Skip to content

Sasterawan Negara Bukan Sekadar Penulis

September 27, 2008

Salam Mujahid,

Semoga mendapat manfaat dari sudut pandangan sebagai seorang pendakwah.

SASTERAWAN NEGARA BUKAN SEKADAR PENULIS

Oleh: Azman Ismail

Perkembangan semasa dalam semua aspek yang melanda Negara ini terpaksa meletakkan para pengarang bukan sekadar penulis atau deklamator semata-mata.

Ia jauh lebih daripada itu. Antaranya sebagai individu bertanggungjawab memperjuangkan maruah bahasa Melayu, mempertahankan kesusasteraan dan memperbaiki kepincangan-kepincangan sosial melalui ketajaman mata pena. Tanggungjawab tersebut menjadi lebih besar kepada seseorang penulis yang bergelar Sasterawan Negara. Mereka tidak sekadar memperkayakan khazanah sastera tetapi memperkukuhkan hegemoni bahasa Melayu itu sendiri.

Apalah erti gelaran Sasterawan Negara jika hanya berdiam diri ketika bahasa dan sastera Melayu semakin terpinggir oleh sikap pandangan sempit sebahagian masyarakat kita.

“Ramai yang menyangka bahawa sasterawan tidak langsung mempunyai sikap atau pendirian terhadap isu seni dan budaya bangsa. Padahal realitinya tidak begitu.


WARISAN

“Hanya segelintir kecil dan khusus yang tahu bahawa sasterawan Negara sebenarnya tidak bisu; sekurang-kurangnya saya tidak bisu,” kata Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Bagi seseorang pengarang dan Sasterawan Negara sepertinya, A. Samad Said menegaskan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa budaya dan seni warisan nenek-moyang. Tanpanya kita kehilangan karakter terpenting sebagai bangsa Melayu.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab seseorang Sasterawan Negara dan seluruh pengarang di Negara ini untuk melahirkan karya yang harus serasi dengan ucap dan isi zamannya.

Karya-karya seni yang dihasilkan mereka juga mesti berguna kepada masyarakat dan setidak-tidaknya sebagai khazanah yang boleh dikaji oleh generasi akan datang.

“Para seniman dan pengarang adalah mata, hati, telinga, minda dan lidah masyarakat dan generasi baru yang ada pada hari ini wajar memahami pokok intelektualiti kepengarangan seseorang penulis.

“Percayalah, setiap masyarakat sangat memandang kepada senimannya. Makanya, setiap seniman atau pengarang wajar pula menyedari gelora hidup lahir-batin masyarakat yang harus dibantunya,” ujar beliau.

Sementara itu, Sasterawan Negara, Dr. S. Othman Kelantan berkata, seseorang penulis perlu mempunyai kesungguhan dan memahami semua aspek termasuk langgam bahasa untuk menghasilkan karya kreatif yang imaginatif.

Seseorang penulis juga perlu mempunyai tahap penguasaan bahasa (bahasa Melayu) dengan baik, disamping keupayaan menggunakan pengalaman untuk diterapkan menjadi sebuah karya sastera yang baik.

“Pengalaman dan pengetahuan kita memberi daya fikir yang boleh diwujudkan secara kreatif. Pengalaman bertolak dari realiti. Pengetahuan pula diperolehi daripada pembelajaran kita seumur hidup.

“Novel saya, Orang Kota Bharu (2003) lahir berdasarkan pengalaman saya sebagai penduduk Kota Bharu dan apa jua kegiatan termasuk perarakkan dan demonstrasi politik dan lain-lain,” Katanya.

Oleh itu, walaupun novel atau cerpen hanya sebuah karya kreatif, ia mesti ada daya imaginasi atau daya reka dan sensitiviti atau daya sentuh.

Kekuatan sesebuah karya sastera ialah keupayaan seseorang pengarang mengolah imaginasi dan sensitiviti. Bagaimanapun ia tidak mengikis tujuan asal sesebuah teks sastera untuk membina masyarakat.

Sungguh kegiatan bersastera telah berkembang dan tercerna dalam kerangka-kerangka ilmu-ilmu sosial ataupun kebudayaan. Gagasan daripada kegiatan itu secara tidak langsung memberi impak besar kepada produksi para pengarang.

Oleh itu, pandangan kedua-dua Sasterawan Negara sangat jelas. Sastera sentiasa mempunyai fungsi berganda. Satu sisi ia menonjolkan kekuatan intelektual seseorang pengarang dan satu sisi lagi menjadi lidah serta minda masyarakat.

Bagaimanapun, tidak wajar ada tuduhan-tuduhan sempit bahawa Sasterawan Negara tidak menjalankan “tanggungjawab” dalam memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu.

Seperti kata A. Samad, bila timbul pelbagai isu berkaitan dengan budaya, kesenian dan kesusasteraan, para Sasterawan Negara dan pengarang adalah kelompok yang paling lantang bersuara sama ada menerusi karya mahupun lisan.

Pandangan Antonio Gramsci, tokoh kiri dari Itali, pelopor konsep hegemoni dalam konteks kegiatan intelektual sangat menarik untuk dihubungkan dengan pendapat S. Othman dan A. Samad tersebut.

Gramsci menegaskan kerja-kerja intelektual termasuk sastera mesti menggunakan data empiris dan dikembangkan melalui tulisan.

Kegiatan seperti ini memerlukan perjuangan yang menyeluruh menentang kebiasaan diletantisme (aliran pencinta seni dan sastera) yang hanya mengutamakan keindahan dan bukannya fungsi masyarakat.

Gramsci benar-benar terhegemoni dengan karakteristik kegiatan diletantisme sehingga perlu mengenali sekali gus menjauhinya. Mengapa Gramsci disokong oleh beberapa sarjana?

Sebagai seorang intelektual, seseorang pengarang perlu sensitive terhadap pelbagai isu. Mereka bukan sekadar berkarya tetapi juga membentuk dunia idealisme untuk masa depan masyarakatnya.

Melihat kedudukan kelompok diletantisme (meminjam pandangan Gramsci) memang penting untuk dihindari. Gagasan pengarang meskipun bersifat imaginatif dan fantasi, namun perlu menjadi wadah kepada masyarakat.

Menghindari kelompok diletantisme juga penting bagi kerajaan. Masyarakat bukanlah buah-buah catur yang patut dijadikan permainan spekulatif. Objektif sastera mewujudkan karya yang boleh mendidik dan memajukan bangsa.

Karya sastera pun banyak yang menghindari kegiatan diletantisme sejak berkembangnya sastera moden di Negara ini. Antaranya, Putera Gunung Tahan oleh Ishak Mohamad atau Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad.

Teks-teks tersebut menjadi kuat kerana penggunaan disiplin politik, siosologi, komunikasi dan latar adat masyarakat Melayu tanpa terlalu terikat dengan estetika sastera.

Bagi S. Othman, seseorang pengarang yang baik perlu mengutip pelbagai aspek positif termasuk pengalaman peribadi dalam berkarya dan menghindari pemahaman dilentatisme.

Ini kerana sesebuah karya sastera bukanlah paparan estetika bahasa semata-mata sebaliknya bagaimana menyediakan wadah membina peradaban bangsa dan membaiki semua kelemahan yang ada dalam masyarakat.

RUJ: http://mardhee.multiply.com/journal/item/120/Fungsi_Sasterawan

“TERUSKAN BERJIHAD MELALUI PENA.. MEMBAWA MASYARAKAT KEPADA KEBENARAN”

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: