Skip to content

Pandangan Saya Terhadap GAMIS Semasa

June 25, 2009

GAMIS

 

Salam Aufklarung,

Gelombang anak muda Islam atau para pemuda pemudi gerakan Islam dapat saya rasakan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Gelombang ini yang berlaku bukan sahaja bersifat fizikal seperti Demonstrasi BERSIH, Demo anti-PPSMI, menghantar memorandum kepada pihak berwajib seperti kes ketidakadilan di dalam Pilihanraya Kampus, isu pembatalan MoU antara Universiti al-Azhar dengan Kolej-kolej Islam dan pelbagai lagi memorandum yang dibuat oleh gerakan Mahasiswa Islam yang menjadikan GAMIS sebagai front utama gerakan Islam Kampus, tetapi juga telah wujud gelombang merombak cara berfikir mahasiswa Islam seluruhnya (walau belum bersifat menyeluruh lagi).

{Suatu ketika dahulu}-Saya sendiri mengenali GAMIS secara dekat ketika kepimpinan Ustaz Tarmizi, kalau tidak silap saya sesi 2005. Kemudian diteuskan dengan kepimpinan Ustaz Dzulkhairi yang pada ketika itu, saya sendiri tidak nampak apa-apa keistimewaan atau perkara baru yang ingin dibawa oleh beliau. Persepsi ini timbul mungkin kerana ‘terbiasa’ dengan cara kepimpinan yang lepas, lalu perasaan ‘masih belum percaya’ pada kepimpinan baru wujud di hati. Itu hanya persepsi awal.

Selama berada di kampus, rasa kebersamaan saya dengan GAMIS agak kurang. Segala gerak kerja tarbiyyah dan dakwah kampus banyak mendapat bantuan dari sudut pandangan dan idea sahabat-sahabat dari Kota Kinabalu dan juga bahan-bahan tarbiyyah dari Semenanjung. Tapi, saya tidak nafikan, memang ada hubungan dengan GAMIS yang dilakukan oleh sahabat-sahabat saya yang lebih berotoriti untuk memastikan perjalanan tarbiyyah dan dakwah tidak tersasar dari Visi GAMIS (pada ketika itu).

 Ketika itu juga, isu blog dan blogger mula ‘hangat’ dan ia membuka ruang untuk lebih cakna dengan isu-isu kampus dan gerakan Islam kampus di Semenanjung. Saya masih ingat lagi, laman web utama untuk saya ‘jenguk’ ketika itu antaranya ialah Kampus Negara. Di laman tersebut, pimpinan GAMIS mengeluarkan ‘statement’ rasmi dan tidak rasmi.

Berbalik kepada zaman kepimpinan Ustaz Dzulkhairi. Penulisan beliau yang semakin ‘kritikal’ menyebabkan saya semakin berminat untuk ‘mengambil tahu’ cara beliau berfikir. Isu kontroversi yang menjadi buah mulut setaip peringkat ahli gerakan, termasuk mantan-mantan pimpinan GAMIS ialah isu pertukaran status GAMIS menjadi NGO. Saya sendiri kurang jelas ketika itu. Dan seperti biasa, bila wujud isu yang kurang jelas, saya mengambil langkah tunggu dan lihat terlebih dahulu.

Ketika itu, sumber yang ada ialah blog gamisdaily. Dan antara tujuan utama berlaku perubahan tersebut ialah untuk memudahkan mendapat dana (saya masih hold on pandangan ini), Selain itu, ialah untuk maslahah dakwah supaya dapat diterima anak-anak muda Islam kerana GAMIS sudah tidak lagi bersifat ‘underground’. Ini antara kenyataan yang saya dapat hadam ketika itu sebagai hujah yang menyokong keputusan pimpinan GAMIS untuk menjadikan GAMIS sebagai NGO berdaftar. Pada masa yang sama, kedengaran suara yang kontradik dengan keputusan pimpinan GAMIS. Dan ia berlarutan sehingga sekarang walaupun tidak sekencang dahulu. Seperti biasa, saya mengambil sikap tunggu dan lihat, apa sebenarnya yang ingin dibawa oleh pimpinan GAMIS kali ini..

{Kini}-Sekarang, setelah saya hampir keluar dari kampus, baru saya dapat tangkap apa yang pimpinan GAMIS ingin bawa dan hidangkan kepada ahli-ahli GAMIS. Benar atau salah, ini adalah dapatan saya. Jika salah, silap, mohon ditegur.

Ia berkaitan dengan keperluan mengubah ‘mind-set’ dan paradigma atau cara berfikir setiap ahli gerakan Islam di kampus-kampus. Perubahan ini tidak boleh dilakukan ketika berlakunya demonstrasi. Perubahan ini tidak boleh dilakukan ketika memorandum dibuat. Perubahan ini tidak dapat dilakukan ketika hendak membantu pilihanraya, samada pilihanraya kampus, DUN, parlimen atau UMUM.

Tetapi perubahan ‘mind-set’ ini boleh berlaku di majlis-majlis ilmu, usrah, liqa’ fikri, makalah-makalah, penulisan-penulisan, diskusi-diskusi ilmiah dan tidak lupa juga satu lagi medium utama penyebaran fikrah dan idealisma iaitu melalui blog.

Melalui cara inilah, kerja berat untuk mengubah cara berfikir ahli-ahli menjadi tugas asasi bagi pimpinan GAMIS seperti Ust Dzul, Ust Syaari, dan sahabat-sahabat pimpinan GAMIS yang lain. Proses ‘mengubah’ ini juga dilakukan oleh aktivis mahasiswa seperti sahabat saya, akhi Wan Rausyanfikir dan beberapa orang mahasiswa lain yang saya kira sarat dengan idea dan pandangan, baik muslimin mahupun muslimat, untuk melihat bahawa gerakan Islam pada masa akan datang dapat menjadi sebuah gerakan yang bersifat seperti yang pernah diutarakan oleh Almarhum Ustaz Fadhil Noor:

“Kita mahu PAS supaya menjadi sebuah organisasi dan parti yang Usuliy (Fundamentalis) di segi prinsip, Muasir (Kontemporari) di segi perlaksanaan dan Istiqbaliy (Futuristik) di segi persiapan masa depan.”

Pada saya, idea-idea yang dikongsikan bersama oleh mereka lebih bersifat untuk ‘membuka minda’ ahli-ahli yang hanya selesa dengan keadaan sekarang. Keadaan yang saya maksudkan ialah sikap yang merasakan jemaah PAS adalah yang terbaik. Iya, saya sokong jemaah PAS yang terbaik dari sudut wasilahnya yang strategik dan paling sesuai untuk kerja dakwah yang bersifat menyeluruh. Ini saya sokong dan saya akui. Tetapi, dalam hal ‘isi’ di dalamnya, iaitu dalam kalangan penggeraknya terdapat keadaan yang perlu diperbetulkan dari sudut cara berfikir dan bertindak ahli. Ini juga meliputi dari aspek cara pentarbiyyahan (lebih suka menggunakan istilah pen-ta’dib-an) yang perlu diperhalusi diperingkat setiap kampus.

Cara pentarbiyyahan yang bersifat penekanan kepada waqi’iyyah keterlaluan dan mauduk tarbiyyah yang berlegar sekitar buku-buku haraki yang terdahulu SAHAJA tanpa memberi pendedahan kepada ahli tentang pandangan luar dan lebih luas yang mungkin bertentangan dengan pandangan jemaah untuk dinilai dengan saksama, sebenarnya melahirkan ahli-ahli yang takut untuk berfikir diluar waqi’, takut untuk mengeluarkan pandangan yang bersifat konvensional (iaitu pandangan yang kontradik dengan pandangan jemaah), dan takut untuk bertindak sendiri (melakukan dakwah fardiyyah) kerana terikat dan bergantung kepada keputusan pimpinan jemaah sahaja.

Ini mungkin hanya sebahagian daripada beberapa kekurangan yang perlu ditampung ia sedang cuba dilakukan oleh pimpinan GAMIS semasa. Iya, mungkin ada pandangan-pandangan yang tidak tersusun dan agak ‘terlampau’ yang pernah dikeluarkan oleh dalam kalangan pimpinan GAMIS, tetapi adalah tidak adil jika kita mengambil sikap terus membuang idea dan pandangan mereka yang sepatutnya boleh diperhalusi diperingkat ahli-ahli GAMIS yang sayangkan ISLAM.

Bukannya dengan melemparkan kata-kata yang berunsur provokatif (tidak bernama) serta menghamburkan kata-kata yang di luar kewarasan seseorang yang mempunyai agama. Sedangkan ia berlawanan dengan hadis Nabi saw yang ada menerangkan bahawa misi pengutusannya ialah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Saya tertanya-tanya, ini ke hasil ta’dib di kampus-kampus? Jika ini hasilnya, maka ada yang tidak kena dengan cara pen-ta’dib-an yang sedang berjalan. Atau mungkin juga ia adalah provokasi dari pihak lawan yang hendak memecahbelahkan jemaah. Jika ini yang berlaku, maka setiap ahli harus berhati-hati dengan orang yang tidak bernama.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah, keperluan ahli-ahli muda gerakan Islam untuk meluaskan pembacaan dan memperkayakan ia dengan pengalaman. Luaskan pembacaan bermaksud, aktiviti membaca wajib disemai oleh ahli-ahli gerakan Islam. Ia adalah input untuk menggerakkan minda dan pemikiran supaya lebih bersedia untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Pembacaan harus merentasi politik kepartian dan berada sekitar ‘orang kita’. Sikap untuk mencari kebenaran mesti mendahului daripada sikap taklid membuta tuli dalam sesuatu pandangan. Sikap mengutamakan ukhwah mesti didahulukan daripada mengutamakan perbezaan dari sudut berfikir. Sikap hormat-kritis juga perlu disemai. Melaluinya, kritikan harus dilakukan dengan hormat dan tidak terburu-buru sehingga kita melaku zalim pada empunya pemberi pandangan.  Ini sebahagian akhlak yang perlu wujud dalam diri setiap ahli gerakan Islam.

Ilmu itu luas dan ia perlu diterokai sebanyak mungkin. Walau bagaimanapun, penuntutnya harus beradab dalam mencari ilmu. Ilmu fardhu ain harus diutamakan dari ilmu fardu kifayah. Dalam hal ini, jika tidak arif tentang sesuatu isu, adabnya ialah jangan memperkatakan tentangnya. Jika tidak, ia mampu memberi kesan negatif pada umat Islam seluruhnya.

PERHATIAN….

Perlu ditegaskan di sini, konteks di atas, bila diteliti, adalah merupakan salah satu uslub ta’dib ke atas segolongan ahli gerakan Islam. Ia tidak meliputi pada setiap peringkat ahli gerakan Islam. Di sinilah antara keunikan jemaah PAS yang saya dapat hayati. Jika pak cik nelayan yang baru kenal jemaah Islam, maka caranya adalah berbeza dengan uslub ta’dib yang mahasiswa dapat ketika di kampus. Begitu juga dengan ustaz yang semasa di kampus dahulu tidak mendapat pen-ta’dib-an yang diperlukan, maka apabila mereka ingin bergerak di luar kampus, caranya sudah tentu berbeza. Begitu kumpulan penggerak yang lain. Matlamat (ghayah) tetap sama.

Oleh itu, apabila wujud saranan dari pimpinan GAMIS atau sesiapa sahaja agar ahli gerakan Islam kampus mengambil pengajaran dan hikmah dari rakan jemaah yang lain, maka ambillah ia seikhlas hati. Apa yang dirasakan perlu ditambah dalam proses pen-ta’dib-an ahli gerakan Islam kampus melalui wadah GAMIS, maka ambillah ia. Tanpa mengabaikan prinsip-prinsip perjuangan yang telah dihadam sebelum ini.

Berkaitan dengan salah faham atau tidak bersetuju dengan pandangan pimpinan GAMIS, tindakan yang wajar diambil ialah menghubungi atau bersemukalah dengan mereka. Tiada guna kita bersengketa dalam satu jemaah dengan menafikan bahawa seseorang itu mungkin ada sisi pandangan yang berbeza dari kita, pengalaman yang lebih luas dan berbeza dari kita dan cakupan ilmu yang lebih luas dan mendalam dari kita. Semua ini mempengaruhi sesuatu pandangan yang dikeluarkan untuk dinilai bersama.

InsyaAllah, saya akan berta’aruf dengan Ust Dzul dan beberapa sahabat di semenanjung pada akhir bulan Julai nanti selepas pulang ke Semenanjung untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan dengan apa-apa yang saya sendiri tidak faham dan musykil. Yang lebih penting, belajar sesuatu dari mereka.

Sekadar perkongsian dengan sahabat-sahabat pembaca..

P/S: Untuk makluman, nama-nama yang disebutkan ialah setakat yang saya tahu dan ikuti perkembangan fikrah mereka. Sebenarnya ramai lagi dan ini hanya contoh. Belum termasuk sahabat-sahabat blogger yang lain yang mempunyai idealisma yang sama (walau method berbeza) untuk membawa perubahan dalam aspek paradigma Mahasiswa Islam. Lagi satu, sebenarnya, saya ingin huraikan pandangan saya terhadap GAMIS berkaitan dengan persediaan sebagai future leader, tapi tidak dapat huraikan sekarang kerana keterbatasan masa. Jadi, penulisan ini hanya sebahagian daripada pandangan saya terhadap GAMIS.  Wallahu ‘alam.

2 Comments leave one →
  1. June 26, 2009 12:21 am

    salam hormat, ana kira akhi boleh luaskan lagi skop pandangan terhadap pembawaan GAMIS sesi kepmpinan kini…dan andailah dapat di ‘mudahkan’ ayat yang di gunakan agar dapat dihadam oleh sahabat2 kampus yang amat perlu mendalami dan memahami segala isi yang ingin akhi sampaikan.. ana sendiri sebenarnya, sudah lama ingin mengulas tentang ni cuma,belum kesampaian…

    Yang paling penting, setiap kita perlu tahu, kita perlu berfikir dari pelbagai dimensi pemikiran, tanpa terikat dan tunduk dengan mana-mana idealisme… biarkan bebas mencambahkan pemikiran n pandangan masing2 selagi tidak bercanggah dengan syariat, kerana setiap kita punya impian yang sama ingin meletakkan Islam di tempatnya yg teratas…

    teruskan berkarya….

  2. Aliff Bin Basri permalink*
    June 26, 2009 8:56 am

    Syukran,ukhti..
    Mudah macam mana maksud nti ya..?

    Iya, betul tu. Teruskan berfikir, cuma hati-hati.. Jangan sampai ego wujud dalam diri hingga menafikan pandangan yang lebih rajih.

    Mohon tunjuk ajar ya.🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: