Skip to content

Pemerkasaan Ilmu Asas Dakwah Manhaj Maliziy: Perspektif ABIM

June 23, 2009
Salam Aufklarung,
Baca dengan teliti dan hayati ia untuk manfaat yang maksimum. Moga ia bermanfaat buat gerakan Islam. Buang yang keruh dan ambil yang jernih.

Sesuai dibaca oleh insan yang ikhlas pada kebenaran dan mengamalkan budaya hormat-kritis dalam berbeza pandangan.

Selamat menjamu selera..

Oleh: Dr. Mohd Farid Mohd Shahran
(Kertas kerja ini dibentangkan pada Seminar Antarabangsa Dakwah dan Generasi Muda, pada 10, 11 September 2007 di UKM.)
 

MUKADDIMAH

Masyarakat Islam dewasa ini sekali lagi didepani dengan cabaran ekstremisme. Ia menjelma sekurang-kurangnya dalam dua bentuk; mereka yang melonggarkan dan penisbikan pentafsiran agama sehingga tercabut dari akar umbinya yang asli dan mereka yang menyempitkan pentafsiran agama sehingga menjadikannya begitu keras dan tertutup, justeru mudah mengeluarkan sebahagian masyarakat Islam yang lain dari ruang lingkup agama.  Sementara golongan pertama, atas nama kebebasan, kemanusiaan, pencerahan dan pembukaan pintu ijtihad telah merungkaikan segala asas-asas keagamaan yang telah baik terjalin dalam tradisi keagamaan Islam, golongan kedua pula, atas nama pemurnian akidah dan perjuangan menegakkan sunnah dan membenteras bid’ah, telah menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat dengan serangan terhadap ijtihad dan budaya amal Islami yang telah sedia berakar umbi dalam masyarakat Islam di rantau ini. 

Walaupun penjelmaan wajah-wajah ekstrem ini bukanlah kisah baru dalam tradisi ilmu Islam, akan tetapi disebabkan kekeliruan sebahagian masyarakat terhadap intipati pengajaran Islam yang sebenar, badai kehadiran aliran-aliran ini sedikit sebanyak telah menggoncang bahtera kefahaman agama mereka sehingga tidak kurang juga yang hanyut lemas dipukul badai tersebut.  Sudah tentu keadaan ini tidak akan berlaku sekiranya bahtera kefahaman ini kukuh dan arus perdana yang membawanya ke destinasi kebenaran juga kuat berbanding badai yang melanda.

 

Dengan kata lain, sekiranya masyarakat kembali dididik dengan ajaran Islam yang sebenar melalui proses ta’dib yang betul, gejala ekstremisme dalam kefahaman dan pengamalan agama akan dapat dibendung. Justeru itu terdapat keperluan terhadap satu manhaj penyebaran agama yang realistik kepada keadaan setempat dan cabaran lingkungan yang tersendiri. Manhaj Maliziy, yang dipelopori oleh ABIM dan yang menggambarkan pendekatan yang dimaksudkan seharusnya menjadi pencetus kepada usaha yang lebih tersusun untuk kembali mendidik masyarakat Islam dengan ta’dib yang sebenar terhadap intipati ajaran Islam yang sebenar.

 MANHAJ MALIZIY:  SATU PENJELASAN

 Manhaj Maliziy, sebagaimana yang digagaskan oleh pemimpin awal ABIM, secara dasarnya, merujuk kepada pendekatan ketidakbergantungan secara totok gerakan Islam, khususnya ABIM, kepada manhaj gerakan-gerakan Islam yang lain terutama gerakan–gerakan Islam awal seperti Ikhwan Muslimun di Timur Tengah, Jamaat Islami di India dan Pakistan, atau pendekatan siyasah revolusioner dari Iran. Pendekatan ini juga merupakan penegasan kepada hakikat perlunya gerakan Islam mempunyai pendekatan tersendiri dengan mengambilkira persekitaran dan lingkungan yang tersendiri sekaligus menolak imitasi buta terhadap gerakan Islam luar yang mempunyai persekitaran sosio-politik yang berbeza.  Ijtihad haraki yang diambil oleh pemimpin ABIM ini ternyata serba sedikit tidak disenangi oleh beberapa rakan gerakan terutama yang melihat bahawa gerakan Islam yang wujud di seluruh dunia termasuk di Malaysia harus meletakkan wala’ serta menuruti secara total keseluruhan sistem dan manhaj gerakan-gerakan Islam utama tersebut justeru bertindak tidak lain sekadar extension dan carbon copy kepada mereka.

 

 Pendekatan Manhaj Maliziy ini bertitik tolak dari premis bahawa Alam Melayu mempunyai cabaran-cabarannya yang tersendiri dan sudah pasti memerlukan kaedah dan model dakwah yang tersendiri untuk menanganinya. Tanpa menafikan manhaj dakwah Nabi yang sejagat, Manhaj Maliziy, seperti yang ditegaskan oleh Dr. Siddiq Fadhil, hanyalah merumuskan satu pendekatan ke-Malaysia-an bagi menangani isu dakwah setempat yang masih bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah.  Melalui manhaj ini, gerakan Islam di Malaysia seharusnya mampu untuk menyaring pendekatan-pendekatan yang dikemukakan oleh gerakan Islam yang lain dan menyesuaikannya dengan konteks negara Malaysia dan Alam Melayu.

 

 Dari segi siyasah, dengan mengambil pesekitaran Malaysia yang tersendiri dan unik, manhaj ini di terjemahkan melalui beberapa konsep penting seperti ‘non-partisan’ dan independent political force iaitu ABIM terlibat secara langsung dalam proses politik kenegaraan tanpa perlu menjadi parti politik.  Dengan mengambil pendekatan perpaduan dan politik pemersatu di kalangan parti politik, ABIM juga mengambil jalan menyumbang kepada pembangunan negara dengan berperanan sebagai ‘Rakan dalam Pembinaan Negara’ (partner in nation building). Keunikan realiti Malaysia yang bermasyarakat majmuk, kepelbagaian agama, perkongsian kuasa antara kaum, kesemuanya menjadi faktor penentu  sikap dan pendekatan dakwah ABIM dalam operasi mereka di Negara ini.

 

 Sementara dari segi kefahaman keagamaan, manhaj ini dijelmakan melalui prinsip wasatiyyatul Islam iaitu kesederhanaan Islam. Salah satu unsur wasatiyyah yang dijalankan ialah dengan menggabungkan orientasi salaf iaitu tradisi amalan Islam generasi awal Islam dan tajdid iaitu prinsip pembaharuan nilai-nilai keagamaan. Dengan kata lain, ABIM berusaha mengekalkan warisan lama disamping bersifat realistik dengan hal-hal semasa dan faktor persekitaran. Penjelmaan dari prinsip ini ialah pembukaan seluas-luasnya ruang dakwah kepada umat Islam dari semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Tidak ada keseragaman atau regimentation yang ketat ditekankan kepada ahli, sebaliknya kelonggaran diberikan kepada ahli-ahli selagi prinsip-prinsip utama dalam agama dipelihara. Juga tiada pendekatan ekstrem dan emosional dibudayakan seperti memuja pemimipin, cepat menghukum dan taksub kepada kumpulan.

 

 Prinsip wasatiyyah ini juga terlihat melalui penekanan faham Siyasah Shar’iyyah yang  sesuai dengan konteks negara Malaysia yang bermasyarakat majmuk dari segi ras, agama, bahasa dan adat resam.  Faham Siyasah Shar’iyyah ini terikat dengan prinsip shari’ah yang berpaksi kepada prinsip penekanan kepada perkara-perkara yang tetap (thawabit) dan berlapang dada dengan perbezaan kepada perkara-perkara yang berubah (mutaghayyir) dan juga bermatlamatkan melaksanakan kepentingan hamba-hambanya (masalih al-‘ibad) dan melaksanakan tujuan-tujuan murni shari’ah (maqasid shar’iyyah). 

 

 Sementara dalam pendekatan dakwah, Manhaj Maliziy telah dilaksanakan dalam bentuk dakwah yang lebih sederhana dan realistik terutama kepada bukan Islam. Pendekatan ini penting untuk untuk menjamin pendekatan dakwah dapat dilakukan dengan sempurna dan Islam dapat diterima oleh pihak lain dengan hati yang terbuka tanpa sebarang paksaan. Antara pendekatan yang dirangka ialah pendekatan “relevan,” iaitu pendekatan yang mengambil kira permasalahan sebenar yang dihadapi oleh masyarakat bukan Islam, pendekatan “Nilai Islam Intrinsik,” iaitu penekanan kepada nilai-nilai dalaman Islam yang universal, pendekatan tidak berkonfrontasi, iaitu mengambil kira soal memikat hati di samping memaparkan kebenaran Islam; dan pendekatan “Refined” iaitu mengkaji latarbelakang mad’u dengan mendalam serta memberi jawapan yang khusus dan fokus kepada sesuatu masalah yang dihadapi.      

 

 Secara ringkas, Manhaj Maliziy dapat digambarkan sebagai pendekatan penyesuaian.  Ia bukanlah pemisahan mutlak metod keagamaan di Malaysia dengan pendekatan Islam yang sejagat sehingga menggambarkan bahawa Islam mempunyai pelbagai wajah dan bersifat pluralis.  Ia sekadar menunjukkan bahawa dalam beberapa aspek cabangan dan perlaksanaan, suasana persekitaran termasuk aspek geografi, cara berfikir dan ‘uruf setempat memainkan peranan penting dalam mengembangkan sesuatu faham keagamaan. Kepelbagaian di peringkat perlaksanaan ini bukanlah sesuatu yang baru dalam Islam kerana ia telahpun wujud sejak zaman awal Islam lagi apabila manhaj-manhaj fikah yang berbeza juga wujud disebabkan persekitaran dan lingkungan geografi yang berbeza.

 

 MANHAJ MALIZIY SEBAGAI PENDEKATAN ILMI DAN CERMINAN KEBIJAKSANAAN DAKWAH ISLAM

Berdasarkan huraian di atas, kita dapat simpulkan bahawa Manhaj Maliziy berpijak kepada sekurang-kurangnya kepada dua landasan yang utama, iaitu kebijaksanaan (hikmah) dan kesederhanaan (wasatiyyah). Kedua-dua landasan ini sememangnya penting bukan sahaja kepada sesuatu manhaj dakwah, akan tetapi kepada kerangka budaya ilmu Islam itu sendiri. Dalam tradisi ilmu Islam, hikmah, seperti yang dihuraikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, merujuk kepada “pengetahuan mengenai tempat letak duduk sesuatu yang benar”  dan ia merupakan salah satu daripada ibu kepada segala sifat keutamaan (ummahat al-fada’il) yang amat berkait rapat dengan prinsip keadilan. Dalam penjelmaannya dalam sejarah, hikmah sememangnya menjadi lambang ketinggian ilmu dan kebijaksanaan sehinggakan tradisi pemikiran dan falsafah Islam satu ketika telah diistilahkan dengan perkataan ‘Tradisi Hikmah.’ Al-Qur’an juga mengangkat martabat mereka yang dikurniakan hikmah dan mengaitkannya dengan kebaikan yang banyak (khayran kathiran).   Sementara dalam manhaj dakwah, hikmah merupakan pra-syarat utama dan metod terbaik dalam usaha mengajak manusia kepada jalan Tuhan (ud’u ila sabili rabbika bi al-hikmah).  Ini kerana pendekatan bil-hikmah yang disaran al-Qur’an ini, seperti yang dihuraikan oleh Imam Fakhr al-Din al-Razi, menggunakan hujah yang mantap (adillah qati’ah), yang tiada keraguan dan yang menjadi lambang kebenaran dan kebijaksanaan.  Sementara landasan kedua kepada Manhaj Maliziy, iaitu kesederhanaan, merupakan ciri utama umat Islam (ummatan wasatan) yang juga bertindak sebagai kayu ukur dan neraca kepada ekstremisme yang dilakukan oleh umat-umat terdahulu.  

Justeru itu, Manhaj Maliziy yang berpaksikan kebijaksanaan dan kesederhanaan tidak harus dilihat hanya sekadar pernyataan perbezaan yang harus diambil oleh ABIM disebabkan perbezaan lingkungan atau sekadar tindakbalas terhadap kritikan sesetengah pihak, akan tetapi ia harus ditanggap sebagai cerminan kebijaksanaan yang sememangnya dituntut dalam Islam.  Dengan kata lain, penekanan terhadap manhaj ini bukan sekadar dari aspek “ketempatanan”nya yang kelihatan agak sempit akan tetapi terhadap tradisi ilmu dan kebijaksanaannya yang lebih sejagat sesuai dengan wajah Islam.

Ekoran dari itu, Manhaj Maliziy harus dikenali dan dipopularkan sebagai manhaj ilmi, manhaj yang berdasarkan kekuatan hikmah dan tradisi ilmu.  Dari segi epistemologi, ia juga merupakan manhaj dakwah yang sealiran dengan manhaj ilmu yang telah dipegang oleh Ahl Sunnah wa al-Jama’ah iaitu pendekatan yang berdasarkan sumber ilmu yang seimbang antara akal dan naqal, yang mengambilkira ‘illah dalam mengeluarkan hukum dan mengambil kira maslahah setempat.  Ia harus dilihat sebagai manhaj Islam yang sebenar, manhaj sejagat yang harus dilaksanakan bukan sahaja di Malaysia akan tetapi di mana-mana sahaja.

Manhaj ini juga tidak harus dilihat sebagai produk mutakhir yang terputus dari hakikat sejarah pendakwahan Islam di rantau ini.  Keberadaannya harus dikaitkan dan ditelusuri dengan lebih jauh terutama hubungannya dengan sejarah pengembangan Islam di rantau Melayu yang sememangnya mempunyai  kekuatan ilmu yang mantap sehingga Islam dapat mangakar dan bertahan selama ratusan tahun. Dengan kata lain, Manhaj Maliziy tidak lain merupakan penerusan manhaj pengembangan Islam yang telah dilakukan oleh ulama-ulama nusantara yang telah berjaya menyebarkan Islam ke seluruh gugusan Alam Melayu dengan begitu cepat tanpa menumpahkan darah. Tanpa kekuatan ilmu dan hikmah yang mendalam proses Islamisasi ini tidak akan menunjukkan hasil yang kita lihat sekarang ini.

 

Manhaj ilmi ini juga jelas tergambar dalam disiplin-disiplin ilmu yang berkembang sepanjang penyebaran Islam di Alam Melayu. Misalnya pengajaran akidah Islam di rantau ini dihuraikan dengan huraian akliah mantiqiyyah  yang mantap berdasarkan nas-nas wahyu sebagaimana yang terserlah dalam karya-karya akidah seperti Aqai’d al-Nasafi, Umm al-Barahin, Sharah Jawharah al-Tawhid. Begitu juga dengan huraian faham-faham tasawuf tinggi yang terserlah dalam karya-karya Hamzah Fansuri dan Nur al-Din al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel jelas mementingkan kejelasan akliah dalam menghuraikan faham-faham penting mereka. Di samping itu, kebijaksanaan ulama-ulama silam serantau yang memberi ijtihad-ijtihad yang memenuhi keperluan masyarakat setempat menggambarkan mereka telahpun mengamalkan prinsip Manhaj Maliziy dalam konteks amalan keagamaan. Pengenalan amalan-amalan dalam ibadat, zikir-zikir yang diamalkan dalam ajaran tasawuf, kesemuanya menggambarkan kebijaksanaan manhaj ini. Walaupun pada asasnya para ilmuan ini masih lagi mengikut kerangka fikh mazhab Shafie dan aqidah aliran Ash’ariyyah Maturidiyyah, akan tetapi penghuraiannya mengambil kira lingkungan setempat.  Begitu juga dengan pendekatan da’wah yang mengambil kira realiti budaya dan seni setempat seperti yang tergambar dalam manhaj da’wah Wali Sembilan kepada tanah Indonesia.

 

ANCAMAN BARU MANHAJ MALIZIY: CABARAN SEJAGAT DI LINGKUNGAN SETEMPAT

 Tujuan kita menekankan kepentingan Manhaj Maliziy sebagai manhaj ilmi yang sejagat dan sebagai manhaj dakwah yang sebenar ialah kerana gerakan dakwah ketika ini menghadapi cabaran-cabaran baru yang lebih besar.  Di zaman yang tandai dengan perkembangan keterbukaan dunia tanpa sempadan, kampung global, cabaran sejagat telah juga menjadi sebahagian dari cabaran lingkungan atau setempat.  Alam Melayu dewasa ini bukan lagi alam tertutup yang sekadar menghadapi masalah serantau akan tetapi sudah mula di terobosi masalah-masalah global yang berasal-usul dari luar, khususnya sama ada dari pengalaman Tamadun Barat atau dari Timur Tengah. Sekiranya dahulu, ancaman-ancaman pemikiran seperti sekularisme, humanisme, liberalisme agama, feminisme hanya menjadi masalah yang serasi dengan tamadun dan pengalaman Barat, namun sekarang ini ia menjadi sebahagian dari kemelut yang merebak ke Alam Melayu. Begitu juga dengan aliran penyempitan pentafsiran agama, literalisme, Wahhabisme, Shi’isme yang dahulunya lebih popular sebagai polemik di Timur Tengah, namun sekarang, ia telah menjadi sebahagian dari masalah di Alam Melayu.  Justeru itu, Manhaj Maliziy, di samping wajah tempatannya, harus juga mengorak langkah mempersiapkan diri sebagai manhaj yang juga bersedia menghadapi cabaran-cabaran sejagat ini.    

Cabaran-cabaran sejagat yang kita maksudkan di atas, jika diteliti dapat dirangkumkan sebagai bentuk ektremisme agama yang datang dalam dua bentuk   Yang pertama ialah liberalisasi agama yang cuba menekankan pentafsiran agama yang longgar, menolak batasan-batasan agama. Yang kedua, ialah aliran penyempitan agama yang mengetatkan pentafsiran Islam. Sekiranya kelompok yang melonggarkan agama menyeru kepada penisbian pentafsiran agama, kelompok yang menyempitkan agama pula, atas nama pemurnian aqidah, amat mudah sekali mengeluarkan individu Muslim lain dari parameter agama. Disebabkan pendekatan literalisme yang kaku, segala-galanya mengenai agama dilihat dari perpektif pertentangan sempit antara sunnah dan bid’ah.   

 

 Aliran ini sememangnya tidak selari dengan kerangka epistemologi Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang telah mengakar dan menyejarah di Alam Melayu. Malah, kedua-duanya menjadi antitesis kepada aliran Manhaj Maliziy yang diperjuangkan oleh ABIM dan sebahagian besar umat di rantau ini yang menjunjung prinsip kebijaksanaan dan kesederhanaan.  Akan tetapi disebabkan kelemahan umat Islam dalam memahami tradisi ilmu yang menjadi arus perdana menyebabkan kelompok ekstrem bermaharajalela sehinggakan cacing sudah bertukar menjadi ular naga dan belalang sudah menjadi helang. Apabila itu sudah berlaku, yang jahil akan diangkat menjadi penentu benar dan salah dan masyarakat menjadi keliru tidak tentu arah.

 

Berdasarkan hakikat tersebut, harus menjadi keutamaan gerakan Islam untuk kembali memperkukuhkan aliran pertengahan Ahl Al-Sunnah wa al-Jamaah, melalui penegasan semula Manhaj Maliziy sebagai manhaj ilmi bagi mengembalikan umat Islam ke landasan agama yang sebenar.

 

PENERUSAN PEMERKASAAN BUDAYA ILMU DALAM MELALUI MANHAJ MALIZIY: PERANAN ABIM:

 ABIM telah sekian lama menjadi peneraju aliran dakwah sederhana dalam konteks gerakan dakwah di Malaysia. ABIM juga telah menjadikan budaya ilmu sebagai salah satu teras gerakannya. Budaya ini yang selari dengan manhaj ilmi yang dipegang telah menyumbang dalam proses pendidikan yang berlaku sama ada di kalangan ahli ataupun di kalangan masyarakat secara umum.  Namun begitu disebabkan cabaran-cabaran baru yang mendatang terutama yang berbentuk pemikiran atau yang menusuk terus ke jantung kehidupan beragama masyarakat Islam, yang menggegarkan tiang seri akidah mereka, sudah tentu tradisi ilmu yang sedia ada harus diperkasakan. Antara yang dapat dilakukan ialah:

 i)    Orientasi keilmuan sama ada di kalangan masyarakat umum dapat diperkukuhkan lagi dengan pengenalan, secara bertahap dan konsisten, terhadap ilmu-ilmu asas dalam tradisi Islam seperti Tafsir, Mustalah al-Hadis, Ilmu Kalam dan Mantiq. Ini kerana cabaran-cabaran baru terutama dalam bentuk pemikiran terhadap umat Islam amat berkait dengan disiplin-disiplin ini. Misalnya kefahaman yang baik terhadap ilmu Mustalah al-Hadis akan memberikan landasan kefahaman umat yang mantap terhadap konsep dan sejarah hadis dan dapat mempertahan meraka dari serangan golongan inkar sunnah dan liberalis agama.  Sementara ilmu Tafsir memberikan kefahaman tentang asas-asas kefahaman al-Qur’an, metod pentafsiran al-Qur’an dan ini akan memberikan mereka jawapan terhadap serangan yang datang dari aliran liberal yang mencanangkan Hermeneutika al-Qur’an.  Manakala  ilmu Kalam dan Mantiq dapat mempersiapkan ahli dengan pertahanan akidah Islam yang lebih mantap terutama dari aspek akliah bagi menghadapi  serangan dari kelompok liberalis agama dan kelompok agama lain.

Walaupun pengetahuan yang mendalam mengenai disiplin-disiplin ini pada asasnya merupakan fardu kifayah kepada masyarakat Islam secara umumnya, namun memandangkan ancaman ekstremisme agama yang semakin membimbangkan, kefarduan mempelajari ilmu-ilmu ini telah mula bertukar ke tahap individu.

 ii.    Bahan-bahan bacaan harus diperluaskan melewati bacaan-bacaan berbentuk haraki terutama ke bacaan-bacaan yang bersifat ketamadunan. Cabaran-cabaran baru yang dihadapi sekarang ini ternyata memaksa kita untk menggali semula khazanah ketamadunan Islam bagi menyediakan tindakbalas yang lebih mantap. Jika diteliti premis yang mendasari aliran-aliran yang menjadi cabaran sekarang ini, ia tidaklah banyak berbeza secara dasarnya dengan premis yang dibawa oleh aliran-aliran yang telah wujud sepanjang sejarah keilmuan Islam. Misalnya, pandangan golongan liberalisme agama banyak menuruti hujah-hujah yang telah dibawa oleh golongan Falasifah, Mu’tazilah atau Sufasta’iyyun dalam sejarah pemikiran Islam. Sementara golongan yang menyempitkan agama pula berkongsi hujah dengan golongan-golongan ekstrem dalam tradisi Islam seperti Khawarij, Hasywiyyah dan sekelompok Hanabilah.  Malah jika diteliti, hujah-hujah yang diberikan oleh golongan dalam sejarah ini lebih kuat. Justeru, dengan mengambil manfaat dari pengalaman dan khazanah ketamadunan, persiapan akliah dan diniah ahli dan masyarakat akan lebih mantap. Dengan mendekatkan masyarakat dengan bacaan-bacaan sebegini akan sekurang-kurangnya membuka spektrum kefahaman mereka kepada agama dengan lebih luas.

 iii.    Institusi usrah, halaqah ilmu, kuliah-kuliah yang berterusan harus diperkasa dalam gerakan Islam seperti ABIM. Kesemua ini harus menjadi alternatif untuk ahli dan masyarakat Islam untuk mendapatkan pengisian ilmiah dengan lebih meluas.  Institusi-institusi ini juga harus digerakkan dengan perencanaan yang lebih rapi terutama dari segi persediaan kurikulum dan bahan bacaan. Pertemuan dua jam seminggu secara konsisten untuk usrah misalnya, sekiranya dirancang dengan rapi dari segi tajuk dan bahan perbincangan sudah semestinya dapat menghasilkan natijah ilmiah yang cukup baik untuk ahli.  Tradisi kuliah yang membahaskan disiplin-disiplin ilmu penting seperti tafsir, akidah dan tasawwuf yang telah mula dibudayakan oleh ABIM ternyata memberikan manfaat yang amat berguna kepada ahli-ahi dan masyarakat sekitar dan ia harus diteruskan dan diperkasakan.

 

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: