Skip to content

Kesan Pengaruh Penggunaan Istilah ‘Hadharah Islamiyyah’ dan ‘Negara Islam’

October 18, 2009

Hadharah Islamiyyah lebih tepat untuk dijadikan sebagai matlamat akhir bagi gerakan Islam. Bukannya Negara Islam atau Daulah Islamiyyah atau Darul Islam.

Ini kesimpulan ringkas yang memberi ke-jelas-an tentang perjuangan Islam yang didukung.

Sudut psikologi dan akti-reaksi (action-reaction) menjadi penilaian utama dalam hal ini, betapa perlunya re-konstruksi fikrah dalam memahami perbezaan antara istilah atau terma di atas. Negara Islam, Daulah Islam dan Hadarah Islamiyyah.

Bila berbincang mengenai Negara Islam, ciri yang menonjol adalah dalam aspek perundangan (fiqh Jinayat) dan juga kekuasaan yang harus dikembalikan ke tangan umat Islam yang benar lagi adil. Secara psikologinya, ia sebenarnya secara tidak langsung mengheret semua umat Islam untuk memberi fokus yang banyak dalam aspek politik (siyasah). Gerak kerja pengislahan lebih tertumpu kepada untuk mendapatkan kekuasaan (politik) berbanding pembentukan peribadi Muslim.

Walaupun memang berlaku proses pembentukan individu Muslim itu, seperti yang dirumuskan oleh Imam Hassan al-Banna, namun dari sudut penghayatannya, aspek siyasah lebih menonjol dan mendominasi pemikiran penggeraknya, khususnya penggerak muda.

Kesan negatif yang dapat dilihat pada sejak kebelakangan ini ialah, wujudnya satu jalur pemikiran yang asing dalam Islam, iaitu segolongan ahli gerakan muda Islam yang seolah-olah mengasingkan kegiatan menuntut ilmu dan proses memperkembangkan potensi idea pemikiran dengan kegiatan yang perlu dilakukan sebagai ahli gerakan Islam dalam satu wadah.

Perkara ini, menurut pemerhatian saya amat membahayakan gerakan Islam pada masa akan datang kerana bakal dibarisi dengan para aktivis yang hanya ramai untuk menyeru orang ramai mengundi semata-mata dan pada masa yang sama, kekuarangan para aktivis intelektual yang bersifat amanah pada ilmu yang dimiliki dan juga merupakan penggerak Islam yang sufi lagi tinggi semangat jihadnya.

Kembali pada kenyataan awal, bahawa faham negara Islam sebenarnya membuatkan ahli penggeraknya salah faham dari sudut penghayatan dengan berlakunya langkauan ke atas beberapa misi utama sebelumnya iaitu individu Muslim, keluarga Muslim dan Masyarakat Muslim. Ia tenggelam dimamah semangat untuk mendirikan negara Islam semata-mata.

Walau bagaimanapun, istilah Hadharah Islamiyyah mampu untuk memulihkan cara berfikir dan bertindak gerakan Islam masa kini, khususnya anak-anak muda gerakan Islam. Melalui faham Hadharah Islamiyyah atau Ketamadunan Islam, ia menjurus kepada satu gerakan reformasi Islam yang lebih  luas dan menyeluruh kegiatannya serta mampu menaikkan semangat untuk membentuk peribadi Muslim atau karektor sebagai Insan Kamil dalam diri setiap individu. Ia meliputi aspek kesenian, pendidikan, sosial, ekonomi, politik, kebudayaan dan pemikiran ummah.

Melalui faham untuk pembentukan Hadharah Islamiyyah ini juga, jalinan antara kekuasaan, politik, ke-ilmuan dan adab dapat dilakukan dengan baik dan sempurna. Sebarang prejudis terhadap ilmuan Islam yang berotoriti dalam ilmu masing-masing dapat dikikis serta idea-idea bernas mereka dapat djadikan pertimbangan dalam membuat keputusan.

Dalam perkembangan mutakhir ini, saya bersyukur dan gembira bila melihat kesungguhan anak-anak muda gerakan Islam sudah mula menjurus diri kepada pembentukan tarbiyyah aqliyyah dengan mewujudkan budaya ilmu dalam diri dan masyarakat sekitarnya.

Pembelian dan pembacaan buku sudah semakin menjadi kegiatan rutin bagi ahli gerakan muda Islam. Begitu juga masyarakat Islam seluruhnya. Ia merupakan petanda positif bagi umat abad ini, sebagai usaha menghilangkan kejahilan diri. Ini juga merupakan satu langkah awal dalam usaha melakukan islah dengan lebih besar di dalam masyarakat Islam masa kini.

Adalah disarankan pada diri penulis ini terutamanya dan ahli gerakan muda Islam, untuk menjadikan Imam al-Ghazali sebagai Tok Guru dalam pembentukan individu Muslim, melalui karya-karya beliau seperti Bidayatul Hidayah, Minhajul ‘Abidin, Ihya’ Ulumuddin, Tahafut al-Falasifah dan lain-lain karya atau syarah kitab-kitab beliau. InsyaAllah, ia mampu melahirkan individu  Muslim yang sihat aqidahnya, ibadahnya, tasawufnya dan juga pemikiran serta tindakannya.

Apapun,  ia merupakan satu saranan pilihan terbaik. Di samping itu, tiada masalah untuk membaca dan mentelaah banyak lagi karya-karya agung para ilmuan Islam yang lain. Juga menghadiri pengajian pondok atau mana-mana daurah serta majlis ilmu. Pokok pangkalnya, jadikan proses mencari kebenaran sebagai asas mencari ilmu. Sesungguhnya ilmu itu adalah sesuatu yang memberi ma’na dalam diri pencarinya. Ma’na yang dapat mendekatkan diri kepada Pencipta yang Agung.

Berbalik kepada istilah di atas, istilah dan penghayatan untuk mewujudkan kembali Hadharah Islamiyyah adalah lebih tepat untuk dijadikan matlamat sesebuah gerakan Islam.

Penghuraian berkenaan dengan istilah atau perkataan yang saya lakukan adalah atas dasar merasakan ia amat penting agar maksud asal bagi sesuatu perkataan atau istilah dapat difahami dengan jelas dan tepat, seterusnya mampu membentuk suatu paradigma yang jelas tentang suatu perkara atau istilah. Seterusnya ia akan melahirkan sebuah tindakan yang benar berdasarkan istilah yang difahami.

Sekadar perkongsian pada semua.

Wallahu ‘alam.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: