Skip to content

Jiwa Sedar Perlu Berperanan

October 16, 2008

Mahasiswa adalah aset negara. Ini ungkapan yang selalu kita dengar dan bagi yang terlibat dengan pembangunan mahasiswa, ungkapan ini, walau tidak jelas disebutkan, tetapi ia menjadi tema dalam proses membangunkan mahasiswa. Falsafah pendidikan negara menjadi salah satu rujukan dalam proses membangunkan modal insan yang cemerlang.

“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.” (Falsafah Pendidikan Negara)

Falsafah pendidikan di atas adalah menjadi rujukan dalam memastikan setiap proses pendidikan sama ada diperingkat terendah seperti tadika sehinggalah ke peringkat tertinggi seperti di Institusi Pengajian Tinggi. Menjadi tanggungjawab setiap tenaga pengajar dan setiap tenaga pendidik anak bangsa untuk memastikan mereka tahu tujuan mereka menjadi pendidik atau tenaga pengajar di bumi Malaysia.

Saya juga ingin merujuk kepada Visi dan Misi Universiti Malaysia Sabah sebagai bahan untuk direnung dan difahami.

“Menjadi sebuah universiti berinovatif yang bertaraf dunia.” (Visi Universiti Malaysia Sabah)

Mampukah setiap warga universiti merealisasikan visi yang amat murni ini dalam memastikan minda masyarakat kampus diinovasikan daripada menjadikan budaya hedonisme sebagai cara hidup kepada budaya kebijaksanaan(wisdom) sebagai cara hidup? Sejauh mana seluruh kaki tangan Universiti Malaysia Sabah termasuk seluruh tenaga pengajar dan mahasiswanya menghadam visi Universiti ini?

Saya juga ingin berkongsi Misi universiti yang merupakan ‘core business’ kepada penubuhan Universiti malaysia Sabah.

“Mencapai kecemerlangan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu untuk mencapai pengiktirafan antarabangsa menerusi pengajaran, pembelajaran, penyelididkan, penerbitan dan khidmat masyarakat serta untuk mencapai keseimbangan pengkhususan ilmu dan keperibadian pelajarnya untuk menghasilkan produktiviti dan kualiti yang tinggi dalam konteks persekitaran dan aspirasi pembangunan masyarakat dan Negara.” (Misi Universiti Malaysia Sabah)

Visi dan Misi universiti di atas menjadi pedoman dalam proses mengubah paradigma dan cara berfikir masyarakat di seluruh Sabah khususnya dan Malaysia amnya. Penubuhan universiti yang bertindak sebagai sebuah badan pendidikan, yang mengutamakan nilai-nilai murni, hujah-hujah ilmiah dan yang lebih penting atas nilai kepatuhan kepada perintah Tuhan, pada hari ini seakan-akan tidak menjadi fokus utama dalam proses pendidikan di universiti. Wujud antara aktiviti-aktiviti di universiti seolah-olah tidak menjadikan Falsafah Pendidikan Negara, Visi dan juga Misi Universiti Malaysia Sabah sebagai ‘guideline’ kepada kewujudan aktiviti-aktiviti yang diluluskan.

Saya terpanggil untuk mengupas isu Battle Of The Band (BOTB) yang bakal berlangsung beberapa hari lagi. Konsert mini yang bakal di adakan di Taman Ilmu ini, pada saya merupakan seolah-olah pengiktirafan kepada budaya hedonisme. Saya tidak nampak kehadiran konsert ini mampu membawa mahasiswa ke arah yang lebih bersifat inovatif. Konsepnya sama, berhibur. Untuk ‘release tension’ katanya. Sedangkan kita mempunyai wadah yang jauh lebih baik dalam proses menghilangkan ‘tension’ para siswa-siswi.

Saya tidak dapat mencari jawapan yang konkrit untuk menyokong kewujudan konsert ini di taman Ilmu yang amat saya cintai ini. Pada saya, pandangan Majlis Perwakilan Pelajar yang menjadi badan formal seperti yang termaktub di dalam Auku(Perkara 52) perlu diambil berat. Tanggungjawab mereka adalah untuk memastikan intelek mahasiswa terjaga dan tidak dicemari dengan budaya hedonisme yang semakin menguasai minda mahasiswa-mahasiswi. Di dalam Televisyen, Radio dan Internet memeperlihatkan rancangan-rancangan hiburan yang menarik perhatian mahaisswa. Sepatutnya, warga universiti berperanan meneutralkan dan menyedarkan mahasiswa tentang tanggungjawab mereka terhadap masyarakat, iaitu membangunkan masyarakat. Bukan merosakkan mereka melalui aktiviti pengalaman mereka di universiti.

Wujud dan Raikan Alternatif Lain

Bulan Ogos yang lalu, Badan Dakwah dan Kerohanian telah menganjurkan Karnival Kebudayaan dan Kesenian Islam, bertujuan untuk memperkenalkan budaya kehidupan sebagai umat islam di bumi UMS-KAL. Tahniah saya ucapkan kepada penganjur dan tenaga pelaksana kerana telah berjaya melaksanakan program tersebut. Sehari sebelum karnival berakhir, konsert mini yang diserikan oleh kumpulan nasyid tanah air iaitu UNIC, telah memeriahkan padang UMS-KAL. Pada saya, ini merupakan suatu cetusan inovasi untuk mengubah paradigma masyarakat kampus.

Kita hendak menyampaikan bahawa hiburan itu boleh, tetapi ada caranya. Hiburan yang dibolehkan ialah yang membawa manfaat kepada kehidupan dunia dan akhirat. Hiburan yang dibolehkan ialah hiburan yang mampu mencelikkan minda dan dapat menjadi panduan dalam proses meneruakan kehidpan sebagai ahli masyarakat yang berguna. Konteks nilai-nilai murni ditekankan seperti pengasingan lelaki dan perempuan. Nasihat-nasihat diberikan oleh para artis jemputan pada malam itu. Pada saya ini merupakan contoh yang boleh di ambil sebagai panduan dalam membenarkan artis-artis membuat konsert di dalam kampus. Kta tidak menolak hiburan. Ini perlu diberi penekanan dan mesti difahami oleh semua pihak. Cuma falsafah kewujudan sesebuah konsert yang perlu diselaraskan dengan Falsafah Pendidikan Negara, Visi dan Misis Universiti Malaysia Sabah. Alternatif perlu dibanyakkan dan memerlukan sokongan tenaga pensyarah.

Pensyarah Yang Professional

Saya amat memandang tinggi para pensyarah yang mengajar saya atau tidak mengajar saya. Pada saya mereka merupakan tempat rujukan utama dalam proses menajamkan lagi kemahiran mengurus sistem mengikut pengkhususan masing-masing.

Saya yakin, ada dikalangan para pensyarah yang tidak menyokong kehadiran Battle Of The Band ini. Tetapi saya pelik, di manakah suara mereka? Saya ternanti-nanti peranan para pensyarah yang mempunyai kapasiti ilmu dan pengalaman yang tinggi untuk membendung masalah hedonisme di bumi UMS-KAL yang saya amat cintai ini. Mungkin juga mereka ada cara mereka untuk tidak menyokong kewujudan BOTB ini. Akan tetapi, adalah lebih baik para pensyarah yang memartabatkan kebijaksanaan ini menyelami hati mahasiswa yang cintakan kebijaksanaan dan juga berbincang dengan badan perwakilan pelajar untuk lebih mengetahui keadaan semasa. Saya teringat kesudian Dr. Rosita Chong dan pihak penganjur ‘Retreat SPKAL’ yang telah menjemput saya dengan beberapa rakan mahasiswa saya untuk membentangkan isu semasa dari sudut pandangan sebagai mahasiswa. Saya merasakan adalah wajar usaha ini diteruskan bagi mendengar keluhan para pemimpin pelajar yang hendak membuat pembaharuan dari segi pemikiran para pelajar di kampus, tetapi selalunya seolah-olah berjuang tanpa sokongan pihak yang berotoriti. Akibatnya, pandangan mereka dikesampingkan dan pandangan para pelajar yang kelihatan menyeronokkan tetapi pada hakikatnya mampu memberi kesan negatif kepada masyarakat pada masa akan datang, diraikan.

Saya tidak bermaksud untuk membuat para pensyarah yang saya kasihi terasa. Itu bukan tujuan saya. Ini cuma luahan seorang anak muda yang kasihkan masyarakat di luar sana. Luahan seorang anak didikan terhadap para pensyarah yang dikasihi. Saya sudi bekerjasama dengan para pensyarah dalam proses menghidupkan budaya kebijaksanaan(culture of Wisdom) ini di kampus UMS-KAL.

Kesimpulan

Semoga UMS-KAL mampu melahirkan ahli masyarakat yang professional sesuai dengan tuntutan semasa yang menghendaki para mahasiswa dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat di luar sana. Terutamanya masyarakat Sabah.

Semoga UMJS-KAL mampu menjadi kampus yang menjadikan Kebijaksanaan(wisdom) sebagai budaya berfikir dan bertindak bagi warganya secara keseluruhan.

Semoga para tenaga pendidik(bukan tenaga pengajar semata-mata) dapat memberi sokongan membantu mahasiswa-mahasiswa yang inginkan kebaikan kepada mahasiswa secara menyeluruh.

P/S: Saya mohon maaf jika artikel ini menyentuh hati para pensyarah. Saya dengan rendah diri memohon tunjuk ajar para pensyarah yang dikasihi. Kepada Mahasiswa, sama-sama kita bersatu membentuk diri yang cintakan kebenaran dan keadilan.

Rujukan:

http://www.sabah.edu.my/sk.kayau.ppr/fpn.htm

http://wwwkal.ums.edu.my/info/visi.htm

“BERUBAH UNTUK MENGUBAH”

Abu Nasih@ http://jurnaldaie.wordpress.com

W. P. Labuan

15 Oktober 2008/15 Ramadhan 1429

2 Comments leave one →
  1. October 17, 2008 1:14 pm

    masih ramai lagi pensyarah-pensyarah yg berfiqrah tidak berani untuk menonjolkan diri dalam perjuangan..mereka merasakan yang diri mereka terikat…sampai ada yg berkata “hanya melalui sumbangan kewangan je yg saya mampu bg,” mmg itu juga salah satu kewangan..tapi kami sebagai pelajar sangat memerlukan sokongan serta bimbingan mereka dalam perjuangan..kami x mampu untuk bergerak sendiri..mudah-mudahan golongan profesional ini dapat mengubah corak pemikiran mereka…insyaAllah

    maaf juga pada pihak2 yang berkenaan andai ana terkasar bahasa…segala salah dan silap, mohon diberi tunjuk ajar..

  2. October 17, 2008 1:16 pm

    silap2…

    “hanya melalui sumbangan kewangan je yg saya mampu bg,” mmg itu juga salah satu kewangan

    sebenarnya perkataan terakhir tu nak tulis sumbangan :”>

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: