Skip to content

Pengembaraan Untuk Mengembalikan Semula Watak Muslim Yang Hilang

July 27, 2009

Mengembalikan Semula Watak Muslim yang Hilang..

Tagline di atas ini semakin jelas untuk saya fahami dengan mendalam. Ia tidak terhad untuk menjuruskan watak muslim dalam bidang kewangan, ekonomi atau politik semata-mata, tetapi ia merangkumi watak muslim dalam semua aspek. Penelitian saya pada prakata (baru prakata, belum isinya lagi) dalam magnum opus Syed Muhammad Naquib (versi 1 sebelum hasil saringannya menjadi ‘Islam and Secularism’), banyak merujuk kepada perumpamaan-perumpamaan yang diberikan oleh beliau. Prof M. Naquib sememangnya banyak mebuat perumpamaan-perumpamaan untuk memudahkan idea-idea beliau difahami dan ini diperakui oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud di dalam karyanya “Falsafah dan Praktis Pendidikan Islam Syed M. Naquib al-Attas”.

Beliau mengumpamakan umat Islam dan Islam sebagai; cermin yang menjelmakan hakikat Islam itu sendiri dan hakikat sesuatu objek (Islam itu sendiri). Apabila cermin itu karat, tidak lurus dan penuh dengan bintik-bintik hitam, maka pantulannya juga turut menerima akibat. Gambar yang terpantul juga turut tidak lurus, kemas dan cantik seperti hakikat objeknya yang ada.

Oleh itu, bagi sesiapa yang melihat gambar tersebut, akan menyangka bahawa objek tersebut memang tidak kemas, tidak cantik, penuh dengan bintik-bintik hitam dan jelek untuk dilihat. Padahal, yang menjadi masalahnya bukan subjek tersebut, tetapi cermin! Begitu jugalah Hakikat Islam masa kini yang diucemuh, disalah anggap malah dipandang serong oleh yang tidak memahami Islam. Ia bukan disebabkan oleh Islam itu sendiri, tetapi ia sebenarnya disebabkan oleh ‘cermin’ yang memantulkan Islam itu. Umat Islam sendiri!(umat Islam = cermin)

Beliau juga mengumpamakan umat Islam ini seperti sebuah ‘lakonan lama’. Lakonan lama yang diulang tayang dan hasilnya adalah sentiasa tidak membosankan, sentiasa diberi pujian, sentiasa disanjung, sentiasa dijadikan sebutan dan sentiasa diikuti dan ditiru gerak lakonannya.

Akan tetapi, pada masa-kini, lakonan lama tersebut tidak dapat diulang. Kerana para pelakonnya sudah hilang ma’na-diri, sudah lupa peranan bagi setiap lakonan yang mesti dibuat, sudah lupa ilmu-ilmu lakonan tersebut. Lalu lakonan lama itu hanya menjadi sekadar lipatan dalam sejarah yang hanya bertujuan untuk dibangga-i, tapi bukan untuk dipusakai.

Walau bagaimanapun, menurut Syed M. Naquib, ia boleh ‘ditayangkan’ semula, dengan syarat, umat Islam perlu mempunyai keberanian jiwa, keyakinan diri dan kemantapan akal sehingga mampu membawa perubahan dalam sejarah hingga sesuai dengan kehendak Islam. Di sini, pemantapan ilmu perlu wujud dalam diri setiap muslim. Ini adalah perumpamaan terhadap kehebatan Islam yang terbukti sejak beratus tahun yang lampau

 

Ini hanya sebahagian daripada prakata yang dinukilkan oleh Syed M. Naquib di dalam ‘Risalah Untuk Kaum Muslimin’. Ia sebagai muqaddimah dalam usaha saya memahami dengan lebih mendalam tanggungjawab saya dan para penggerak Islam sekalian untuk mengembalikan semula watak umat Islam yang hilang akibat dimamah semangat dan fahaman sekularisme, liberalisme, pluralisme, rasionalisme, positivisme, kapitalisme, sosialisme dan ism-ism yang lain. Terlampau banyak sangat isme-isme yang sedang menghiasi kehidupan muslim masa kini tanpa kita sedar. Hatta turut membelenggu pemikiran dan tindakan segolongan ahli-ahli gerakan Islam kampus! Nauzubillah..

Watak Muslim yang hilang ini harus dicari dan disematkan semula di dalam diri setiap Muslim. Proses pemerkasaan ‘ilmu (menurut definisi yang diberikan oleh al-Attas) harus dihayati dan tidak disempitkan skopnya pada penghasilan CGPA yang tinggi semata-mata. Tidak salah, tapi jangan diagung-agungkan sehingga menafikan kebolehan lain yang dimiliki seseorang mahasiswa.

Pendek kata, sama ada para pensyarah dan juga para pelajar, semoga terhindar dari dibentuk pemikiran oleh sistem universiti yang praktikalnya bersifat untuk menghasilkan robot, walau dari sudut falsafah, visi dan misinya adalah berbeza dengan praktikalnya. Sedangkan, praktik dan teori tidak boleh berbeza. Oh, saya tersentuh berkenaan dengan universiti rupanya..

 

“Risalah Untuk Kaum Muslimin”

Sudah lama saya berhajat mahu memiliki kitab ini. Kitab yang ditulis oleh seorang ulama’ nusantara abad ke 20/21 ini adalah kitab versi pertama (1973) sebelum dikemas-kini oleh penulisnya untuk menghasilkan kitabnya yang berjudul ‘Islam and Secularism’ (1978). Walau bagaimanapun, kitab versi awal ini hanya dibukukan untuk tatapan umum pada tahun 2001 sahaja, sedangkan idea ini telah wujud sejak 30 tahun yang lepas.

Risalah Untuk Kaum Muslimin

Muka depan “Buku Risalah Untuk Kaum Muslimin”. Muka depannya sahaja sudah mampu untuk mengimbau zaman kegemilangan Islam pada sekitar abad ke-10 M hingga abad ke-13 M. Saya dapat rasakannya.. Buku yang patut dimiliki oleh generasi muda Islam, terutamanya ahli-ahli gerakan Islam, untuk memahami permasalahan utama umat Islam

Mujur, kedatangan saya ke Seminar tersebut tempoh hari menemukan saya dengan kitab tersebut. Sebenarnya ada dua buah kitab lagi yang saya ingin beli, tetapi disebabkan kekangan sumber kewangan, terpaksa saya tahan keinginan saya. Moga berpeluang untuk membelinya bila tiba di semenanjung nanti.

Selepas meneliti secara serius pada setiap kertas kerja oleh anak-anak murid prof syed Naquib al-attas tempoh hari (walaupun penumpuan semakin berkurangan pada sebelah petangnya), disamping berbekalkan pembacaan hasil karangan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud selaku pelajar dan sahabat Syed M. Naquib al-Attas, saya berani membuat kesimpulan awal bahawa Syed Naquib al-attas boleh diumpamakan sebagai al-Ghazali Jr. di atas kedalaman ilmu dan kefahaman Syed Naquib dalam memahami falsafah-falsafah moden barat dan keberhasilannya merungkai permasalah utama umat Islam masa kini serta jalan penyelesaian yang ditawarkan olehnya, bukan sekadar teori tetapi bersifat praktikal (sebagai contoh, dengan tertubuhnya institusi ISTAC), beliau sememangnya wajar menyandang Kerusi Ternama al-Ghazali seumur hidup (1993) di atas sumbangan beliau terhadap umat Islam seluruh dunia, bukan setakat di Malaysia sahaja.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna berlaku penafian atau penolakan terhadap hasil perjuangan para ulama’ terdahulu dan masa kini. Apa yang ingin dikatakan di sini ialah masing-masing ada peranan dan sumbangan masing-masing yang perlu untuk diadili secara dengan adil dan beradab oleh kita semua.

Semoga sumbangan para ulama’ disekeliling kita dapat dihargai sebaik mungkin sebelum mereka menemui Allah swt. Janganlah berulang lagi apabila seseorang ulama’ itu menemui Allah, ketika itulah baru mahu menghargai karya-karya mereka. Tidak salah jadi begitu, tetapi adalah tidak beradab apabila kita gagal meletakkan mereka pada tempat sewajarnya ketika mereka masih hidup.

Usaha mereka haruslah dihargai, pandangan mereka harus dinilai dan dipertimbangkan untuk diimplimentasikan di dalam sistem-sistem kehidupan umat manusia serta proses pengislahan ummah harus berlaku secara adil dan berterusan tanpa wujud sebarang diskriminasi.

Ingin saya kongsikan bersama gambar kenangan kembara mencari ma’na hidup..

 07-25-09-Dr Khalif Muammar

Dr. Khalif Muammar sedang menyampaikan Kertas Kerja 1. Menggantikan Prof Wan Mohd Nor yang tidak dapat hadir kerana kurang sihat.

07-25-09-bersama Pres ABIM SABAHGambar Kenangan Bersama Presiden ABIM SABAH, En. Abdul Manap Mahmod 

Semoga seminar-seminar seumpama ini akan terus di adakan. Tetapi, seperti kata Dr. Zaidi Ismail:

Jangan sangka bila sudah menghadiri banyak seminar, maka sudah banyak ilmu yang didapati… Sedangkan seminar-seminar seumpama ini sebenarnya hanyalah sebagai lontaran idea untuk dikaji dengan lebih mendalam…

Ini hanya salah satu proses awal untuk pengembaraan yang lebih jauh. Moga akan datang, majlis seumpama ini akan menarik kehadiran mahasiswa untuk hadir, terutamanya ahli-ahli gerakan Islam kampus. Tidak ramai mahasiswa yang hadir ke seminar ini. tertanya-tanya juga, di mana mereka… Tapi mungkin ada tugasan yang lebih aula

P/S: Proses pengembaraan intelektual yang membumi akan diteruskan, InsyaALlah…

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: