Skip to content

Kuala Lumpur: Kota Kebudayaan Islam?

May 20, 2009

Salam Aufklarung,

Sedikit perkongsian tentang artikel dari Utusan Malaysia pagi ini.

Kuala Lumpur Kota Kebudayaan Islam

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

BUDAYA atau disebut dalam Islam sebagai tsaqofah turut dititik beratkan dalam agama. Ini kerana Islam bukan agama yang menafikan segala kehendak naluri manusia, cuma ia perlu disalurkan dengan cara dan jalan yang betul dan mendapat keredaan Allah SWT. Namun bayangkan jika Islam tidak diturunkan di Kota Mekah. Dapatkah segala budaya jahiliah yang menjadi amalan oleh penduduk Arab di situ sebelum ini dapat dibanteras? Ini termasuklah budaya membunuh anak perempuan, membenarkan isteri berkahwin dengan lelaki yang lebih bangsawan sehinggalah amalan meminum arak yang memabukkan itu? Kota Mekah itu sendiri menjadi Kota Budaya Islam pertama di dunia, yang antara lain bersih dari amalan budaya menyembah berhala! (tambahan dari saya: Bukan Madinah ke?)

Pada 5 Mei lalu, giliran Kuala Lumpur, ibu kota Malaysia terpilih sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009 bagi rantau Asia oleh Pertubuhan Antarabangsa Pendidikan, Saintifik dan Budaya Islam (ISESCO). Perasmiannya disempurnakan oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam upacara gilang gemilang di Muzium Kesenian Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Pemilihan Kuala Lumpur adalah pengiktirafan tinggi dunia terhadap negara ini. Bukan sahaja kerana Islam itu merupakan agama rasmi negara, malah sejarah pembangunan fizikal dan mental ibu kota itu sendiri dalam serba serbi keislaman. Ini ditunjukkan sama ada dari bangunan Pusat Islam yang tersergam di tengah-tengahnya sehinggalah rata-rata muslimah yang menghuni di ibu kota ini menampilkan diri mereka dalam keadaan berbusana Muslim!

Perkara ini diakui oleh Setiausaha Agung ISESCO, Dr. Abdul Aziz Othman Altwaijri dalam ucapannya di majlis perasmian itu. Beliau berkata, Malaysia merupakan negara Islam contoh yang berjaya memaparkan tahap ketamadunan serta kebudayaan yang tinggi.

“Kuala Lumpur sendiri menunjukkan contoh yang baik kepada dunia bahawa Islam kaya dengan pelbagai kebudayaan dan kesenian di samping kemodenan yang dikecapi,” katanya.

Sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009, Kuala Lumpur sebenarnya telah berjaya melepasi pelbagai syarat yang ketat bagi membolehkannya terpilih.

Dalam hal ini Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata, Kuala Lumpur berupaya mendepani kota-kota di dunia dalam penonjolan budaya Islam. “Ini setelah syarat-syarat utama pemilihan telah berjaya dipenuhi. Ia termasuklah sesebuah bandar raya itu mesti mempunyai status sejarah yang unik serta budaya yang kukuh.

“Mempunyai keupayaan universal dan keislaman yang nyata, mempunyai kemudahan penyelidikan saintifik, berkaitan arkeologi dan manuskrip yang boleh dirujuk penyelidik di samping mempunyai kegiatan budaya, kesenian dan warisan yang aktif,” katanya. Status sejarah yang unik apabila Malaysia atau dikenali dahulunya sebagai Tanah Melayu, menjadi destinasi pertama sebagai pusat penyebaran Islam seawal abad ke-11 Masihi bagi rantau Asia Tenggara.

Pada hari ini, Malaysia merupakan negara yang menterjemahkan Islam itu dalam banyak wajah, sehinggakan di celah-celah bangunan moden pencakar langit akan kedengaran azan dilaungkan memenuhi ruang udara dari menara Masjid Jamek Kuala Lumpur, iaitu masjid tertua di bandar raya ini yang dibina pada tahun 1909. Walaupun ia masjid tertua, namun paling cantik dan paling indah yang boleh ditemui di sini!

Terpilih sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009 bagi rantau Asia bererti sepanjang tahun ini Kuala Lumpur akan menjadi daya tarikan dunia untuk melihat sendiri wajah-wajah budaya Islam untuk mereka mempelajari banyak perkara.

Justeru itu sebanyak 215 program yang telah dan akan berlangsung disediakan oleh pelbagai pihak bagi menjayakan pemilihan yang sangat berprestij ini.  Sebelum itu, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa ISESCO adalah pertubuhan yang fungsinya hampir menyamai seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO-PBB).

Ditubuhkan sejak Mei tahun 1979 oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) iaitu pertubuhan Islam yang paling besar untuk bidang pendidikan, sains dan kebudayaan yang beribu pejabat di Rabat, Maghribi. Pemilihan ibu negara Malaysia sebagai Kota Kebudayaan Islam bagi rantau Asia ini sebenarnya adalah bersama dengan Baku di Republik Azerbaijan telah diputuskan dalam Persidangan Kelima ISESCO di Tripoli Libya pada 21 hingga 23 November lalu. Pada tahun ini juga, Kairouan di Republik Tunisia turut dipilih sebagai Kota Kebudayaan Islam bagi mewakili rantau Arab manakala rantau atau benua Afrika diwakili N’Djamena di Republik Chad.

Sumber: Utusan

Sedikit Ulasan:

Siapa yang tidak bangga apabila negara sendiri disebut-sebut sebagai negara terbaik dalam kalangan negara-negara lain? Siapa yang tidak selesa bila negara dipuji diperingkat antarabangsa?

Ini fitrah manusia, suka dipuji. Cuma tabiat manusia yang negatifnya ialah, bila dipuji, ada yang lupa diri dan merasa cukup dengan apa yang ada. Ketika itu, rasa hendak tingkatkan kualiti diri sudah kendur. Atau jika bersemangat sekalipun, fokus sudah beralih ke tempat lain tanpa mahu memperbaiki kepincangan yang sedia ada.

Dari satu sudut, saya lihat memang bagus ada pengiktirafan sedemikian. Ia sebenarnya sebagai motivasi pada rakyat Malaysia untuk buktikan pada dunia bahawa Malaysia Boleh!

Tetapi, bila difikir secara serius, bila dilihat menggunakan mata hati, rasa hendak menangis pun ada. Rasa rendah diri yang teramat, seolah-olah Malaysia sudah menipu dunia, terutamanya sahabat negara Islam yang lain! Apa tidaknya, pengiktirafan bahawa Malaysia sebagai sebuah kota Kebudayaan Islam adalah pengiktirafan yang bersifat fizikal semata-mata. Ia bukan pengiktirafan yang telus.Ia hanya melihat dari sudut material semata-mata, seperti bangunan yang ada unsur-unsur keislaman, kaya dengan manuskrip-manuskrip yang menceritakan kehebatan Islam yang pernah bertapak di dunia Islam Tanah Melayau satu ketika dahulu, laungan azan dicelah-celah bangunan tinggi atau ramainya Muslim yang berbusana Muslim!

Jika dalam lingkungan ini sahajalah syarat-syarat yang diperlukan, maka memang salahlah telahan ISESCO dalam mengiktiraf negara Malaysia (atau Kuala Lumpur) sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009.

Kalau hendak cerita tentang saya yang baru hidup hanya sekitar 23 tahun ini, memang berlaku pembangunan yang pesat di Kuala Lumpur. Saya pernah tinggal di Kuala Lumpur sejak umur 5 tahun sampailah 13 tahun. Lebih kurang 8 tahun. Bukanlah satu tempoh yang lama, tetapi sudah cukup untuk saya bandingkan dengan keadaannya pada waktu ini.

Dua tahun lepas, adik sepupu sepermainan sejak kecil, bawa saya bersiar-siar pada waktu malam di Up-Town, Kuala Lumpur. Kemudian, dia bawa saya pusing-pusing dengan kereta dia sekitar KLCC, Jalan Chow Kit dan sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Memang rancak kehidupan Kuala Lumpur pada waktu malam.

Adik sepupu saya siap kenalkan lagi macam mana hendak tahu siapa yang betul-betul perempuan atau mak nyah! Kalau mak nyah, tinggi-tinggi dan memang lain dari bentuk badan perempuan yang sederhana. Malam itu juga dapat la tengok mat rempit merempit di sekitar KL. Hebat-hebat anak muda Malaysia. Malaysia Boleh!

Ada satu jalan, saya tidak ingat macam mana boleh sampai ke situ. Sekeliling saya penuh dengan pub dan muzik yang sangat kuat, padahal saya dalam kereta dan tengah bergerak. Adik saudara saya cakaplah yang bodyguard-bodyguard di situ semua Melayu (sudah tentu Islam) dan hampir semua pengunjung di dalam pub-pub tersebut ialah orang Melayu.

Aduh… Sekali lagi, Malaysia Boleh!

Ini pengalaman berjalan malam. Pengalaman yang cukup memberi kesan dijiwa dan pemikiran.

Oleh itu, apa tindakan seterusnya berdasarkan situasi semasa yang berlaku? Wajar ke Malaysia dapat pengiktirafan sedemikian rupa?

Dari sudut NGO-NGO Islam, saya yakin dengan kesungguhan mereka melaksanakan amal Islami. Begitu juga dengan gerakan Islam PAS yang sedaya upaya berusaha membawa umat Islam kepada Islam yang sebenar dalam arus Modenisasi dan post-modenisasi masa kini.

Nah! diperingkat individu, apa pula tindakan kita? Apa yang kita beri untuk atasi masalah tersebut?

Memang anak muda berperanan besar dalam melatih diri mengetahui isu-isu masyarakat.

Berbalik pada isu pengiktirafan tersebut, saya tertanya-tanya, adakah SU ISESCO sudah bermalam dan berjalan diseluruh Kuala Lumpur untuk beberapa hari supaya pengiktirafan tersebut benar-benar valid untuk Malaysia? Budaya dan jati diri rakyat perlu jadi kayu ukur utama untuk menjadi penilaian sesuatu pengiktirafan, apatah lagi bertaraf dunia.

Sekadar perkongsian.

 

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: