Skip to content

Pembangunan dan Peng-Islah-an

July 31, 2009

Salam Aufklarung,

Pembangunan merupakan istilah yang selalu digunakan untuk merujuk kepada tahap kemajuan sesebuah negara. Bagi negara-negara Afrika, secara lintasan di minda, kita akan menganggap negara mereka adalah negara yang belum membangun- kerana diukur dari sudut  kurangnya bangunan dan mundurnya kehidupan.

Sehingga, terdapat beberapa kategori yang diberikan untuk mengklasifikasikan tahap kemajuan bagi sesebuah negara iaitu, Negara Dunia Ketiga, Negara Membangun dan Negara Maju.

Secara umumnya, Negara Dunia Ketiga adalah kumpulan Negara-negara yang berada dalam keadaan daif, sama ada dari sudut taraf hidup, keilmuan mahupun pembangunan fizikal dan prasarana. Negara Membangun pula adalah kategori Negara-negara yang sedang menuju ke arah kemajuan. Wawasannya jelas, pembangunannya nampak dan bersifat realiti serta turut menjadi contoh kepada Dunia Ketiga dalam proses memajukan negara mereka.

Negara Maju pula merujuk kepada Negara yang mempunyai prasarana yang canggih, kematangan dalam berpolitik, derasnya pembangunan fizikal, pengurusan yang efisien serta meluasnya sikap positif dari sudut berfikir dalam kalangan rakyatnya. Walau bagaimanapun, perlu ditekankan di sini bahawa sikap positif yang dimaksudkan adalah berasaskan pemikiran sekularisme yang  bercanggah dengan syarak. Ianya sarat dengan etika yang bertunjangkan humanisme dan dualism.  Akan tetapi, budaya atau sikap positif mereka seperti pembersih, menghormati orang lain, menghargai anak kecil, dan sebagainya, dikaitkan dengan nilai-nilai murni yang turut di anjurkan oleh Islam.

Fokus kepada perbincangan di dalam artikel ini ialah, apa sebenarnya pembangunan menurut Islam? Benarkah fokus pembangunan yang sedang berlaku di Negara kita sekarang? Apakah kesan atau impak bagi pembangunan sebegini rupa?

Pembangunan menurut Islam adalah pembangunan yang bersifat menyeluruh, akan tetapi ia mestilah mengikut keutamaan (awlawiyyat) – dalam proses memastikan hasil pembangunan memberikan kesan postitif kepada individu, keluarga, masyarakat, Negara dan dunia am-nya.

Pembangunan, seperti yang dihuraikan oleh Prof Wan Mohd Nor – disifatkan atau lebih tepat disebut sebagai peng-islah-an. Menurut Syed Muhammad Naquib, Tok Guru besar kepada Prof Wan Mohd Nor, pembangunan yang dimaksudkan menurut Islam bukanlah bermakna, Islam perlu disesuaikan mengikut masa kini (post-modernism). Tetapi pembangunan dalam Islam membawa erti penentangan Islam terhadap keadaan sejarah masa kini yang sudah jauh menyimpang dari jalan yang benar. (Risalah Untuk Kaum Muslimin)

Penentangan di sini adalah penentangan total terhadap pembangunan-mengikut kefahaman Barat- yang menyebabkan hilangnya sifat ke-insan-an dalam diri seseorang individu. Proses pembangunan  (peng-islah-an) menurut kaca mata Islam harusnya melalui proses yang teratur dan mengikut maratibnya. Hal ini diperkenalkan secara sistematis tentang maratib perlunya berlaku islah dengan menjadikan individu Muslim sebagai sasaran atau penghasilan asas, seterusnya ia akan membentuk keluarga Muslim, Masyarakat Muslim, Negara Islam dan Khilafah Islamiyyah.

Jika dituruti satu persatu maratib yang disusun ini, ia bukan satu proses penghasilan yang bersifat jangka pendek atau singkat. Tidak cukup dengan proses pentarbiyyahan selama 3 tahun, 5 tahun, atau 10 tahun. Akan tetapi ia adalah proses berterusan yang memerlukan kesedaran kendiri (consciousness) dan diikuti dengan kesungguhan beserta amal untuk membawa Islam kembali kepada tempatnya yang asal. Hal ini memerlukan lahirnya individu-individu yang mempunyai keberanian jiwa, keyakinan, dan kemampuan akal yang baik. (Risalah Untuk Kaum Muslimin)

Proses peng-islah-an ini harus meletakkan ilmu sebagai asasnya. Dari ilmu akan melahirkan aqidah yang benar, ibadat yang betul dan insan yang beradab. Apabila individu muslim yang dilahirkan tidak mempunyai asas ilmu yang kukuh, walau semangat yang dimiliki bersifat berkobar-kobar, ia belum tentu lagi dapat melakukan pengislahan pada umat kerana pengislahan yang benar hanya dapat dilakukan oleh individu-individu yang berilmu.

Oleh yang demikian, proses pengislahan yang dicanang-canangkan ini seharusnya memberikan perhatian yang serius kepada pembangunan individu muslim dengan menekankan aspek keilmuan sebagai asas bangunannya. Ini adalah langkah pertama dalam proses melakukan Islah di dunia Islam zaman kini. Tidak akan lahir Salahuddin al-Ayubi kali kedua, tidak akan hidup imam al-Ghazali kali kedua dan juga ilmuan dan tokoh reformis lainnya, sekiranya umat kini tidak mempunyai sikap yang bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu dan hanya mengutamakan kerja amali (iaitu tanpa pembangunan aqal).

Kembali kepada persoalan kedua, tentang pembangunan yang sedang berlaku disekeliling kita masa-kini. Adakah ia sebuah pembangunan yang seimbang dan mampu membina tamadun Islam kali kedua?

Sejarah kegemilangan Islam bermula dengan lahirnya individu-individu soleh yang menjadi asas pembentukan tamadun. Penghasilan individu muslim seperti yang dirungkaikan di atas, menjadi punca melebarnya pembudayaan ilmu dan penghayatan gaya hidup sebagai seorang mukmin.

Walau bagaimanapun, dengan faktor persekitaran dan suasana dunia yang tidak menentu, boleh dikatakan bahawa fokus kepada penghasilan individu Muslim, tidak menjadi focus utama, walaupun kerajaan telah memperuntukan sejumlah bajet yang besar di dalam sector pendidikan. Sistem pendidikan Negara seolah-olah sudah lari daripada konsep Falsafah Pendidikan Negara.

Akhir kepada pendidikan Negara kita-pada hari ini- ialah untuk melahirkan pengisi-pengisi jawatan kerja di luar sana yang mampu membangunkan negara dari sudut ekonomi, akan tetapi miskin dari sudut aqidah dan akhlak Islamiyyah. Manusia yang keluar dari kampus-kampus pengajian tinggi pula, majoritinya adalah graduan yang bermotifkan kerjaya sahaja. Setakat itulah akhir tujuan pendidikan di Negara kita pada hari ini-realitinya.

Akhirnya, pembangunan yang dicanang-canangkan hanya tinggal slogan. Ia hanya menjadi alat politik bagi sesetengah pihak untuk mengekalkan kuasa- disamping membunuh rakyat tanpa sedar. Ketika itu, rakyat yang wujud, ialah rakyat-terutamanya muslim- yang sudah terhakis Islamnya, sama ada secara luaran mahupun dalaman.

Negara kita pada ketika itu boleh berbangga dengan bangunan-bangunan yang tinggi, teknologi-teknologi yang canggih, akan tetapi tidak boleh berbangga dengan pembangunan rakyatnya. Kerana ketika itu, rakyat yang wujud bukanlah rakyat Malaysia, tetapi rakyat Barat bertopengkan Malaysia. Ini akan berlaku jika kerajaan, pembangkang, NGO-NGO Islam dan sesiapa sahaja, tidak meletakkan survival ummah sebagai fokus utama pengislahan-bukannya pembangunan material.

Tanggungjawab ini ialah tanggungjawab saya dan kita semua.

Sekian untuk kali ini. Wallahu ‘alam.

(31 Julai 2009 / Jam 0041)

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: