menentukan bagaimana sistem politik, sistem ekonomi, sistem social dan institusi pendidikan dibangunkan. Korpus ilmu yang hari ini banyak dicorakkan oleh peradaban Barat telah dirosakkan oleh faham-faham secular dan liberal.

                Maka terhasillah kerosakan pada ilmu (the corruption of knowledge). Faham sekular-liberal ini memiliki framework pemikiran dan konsepsi yang keliru tentang ilmu, manusia, agama, wahyu, Tuhan dan kata kunci lainnya yang mendefinisikan pandangan alam sesuatu peradaban. Kekeliruan dalam epistemologi inilah yang menyebabkan Barat gagal mengenali hakikat sebenar reality kehidupan dan meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sepatutnya.

                Sebelum dapat melihat kepincangan pandangan alam Barat, al-Attas terlebih dahulu mendalami falsafah dan pemikiran Barat seperti rasionalisme, empirismse, positivism, dan pragmatism. Beliau membidas sikap Barat yang terlalu mengagungkan ilmu sains sebagai satu-satunya cabang ilmu yang dapat memberikan kepastian dan keyakinan tentang reality. Oleh itu, menurut al-Attas, Barat telah “menghadkan pandangan alam pada alam yang dialami oleh indera jasmani serta direncana-bentukkan oleh akal nazari”.

Dengan menggunakan kaedah rasionalisme dan empirisisme, bagi mereka hakikat hanyalah alam tabii. Daripada kajian yang mendalam terhadap worldview Barat inilah, al-Attas menyimpulkan bahawa ilmu itu tidak neutral. Kerana baginya “ilmu bukan hanya suatu sifat yang dimilki akal manusia, bukan juga hanya hasil perolahan sifat itu tanpa dipengaruhi oleh nilai-nilai yang mempertimbangkan kesahihan pendapatnya”. Yang kita anggap ilmu tidak berdiri sendiri sebagai fakta dan maklumat tanpa cara pandang dan worldview tertentu.

                Seseorang mestilah memiliki kerangka pemikiran dan worldview tertentu sebelum ia dapat mencerna fakta-fakta dan maklumat tersebut. Pandangan al-Attas ini tidak diterima oleh beberapa cendekiawan Muslim sendiri seperti Fazlur Rahman dan Perves Hoodboy, yang terpengaruh dengan worldview Barat dan mengatakan bahawa ilmu itu value-free (bebas nilai). Mereka melihat bahawa ilmu-ilmu yang dihasilkan oleh Barat tidak mengandungi nilai-nilai yang bertentangan dengan pandangan alam Islam.

                Pandangan al-Attas bahawa ilmu itu sarat nilai (value laden) sejajar dengan ramai ilmuan lain seperti Thomas S. Kuhn dalam bukunya The Structurew of Scientific Revolution dan Edward Said dalam bukunya Orientalism dan Culture And Imperialism. Tinjauan lebih mendalam akan mendapati bahawa pandangan seperti ini hanya dimiliki oleh beberapa cendikiawan yang mandiri dan berani melihat peradaban Barat secara kritis.

                Al-Attas meneliti  secara mendalam sumber kekeliruan dalam pemikiran Barat. Beliau menjelaskan bahawa latar belakang falsafah Barat banyak mencorakkan pandangan alam Barat. Beliau melihat bahawa kemasukan pelbagai unsure daripada falsafah Greek dan Romawi, ajaran-ajaran Yahudi dan Kristian, unsur-unsur  kepercayaan orang Latin, German, Celtic, dan Nordik telah menimbulkan kekeliruan dan bukan paduan yang baik.

                Bahkan menurutnya Islam juga telah menyumbang kea rah kematangan pemikiran Barat melalui semangat rasionalisme dan saintifik. Namun campuran pelbagai sumber tersebut, walaupun ada di antaranya yang baik, kerana tidak diletakkan di tempatnya masing-masing telah menggiring peradaban Barat ke arah dualisme dan tragedi. AL-Attas menolak tesis Harvey Cox bahawa sekularisasi bukan pada Bible tetapi pada pentafsiran Bible oleh manusia Barat. Maka yang berlaku sebenarnya adalah bukan pengkristianan masyarakat Barat tetapi pembaratan agama Kristian oleh masyarakat Barat.

                Kerosakan pada ilmu berpunca daripada dualisme. Menurut al-Attas, dualisme menjadi karakter worldview dan sistem nilai peradaban Barat. Dualisme berlaku apabila dua perkara dilihat bertentangan, terpisah dan tidak dapat disatukan secara harmoni. Bibit-bibit pemisahan berlaku dalam agama Kristian apabila dipisahkan antara sacred (suci) dan profane (tidak suci). Kemudian dalam sekularisme berlaku pemisahan anatara spirit (ruh) dan matter (benda). Malah menurut al-Attas, pandangan alam secular telah menjadikan alam tabii (benda) ini qadim.

                 Seterusnya berlaku pemisahan antara wahyu (revelation) dan akal (reason) dan antara tradisi dan modeniti. Daripada pemisahan ini maka manusia sekular yang telah mengagungkan ilmu sains dan membataskan hakikat pada alam tabii, akan cenderung memilih akal daripada wahyu, benda daripada ruh, dunia daripada akhirat, modeniti daripada tradisi. Maka dengan tepat al-Attas menyimpulkan bahawa peradaban Barat telah berpegang sepenuhnya kepada akal rasional manusia dalam merungkai segala persoalan.

                Dan ini menurut beliau adalah satu bentuk defication of human being (pendewaan manusia). Dan tentunya manusia yang diagungkan di sini adalah manusia sekular dan manusia sekular yang tulen  semestinya adalah manusia Barat. Proses ini mengukuhkan lagi tesis beliau bahawa telah berlaku westernisasi ilmu, maka untuk itu diperlukan diwesternisasi ilmu.

                Berbanding epsitemologi Islam yang menawarkan keyakinan dan kepastian. Epistemologi Barat mengangkat keraguan (doubt, shakk) menjadi kaedah epistemologi yang melaluinya segala ilmu dan kebenaran diperolehi. Oleh kerananya, sering kali epistemologi seperti ini berakhir kepada kekeliruan dan skeptisisme. Tidak hairanlah agnotisme, ateisme, utilitarianisme,dan evolusionisme mula mbermunculan setelah rasionalisme Barat diperkenalkan oleh Descartes pada abad ke 17.

              Akibat daripada epistemologi yang keliru ini maka selalu terjadi perombakan dalam epistemologi Barat. Modernisme yang menegaskan objektivitisme kini dirombak oleh pasca-modernisme yang mengagungkan relativisme dan subjektivisme. Bertrand Russell menegaskan pandangan falsafah Barat terhadap ilmu dengan mengatakan bahawa “All knowledge is more or less uncertain and more or less vague”.

               Malah Russell berkesimpulan bahawa ilmu adalah produk keraguan. Kerana keraguan menjadi asas pencarian ilmu ini maka manusia dalam falsafah Barat tidak akan dapat mencapai kepastian. Kerangka epistemologi yang sekular ini menyebabkan sesuatu yang dianggap ilmu dalam kerangka pemikiran Barat tidak semestinya ilmu dalam erti kata yang sebenar tetapi boleh dikatakan sebagai pseudo knowledge (ilmu yang palsu).

               Ketidak pastian ini berlaku disebabkan oleh peminggiran sumber ilmu yang utama, iaitu wahyu dan kerana itu manusia tidak lagi dapat mengetahui perkara-perkara yang pasti. Dan ketidakpastian menjadi satu realiti dalam ilmu Barat. Sebaliknya sesuatu yang dianggap pasti dan tetap kini menjadi tidak pasti dan berubah-ubah. Seharusnya relativisme dan subjektivisme juga dilihat sebagai suatu yang tidak pasti. Namun ternyata pasca-modernis mengecualikan relativisme dan subjektivisme daripada ketidakpastian yang menjadi ciri falsafah Barat ketika ini.

                Ketidakpastian ini juga yang mengiring pemikiran Barat kepada konsep tragedi. Tragedi adalah konsep ketidaksampaian (unattainment) dalam segala usaha manusia.Tragedi menjadi cirri peradaban Barat dan merupakan sealiti  yang mesti diterima dalam kehidupan manusia sehingga banyak filem dan teater berakhir dengan tragedy dan kesudahan yang dramatic. Manusia dianggap makhluk yang malang.

                 Malang kerana harus menanggung dosa warisan (original sin) dan harus bergantung dengan keupayaan sendiri, akal nazari, untuk mencapai kebenaran. Sedangkan pada hakikatnya ia adalah makhluk yang paling beruntung kerana diberikan kurnia yang tidak terhingga oleh Allah swt. Dan Allah telah memberikannya banyak fakulti termasuk akal yang berfungsi untuk mengenal Allah dan mengenali dirinya. Sikap negatif manusia sekular terhadap kehidupan ini kemudian diimbangi dengan sikap keterlaluan dalam mengapresiasi kehidupan manusiawi.

Manusia dihakimi hanya hidup sekali maka selama hidup ini manusia harus mencari kepuasan dan kesenangan sebanyak mungkin. Sedangkan dalam pandangan Islam kehidupan dunia ini adalah ujian, jambatan, dan tempat berbekal. Di dunia manusia terikat dengan hutang kewujudan (the debt of existence) dan bukan original sin. Setelah mati manusia akan dihidupkan. Ia akan bertanggungjawab atas apa yang dilakukan di dunia dan menjalani kehidupan abadi sesuai dengan takdirnya.

                Masalah yang paling besar dalam ilmu kontemporari adalah sikap Barat terhadap agama yang dicirikan oleh ketidak percayaan (disenchantment towards religion). Hal ini berkait rapat dengan sikap sarjana Barat yang menganggap Tuhan dan agama hanyalah ilusi yang dihasilkan oleh manusia. Tuhan tentunya bukan sama sekali khayalan, mitos, yang berubah seiring perubahan zaman.

                Bagi al-Attas, Tuhan adalah hakikat semata-mata. Di sinilah berlakunya pertembungan antara pandangan alam sekular dengan pandangan alam yang berasaskan kepada tanzil (wahyu). Pertembungan ini bermuara pada perbezaan “agama dan falsafah dan sains sekular ialah cara dan kaedah kita memahami erti sumber dan kaedah ilmu”.

               Akibat daripada peminggiran agama dalam kehidupan maka realiti kerohanian dan kebenaran pada zaman moden dicirikan dengan ketidakpastian. Hal ini seiring dengan kecenderungan masyarakat  moden yang hilang minat terhadap agama (Kristian) dan tumpuan kepada ilmu-ilmu sains. Sikap terhadap agama inilah yang menyebabkan masyarakat Barat, menurut al-Attas, mendewakan manusia dan memanusiakan Tuhan (man is deified and Deity humanized).

               Selanjutnya, akibat daripada ketidakpercayaan ini, maka segala konsepsi terhadap alam realiti menjadi sekular dan materialistik. Maka konsep pembangunan (development), kemajuan (progress) dan perubahan (change) akhirnya tidak terlepas daripada kerangka sekular dan materialistik tersebut.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: