Skip to content

Gagasan Para Pemimpin: Antara Realiti dan Fantasi

April 29, 2009

Salam Aufklarung,

Tiga Perdana Menteri Malaysia terakhir (termasuk Datuk Seri Najib) telah memainkan salah satu cara dalam mencipta identiti mereka selaku pemimpin nombor satu negara, iaitu melalui slogan gagasan yang dikemukakan. Jika zaman Tun Mahathir, dengan gagasan Islamisasi, zaman Tun Abdullah dengan gagasan Islam Hadhari, manakala di zaman Datuk Seri Najib pula ialah One Malaysia.[1]

1malaysia

Saya tidak bermaksud mahu menghurai panjang tentang gagasan yang ingin diketengahkan oleh ketiga-tiga pemimpin negara ini, tetapi yang ingin saya sentuh di sini ialah persepsi rakyat kepada mereka iaitu adakah mereka benar-benar ikhlas dalam memberi solusi kepada permasalahan yang sedang melanda rakyat Malaysia dan khususnya umat Islam di Malaysia?

Menjadi kebiasaan, apabila naik sahaja pucuk kepimpinan baru, akan ada gagasan yang dibawa oleh para pemimpin. Sama ada ia adalah buah fikiran mereka sendiri ataupun mereka adalah pendukung kepada idea seseorang intelektual atau cendekiawan. Ini adalah lumrah seorang pemimpin agar para pengikut atau rakyatnya dapat mengetahui visi atau ‘jalan’ yang ingin di bawa oleh para pemimpin mereka.

Menarik untuk diperhatikan di sini tentang persoalan yang dikemukakan tentang persepsi rakyat kepada mereka (para pemimpin negara) berkaitan dengan gagasan yang dilaung-laungkan.

Melihat kepada situasi semasa yang sedang dialami oleh parti pemerintah di bawah Barisan Nasional, saya menghadkan pandangan saya bermula sejak dari Tun Mahathir sahaja. Iaitu gagasan Islamisasi  yang beliau ‘perjuangkan’ atau ‘tawarkan’ kepada rakyat Malaysia. Melalui gagasan ini, nilai-nilai Islam diharapkan dapat diterapkan disemua peringkat, sama ada di dalam badan-badan kerajaan atau swasta. Seterusnya di zaman Tun Abdullah, gagasan Islam Hadhari pula ‘ditawarkan’ kepada rakyat Malaysia untuk diterima dan dihayati.

Kedua-dua gagasan ini adalah gagasan yang cukup indah dan sepatutnya dapat dihayati dengan sebaiknya oleh setiap Muslim di Malaysia, walaupun terdapat percanggahan dari sudut penggunaan istilah, sebagai contoh, penggunaan istilah ‘Islam Hadhari’, yang telah menimbulkan kontroversi diperingkat nasional dan juga di peringkat antarabangsa.[2]

Tetapi yang terjadi adalah sebaliknya. Gagasan yang cuba dibawa ke tengah mendapat respon yang dingin dalam kalangan rakyat. Parti pemerintah dikatakan (oleh golongan yang sedar) telah ‘menggunakan istilah berunsurkan islamik untuk menutup kesalahan dan kezaiman yang telah dilakukan oleh mereka’. Apabila ditelusuri perkara ini, memang ada benarnya dan ia hanya diketahui oleh sesiapa sahaja yang mengalaminya. Hal ini sudah sedia maklum dan adalah tanggungjawab kita bersama untuk membasmi kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana pihak termasuklah jika ianya datang dari parti yang memerintah. Ini kewajipan dalam agama (amar ma’ruf nahi munkar).

Saya tidak mahu menghuraikan perkara yang dilakukan oleh mereka, cuma dalam konteks ini, saya berani menyatakan bahawa jika benar setiap kepimpinan benar-benar memaksudkan apa yang digagaskan, maka buktikanlah.

Kepimpinan melalui tauladan adalah prinsip yang mesti dipegang oleh para pemimpin negara (termasuk juga para pemimpin diseluruh peringkat).

Ingin saya kongsikan bersama kata-kata yang disusun oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud:

Jikalau pucuk pimpinan tertinggi sesebuah negara termasuk menteri dan ketua-ketua institusi, dalam kehidupan peribadi dan awam, mengamalkan ajaran-ajaran agama dan berakhlak tinggi, maka rakyat akan lebih-lebih lagi mengamalkan ciri-ciri yang sama. Walau bagaimanapun, jikalau keadaan yang sebaliknya berlaku, maka rakyat akan melahirkan penyelewengan aqidah dan keruntuhan akhlak dalam pelbagai bentuk dan lapangan.

Justeru hal yang demikian, menteri-menteri dan ketua-ketua institusi haruslah dipilih daripada kalanagan mereka yang mempunyai kekuatan daripada sudut ini disamping sudut kepimpinan dan sudut profesionalisme. Jikalau terdapat menteri-menteri atau ketua-ketua institusi secara terang-terangan membelakangkan dasar-dasar agama dan akhlak, keadaan ini akan merungkai segala usaha untuk menyemai subur nilai-nilai ‘Masyarakat Islam Hadhari’. Dasar-dasar baik kerajaan yang lain akan dilihat secara sinis, dan tidak akan dilaksanakan secara serius oleh kakitangan kerajaan dan rakyat jelata.[3]

Ini yang ingin saya kongsikan bahawa tindakan kita pada masa kini akan menentukan persepsi orang pada masa kini dan masa akan datang. Jangan digadai kepercayaan orang atau rakyat terhadap diri dan kepimpinan para pemimpin. Prof Wan Mohd Nor Wan Daud di dalam bukunya itu cuba merungkai dan menjawab keadaan atau realiti semasa yang sedang berlaku dengan keadaan semasa yang sepatutnya berlaku dan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan ia benar-benar berlaku.

Saya yakin, beliau nampak kekurangan yang ada disebalik penggunaan istilah Islam Hadhari dengan memberikan istilah Masyarakat Islam Hadhari sebagai alternatif dan begitu juga dari sudut pengaplikasian kepada gagasan Islam Hadhari yang dibawa oleh Tun Abdullah ketika itu, beliau turut memberi saranan-saranan yang amat bermakna untuk dilaksanakan. Malangnya, ia masih belum membuahkan hasil sehingga kini. Saya juga tidak pasti jika para pemimpin Barisan Nasional ada membaca susunan makalah beliau ini atau tidak. Dan saya menyarankan sahabat-sahabat dapat membacanya.

Ternyata memerlukan keikhlasan dan kesungguhan dalam mengutarakan sesuatu gagasan kerana ia melibatkan integriti seseorang individu atau golongan, khususnya sebagai seorang Muslim.

Secara kesimpulannya, persepsi rakyat adalah bergantung kepada tindak tanduk para pemimpin dalam keseriusan mereka melaksanakan sesuatu gagasan yang diwar-warkan. Bagi bakal pemimpin pula, jangan asyik bermain dengan slogan jika ia hanya bersifat untuk meraih undi atau untuk mengekalkan kekuasaan. Tindakan ini sudah ‘dibau’ diperingkat anak muda dan sudah semakin meluat dengan sikap para pemimpin yang hanya pandai beretorik semata-mata.

Nah! Ini cabaran dan peluang kepada para pemimpin yang beramal dengan Islam untuk mengembalikan semula keharmonian di dalam masyarakat yang kini sudah kian merosak dan semakin parah.

Bagaimana pula dengan gagasan One Malaysia?

Ayuh nilai dengan adil dan saksama. 

Sekian.

Rujukan:

[1] http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/04/islamisasi-islam-hadhari-one-malaysia.html

[2] http://www.zaharuddin.net/content/view/543/95/

[3] Wan Mohd Nor Wan Daud, 2007, Masyarakat Islam Hadhari: Satu Tinjauan Epistemologi dan Kependidikan ke Arah Penyatuan Pemikiran Bangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 17.

 

Abbas Iecothinker

W. P. Labuan

 

3 Comments leave one →
  1. April 29, 2009 7:08 pm

    Salam,

    Pemimpin dan gagasannya bukanlah suatu benda yang asing. Tidak sedikit kata-kata pemimpin yang di’quote’kan dan dijadikan rujukan sehingga hari ini. Tanpa gagasan, pemimpin dilihat seperti lembik tidak buat apa-hanya menunggu masa pencen atau disuruh meletak jawatan.

    Gagasan, inilah cara terpantas mungkin untuk rakyat mengenali mereka. Jangankan perdana menteri, DSAI semasa menjadi timbalan perdanan menteri sendiri sudah terkenal dengan istilah ‘masyarakat madani’ nya.

    Cuma betullah, gagasan hanya gagasan. Yang menentukannya adalah masa. Saya fikir dengan adanya gagasan, maka pemimpin lebih bertanggungjawab untuk melaksanakan sesuatu perubahan.

    Pemimpin itu menjadi ikutan.

    Dari ‘Auf bin Malik, katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

    “Pemimpin-pemimpin pilihan di antara engkau semua ialah orang-orang yang engkau semua mencintai mereka dan mereka pun mencintaimu semua, juga yang engkau semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untukku semua.

    Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara engkau semua ialah orang-orang yang engkau semua membenci mereka dan mereka pun membenci padamu semua, juga yang engkau semua melaknat mereka dan mereka pun melaknat padamu semua.” ‘Auf berkata: “Kita para sahabat lalu berkata: “Ya Rasulullah,apakah kita tidak boleh menentang kepada pemimpin-pemimpin yang sedemikian itu? Beliau s.a.w. bersabda: “Jangan menentang mereka, selama mereka masih tetap mendirikan solat di kalanganmu semua.” (Hadis Riwayat Muslim)

  2. Aliff Bin Basri permalink*
    April 29, 2009 9:45 pm

    Terima kasih, rizal..sahabatku…

    Betul tu, gagasan penting sebagai visi yang perlu didukung.

    Walau bagaimanpun, perbuatan mungkar mesti dibasmi sebaiknya. Cuma bagaimana caranya, itu boleh di bincangkan..

    Syukran atas ziarah..
    🙂

  3. April 30, 2009 1:21 am

    wah……….lama tak masuk…
    gagasan yang panjang dibahaskan….
    bagus2….
    al banna yang hebat gagasannya pun sudah merangkumi beberapa generasi hga abad ini…
    huhu…
    nak komen pjg tak brani…ilmu sket sgt,huhuh

    http://nawfaltimur.blogspot.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: