Skip to content

Kecenderungan Universiti Melahirkan Graduan Tempatan ala-Barat

March 18, 2009

 Oleh: Aliff Bin Basri

Kecenderungan Universiti Tempatan  Melahirkan Graduan Tempatan ala-Barat

Menurut Google eBook of Encyclopedia Britannica, Universiti boleh didefinisikan sebagai berikut:

“A university is an institution of higher education and research, which grants academic degrees in a variety of subjects. A university provides both undergraduate education and postgraduate education. The word university is derived from the Latin universitas magistrorum et scholarium, roughly meaning “community of teachers and scholars”.

Secara umumnya, universiti mempunyai 3 fungsi asas bagi setiap penubuhannya iaitu bertindak sebagai sebuah medium untuk mengajar, membuat penyelidikan dan sebagai tempat untuk melaksanakan khidmat masyarakat.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian di Eropah yang memperkenalkan fungsi ketiga sesebuah universiti atau juga dikenali sebagai misi ketiga (third-mission) iaitu berfungsi sebagai Entrepreneurial University . Universiti bukan sahaja bertindak sebagai sumber untuk mendapatkan sesuatu ilmu pengetahuan seperti melalui pembacaan jurnal saintifik, mengupah atau membayar para pelajar yang bekerjasama untuk menjalankan sesuatu projek, bahkan lebih dari itu, ia adalah sebuah tempat atau sumber untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan yang ‘dipertontonkan’ melalui barangan atau produk hasil inovasi yang dilakukan oleh universiti kepada syarikat-syarikat luar. Contohnya seperti Massachusetts Institute of Technology dan Stanford yang telah diketahui seluruh dunia tentang sumbangan mereka dalam pembangunan industri masa kini. (Magnus Gulbrandsen dan Stig Slipensaeter)

‘Third-mission’ seperti yang diperkatakan oleh para pengkaji di atas adalah melihat kepada situasi sekarang yang sentiasa menghambat dan memerlukan teknologi baru setiap masa. Masing-masing bersaing untuk menjadi sebuah universiti yang bertindak sebagai sebuah badan yang menghasilkan inovasi-inovasi baru bersifat teknikal (teknologi). Tetapi jarang kedengaran fungsi universiti sebagai sebuah badan yang bertindak sebagai tempat untuk memperkayakan ilmu pengetahuan atau sebagai tempat munculnya teori-teori baru yang bakal meledakkan lagi ilmu-ilmu pengetahuan baru kegunaan bagi menyelesaikan masalah umat manusia abad ini dan akan datang. Ini adalah berdasarkan pengamatan dan pemerhatian saya terhadap situasi semasa.

Hal ini sebenarnya semakin mendatangkan kerisauan kepada umat manusia seluruhnya apabila melihat situasi masa kini di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan (IPT). Para penuntutnya semakin sudah hilang arah dan fokus dalam memahami tujuan mereka ‘dihantar’ ke universiti.

Majoriti para pelajar IPT tidak menjadikan pencarian ilmu dan makna hidup sebagai agenda utama kedatangan mereka ke universiti. Mereka lebih tertumpu untuk mencari jalan dan terus berusaha untuk mengejar ‘pointer’ yang tinggi semata-mata atau seperti yang selalu diistilahkan sebagai  ‘exam-oriented’. Mereka ini lebih selesa dan berasa cukup dengan melakukan pembacaan sekitar nota-nota kuliah yang diberikan oleh para pensyarah dan juga buku-buku teks wajib yang disarankan oleh para pensyarah. Jika lebih dari itu sekalipun, para pelajar akan membaca sub topik-sub topik dari sejumlah buku-buku lain untuk tujuan tugasan yang diberikan oleh para pensyarah. Selain dari itu, diskusi-diskusi bersifat ilmiah amat jarang dilakukan dalam kalangan mahasiswa.

Masa yang ada diperuntukan dengan banyaknya untuk bercerita tentang perkara-perkara yang tidak membawa kepada upaya mempertingkatkan ketajaman dalam berfikir dan bermanfaat untuk diri dan manusia seluruhnya. Sedangkan, diskusi-diskusi ilmiah ini boleh diwujudkan ketika sedang makan di kafeteria-kafeteria, ketika sedang berjalan atau ketika sedang berehat menunggu waktu kuliah. Perbincangan yang berat atau ringan bukan menjadi persoalan, yang penting ia bersifat ilmiah dan bermanfaat. Ia bukan sahaja terhad di dewan-dewan kuliah atau di kelas-kelas tutorial. Walau bagaimanapun, budaya ini tidak berlaku di kampus-kampus melainkan segolongan kecil mahasiswa yang sedar.

Itu dari sudut akademik dan intelek. Jika di lihat dari sudut cara hidup, para pelajar, majoritinya lebih suka untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan dan tidak memerlukan mereka berfikir secara mendalam. Budaya hedonism menjadi anutan para pelajar masa kini, tanpa mereka sedar. Sekiranya mereka sedar sekalipun, alasan seperti untuk melepaskan tekanan dan bosan akan digunakan untuk mengesahkan perbuatan mereka. Tidak dinafikan, mahu berhibur dan rasa hendak bergembira itu perlu ditunaikan (sekadar perlu), tetapi jangan sampai ia dijadikan fokus sehingga menolak syariat dan agenda utama ke tepi. Ini sebenarnya mampu untuk meranapkan kesucian proses menuntut ilmu dan mencari makna hidup!

Dunia masa kini di IPT juga menunjukkan kecenderungan para mahasiswa untuk lebih memahami hakikat kejadian diri sebagai hamba dan khalifah sudah semakin kurang. Program-program bersifat ‘tazkiatun-Nafs’ tidak menjadi pilihan utama para pelajar Muslim. Terdapat dalam kalangan para pelajar yang prilakunya seolah-olah tidak beragama. Mereka tanpa segan silu berpegangan tangan di hadapan khalayak ramai, mengenakan pakaian yang membuka aurat baik lelaki dan perempuan, bertindik di telinga, meninggalkan solat Jumaat dan pelbagai lagi penyakit iman yang sedang melarat dalam kalangan pelajar Muslim di IPT. Oleh yang demikian, tidak hairanlah sekiranya isu peperangan di Palestin tidak menjadi menarik bagi mereka untuk diambil peduli kerana ia seolah-olah langsung tidak ada kaitan dengan mereka dan kehidupan! Ini semua adalah berpunca daripada akidah tauhid yang rapuh.

Situasi ini sepatutnya menjadi kebimbangan para pensyarah di IPT masing-masing. Dua masalah utama (kerosakan kefahaman tentang ilmu dan kerapuhan aqidah) seperti yang disebutkan di atas perlu diambil berat kerana mereka ini adalah golongan yang bakal mengisi kemerdekaan negara dan yang lebih penting, mereka ini yang bakal mempertahankan Islam satu hari nanti. Adalah amat menyedihkan sekiranya, IPT-IPT yang ada berjaya mengeluarkan graduan-graduan yang hebat dari segi kepakaran tetapi rapuh dan hancur dari sudut jati diri dan agama. Kelahiran golongan sebegini sebenarnya berpotensi untuk merobek kemerdekaan yang sedang dimiliki ketika ini melalui pelaksanaan dasar-dasar songsang yang mungkin mereka akan laksanakan  satu hari nanti.

Dasar songsang yang dimaksudkan itu ada kaitan dengan seperti yang disebut oleh Malek Bennabi sebagai ‘colonilisibiliti’ atau kecenderungan untuk dijajah. Hal ini menurut beliau, adalah antara punca utama kejatuhan umat Islam akibat dari pemikiran mereka yang terlebih dahulu telah dijajah.

Muhasabah perlu dilakukan oleh para pentadbir dan tenaga akademik yang ada, sama ada mereka bakal melahirkan para graduan yang berkepakaran dalam bidang masing-masing dan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ataupun mereka yang berkepakaran dalam bidang masing-masing tetapi cacat dari segi rohani dan inteleknya.

Saya tidak pasti, sama ada suara kecil ini mampu memberi kesan agar berlakunya revolusi dari segi pendekatan penyampaian ilmu dan mauduk (bahan) pembelajaran di IPT-IPT. Walau bagaimanapun, saya terpanggil untuk menyuarakan permasalahan utama yang sedang bergiat rancak dan berkembang subur di IPT-IPT di Malaysia.

Saya tidak berniat untuk menambah beratkan lagi amanah dibahu para pensyarah dan kakitangan akademik yang ada disamping tugas-tugas lain yang memang sedia maklum sudah banyak, cuma saya memohon sedikit ruang untuk para pensyarah bermuhasabah tentang realiti yang sedang berlaku dikampus masing-masing.

Diperingkat mahasiswa, memang wujud segolongan mahasiswa atau pelajar yang ingin membuat evolusi pembudayaan Ilmu di IPT, tetapi ia tidak dapat dilakukan tanpa penglibatan dan kerjasama dari pihak tenaga akademik yang lebih arif dan lebih berpengalaman.

Universiti di Malaysia perlu diselamatkan daripada menjadi ‘mesin’ pencetakan untuk menghasilkan individu Malaysia yang bermindakan barat.

Renungan Bersama:

“An education that is based upon the principle of the belief in God and in the development of students who are progressive, disciplined, integrated and balanced in their intellectual, emotional, physical and spiritual outlook, and who will contribute towards the well being of the society and the nation.”

P/S: Sehingga artikel ini siap ditulis, mesin penghasilan para graduan berkualiti dari kaca mata barat (tidak dari kaca mata Islam) sedang terus beroperasi.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: