Skip to content

‘Survival of The Fittest’: Menyelinap Dalam Hidup Muslim

May 23, 2009

kuat buli lemah

 

Salam Aufklarung,

Sedikit perkongsian tentang satu artikel penting, tetapi kadangkala ia dipandang remeh oleh penggerak Islam.

Amalan beratur nilai adab individu di UK

Oleh Siti Suriani Othman*

MUDAH saja amalan yang satu ini bahkan kita berasakan kanak-kanak pun boleh memahami arahan ‘beratur’. Namun, amalan beratur untuk menaiki bas atau di kaunter perkhidmatan masih belum menjadi amalan jitu kita di Malaysia. Mungkin juga tidak keterlaluan dikatakan masih asing di kebanyakan negara timur.  Minggu ini saya tertarik untuk berkongsi pengalaman beratur di beberapa negara asing. Seperti yang pernah saya tulis dalam artikel lalu, pengalaman beratur belum ada yang manis di negara sendiri. Berbanding di United Kingdom (UK), mereka yang tidak beratur dipandang ‘hina’ oleh masyarakatnya.

Selain disifatkan sebagai individu yang mementingkan diri sendiri dan tidak menghormati hak orang lain, mereka yang gagal beratur juga adalah mereka yang tidak bertamadun. Menaiki bas dengan penumpang yang ramai tidak sesukar di negara sendiri. Dalam keadaan beratur panjang, tambah seri pengalaman itu apabila melihat sesetengah warga British memberi peluang kepada mereka yang membawa kereta sorong bayi.  Sudahlah mereka beratur mengikut giliran, mereka yang dalam kesukaran diberikan peluang lagi. Mungkin jarang kita melihat keadaan sebegini di negara sendiri. Saya sendiri yang kurang bijak berebut untuk menaiki bas pernah dinasihatkan seorang kawan ketika di sekolah menengah dulu, ‘kena rebut nak naik bas, kalau tak rebut nanti kita tinggal’ katanya yang melihat saya ‘terlalu’ memberi peluang kepada orang lain.

Benar juga katanya kerana jika terlalu memberi peluang, akhirnya kita sendiri yang tertinggal kerana orang lain asyik memotong, di samping memarahi kita yang tidak naik-naik. Kita yang mengharapkan keadaan yang lebih tertib menjadi mangsa kemarahan orang lain akhirnya. Menariknya, ketika mula-mula mendapat peluang melanjutkan pengajian di UK, kami dibekalkan dengan prospektus universiti yang turut menyelitkan beberapa panduan pengajian dan kehidupan di UK. Antara yang paling menarik dalam brosur universiti ialah mengingatkan bakal pelajar supaya sentiasa beratur sama ada untuk menaiki kenderaan awam mahupun di kaunter.

Menurut brosur itu, mereka yang tidak beratur di UK adalah golongan yang tidak disukai. Lihat saja bagaimana budaya beratur ini dipentingkan dan diterap masyarakat sehinggakan ‘orang baru’ sentiasa diingatkan agar mencontohi amalan masyarakat setempat jika ingin diterima baik. Pastinya, sikap ini memudahkan ramai pihak. Berebut-rebut bukanlah jawapannya dan ini sebenarnya melambatkan lagi pergerakan individu. Seseorang yang sampai dulu perlu mendapat haknya untuk dilayan terlebih awal, sesuai dengan masa yang diperuntukannya untuk sampai awal di sesuatu tempat. Mereka yang sampai lewat, tetapi tidak beratur dan siap awal perlu berasa malu dengan perbuatan itu.

Merampas hak orang lain demi kepentingan diri memperlihatkan sikap individu yang tidak matang dan tidak menghormati orang lain. Ironinya, amalan beratur di tempat awam sudah diajar di sekolah sejak kecil lagi, namun ia tidak menjadi budaya. Kanak-kanak di Malaysia diajar beratur setiap pagi dengan nyanyian lagu patriotik. Nampaknya, beratur di sekolah sekadar mengikut arahan guru yang tidak membawa makna signifikan dalam kehidupan seharian. Sepatutnya, budaya beratur di sekolah diaplikasi dalam amalan yang memungkinkan kehidupan lebih tersusun dan sistematik. Lebih menyedihkan, pelajar universiti pun masih ada yang tidak tahu beratur.

Lihat saja kaunter makanan di sesetengah universiti yang boleh menggambarkan keadaan memalukan ini. Jika alasan lapar, bukankah semua orang yang ingin membeli makanan itu lapar? Jika benar-benar perlukan awal, mengapa tidak datang lebih awal daripada orang lain? Mengapa perlu dirampas hak orang lain yang juga mempunyai keperluan sama dengan kita?

Pada pihak peniaga pula, ada sesetengah peniaga yang tidak mendahulukan pelanggan yang datang awal. Di UK, peniaga akan cam muka mereka yang awal, walaupun barisan beratur tidak sempurna, kita tetap akan mendapat layanan lebih awal berbanding yang lewat. Sepatutnya hal ini juga menjadi keutamaan dan amalan oleh peniaga dan pelayan kaunter. Memastikan yang awal didahulukan sebenarnya memberi hak mereka yang mutlak. Mengapa perlu kita serabutkan minda hanya kerana tekanan akibat perbuatan yang sebenarnya jika ditinggalkan, kesannya adalah jauh lebih baik?

Beratur bukan soal remeh dan perlu diberi penekanan. Oleh itu, Kerajaan China pernah melancarkan ‘Hari Beratur’ pada 2008 semata-mata untuk menyuburkan amalan ini di kalangan rakyatnya. Slogan ‘Beratur itu amalan masyarakat bertamadun, mulia jika berbaik-baik’ dikempenkan pada setiap 11 hari bulan setiap bulan di Beijing sempena Sukan Olimpik yang lalu. Beratur menggambarkan sikap dan mentaliti sesebuah masyarakat, justeru, marilah mendidik diri dan anak ke arah sikap bermentaliti kelas pertama.

*Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah dalam bidang kewartawanan di Nottingham Trent University, UK.

Sumber: Berita Harian

Ulasan:

Bila saya baca artikel di atas, macam-macam yang timbul dalam kepala saya. Saya teringat pengalaman saya semasa pengembaraan di bumi Eropah satu masa dahulu, tentang ‘akhlak’ masyarakat Eropah terhadap kebersihan persekitaran mereka, akhlak Muslim di Malaysia dan juga akhlak para penggerak Islam di Malaysia.

Artikel ini buatkan saya teringat  pada satu teori pasca-Darwinisme iaitu teori “Survival of The Fittest”. Teori ini yang pada asalnya diperkenalkan oleh Herbert Spencer dalam karya ekonominya berjudul Social Static, cuba mengaitkan teori ‘natural selection’ yang dibawa oleh Charles Darwin yang pada asalnya berkaitan dengan biology, tetapi dikaitkan dengan karya ekonominya itu.

‘Survival of the fittest’ ialah terma yang digunakan merujuk kepada keadaan di mana hanya yang kuat akan hidup (atau dapat terus hidup). Maknanya, sesuatu benda hidup itu perlu terus berjuang (struggle) untuk pastikan mereka terus hidup, jika tidak, mereka akan pupus.

Dalam realiti semasa, ekonomi kapitalis yang boleh jadi contoh hidup. Kalau secara teorinya, memang indah, mereka perjuangkan hak milikan peribadi yang berhak diiktiraf kirana ia adalah usaha seseorang individu. Realiti yang berlaku ialah usaha dan fahaman mereka ini menyebabkan sehingga berlakunya penindasan ke atas golongan yang lemah dan ‘baru bertatih’ (kumpulan negara ketiga). Kemudian, wujudlah istilah ‘kaya terus kaya, miskin terus miskin’.

Ibarat yang sama boleh kita kaitkan dengan budaya masyarakat disekeliling kita, seperti yang diterangkan di dalam artikel di atas. Sikap mementingkan diri sendiri (nafsi-nafsi), tiada tolak ansur, kasih sayang sesama manusia, dan konsep empathy, menimbulkan sikap yang seperti disebutkan. Semua sikap negatif ini menggantikan sikap berkasih sayang sesama manusia, konsep ithar sesama saudara, bekerjasama dan sebagainya.

Secara tidak langsung, memang semirip dengan teori ‘survival of teh fittest’. Walaupun tidak secara langsung, tetapi ia sedang mempengaruhi masyarakat kita. Inilah antara fahaman atau ‘agama’ yang dalam kalangan masyarakat kita sedang anuti, tanpa  disedari. Ini belum lagi masuk bab-bab korupsi yang sedang berlaku, terutamanya dalam kalangan para pemimpin negara. Mereka sanggup buat apa sahaja, yang penting perut mereka penuh. Kata-kata atau slogan-slogan politik yang menyejukkan telinga rakyat, hanya valid pada orang yang ‘tak pedulisme’ dan juga golongan yang malas mencari kebenaran. Tapi tidak kepada para pemuda yang mendapat tarbiyyah Islam.

Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk tukar budaya negatif ini kalau bukan pemuda Islam. Golongan pemuda yang mendapat tarbiyyah Islam. Memang paling sesuai menjadi contoh dan ikutan.

Untuk peringatan bersama, moga kita tidak jadi orang yang memperjuangkan Islam, tetapi Islam tiada dihatinya, apatah lagi di dalam amal perbuatannya. Hanya pada mulut, yang ternyata berbeza dengan amalan. Eh, ini pula sudah masuk fahaman dualisme. Perh! Berselirat kehidupan Muslim sekarang dengan fahaman dan falsafah Barat tanpa disedari. Kita mengaku sebagai pejuang, tapi kehidupan kita adalah bertentangan dengan apa yang diperjuangkan.

Sekadar renungan bersama:

Allah Matlamat kami,

AL-Quran Panduan kami,

Rasul Ikutan kami,

Jihad Jalan kami,

Mati di Jalan Allah Cita tertinggi kami.

 

Bila ajaran Islam dihayati, memang kita akan kuat dan dipandang tinggi. Tapi bila Islam itu menjadi retorik semata-mata, ia hanya tinggal nama dan tidak akan ke mana-mana. Teori dan Praktikal tidak akan bertentangan dan tidak ada perbezaan, melainkan diri sendiri yang membuatkan ia berbeza.

Boleh rujuk juga artikel saya yang lain tentang kembara di Eropah:

Teladan Dari Eropah

 Tentang Teori Survival of The Fittest boleh di rujuk seperti di bawah:

Survival of The Fittest

Tentang sistem Kapitalisme yang nampak indah, boleh rujuk seperti di bawah:

Capitalism.org

 

Abbas Iecothinker

W. P. Labuan

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: