Skip to content

Suasana Sekitar Penghujung Ramadhan

September 24, 2008

Kenangan di Bazar Ramadhan dalam kampus(NUek, saya, Hafiz)

Salam Mujahid,

Hari Raya Puasa kian menghampiri umat Islam. Ini bermakna Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan bakal meninggalkan umat Islam. Dan akan muncul semula setahun kemudian, InsyaAllah…

Minggu pertama Ramadhan hari itu, saya ke bandar untuk beli barang keperluan. Waktu berjalan melalui rumah kedai di kanan dan kiri saya, saya terdengar lagu raya.

“Menjelang..Hari Raya..

Berakhirnya Puasa…Mendengar takbir senja..

Menunggu Syawal tiba…”


Lebih kurang begitulah seni katanya. Saya tidak tahu mengapa, secara spontan, hati saya geram dan marah. Baru seminggu berpuasa, sudah menanti Aidilfitri. Pada saya, itu perbuatan yang kurang sopan untuk dilakukan. Terutamanya pada awal Ramadhan ini. Sepatutnya, Didendangkan lagu-lagu berkisar tentang kemuliaan Ramadhan, kelebihan beramal ibadat dalam bulan Ramadhan dan sebagainya. Pendek kata, lagu-lagu yang boleh meningkatkan semangat mengharungi bulan Ramadhan. Tetapi setakat yang saya biasa dengar lagu tentang bulan Ramadhan ialah lagu daripada Man Bai. Saya tidak ingat tajuknya, tapi saya hafal juga sikit-sikit.

“Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna..

Agar dapat ku lalui dengan sempurna….

Selangkah…demi selangkah…”

Lebih kurang beginilah seni kata lagunya(kalau salah, tegur ya). Lagu daripada kumpulan lain ada. Cuma mungkin saya jarang dengar, jadi saya tidak ingat buat masa ini. Cuma apa yang saya ingin tekankan di sini ialah, saya mencadangkan kepada artis tanah air kita, lebih-lebih lagi kumpulan-kumpulan nasyeed tanah air untuk mencipta dan memperbanyakkan lagu-lagu tentang kemuliaan Ramadhan dan yang seangkatan dengannya. Moga dengan itu, ia mampu menjadi alternatif kepada mendendangkan lagu-lagu Aidilfitri.

SEDIH KERANA APA?

Sejak beberapa hari lepas, hati saya rasa sayu dan pilu. Emosi saya tidak menentu. Semakin hampir ke penghujung Ramadhan kali ini, semakin saya gelisah, tidak tenteram. Hati rasa makin marah dan geram bila mendengar lagu-lagu Aidilfitri yang berkumandang di corong-corong tingkap kolej kediaman Alpha(kediaman siswa). Saya sedih kerana Ramadhan akan meninggalkan saya. Saya sedih kerana saya tidak tahu sama ada tahun depan saya akan berjumpa dengan Ramadhan lagi atau tidak. Saya rasa inilah pertama kali saya rasa sedih yang amat sangat. Sebelum ini, saya tidak pernah rasa sedih begini. Saya bimbang sekiranya saya dianggap gagal oleh Allah dalam melalui proses tarbiyyah di dalam Ramadhan kali ini. Sedar tidak sedar, Ramadhan sudah hendak sampai ke penghujungnya.

-Apa yang saya dapat pada Ramadhan kali ini?

-Tercapaikah MISI RAMADHAN 1429 yang saya tetapkan pada awal RAMADHAN yang lalu?

-Bersediakah saya untuk menghadapi cabaran yang mendatang setelah berlalunya Ramadhan kali ini? Pada saya, setiap hari-hari yang dilalui, cabaran adalah semakin besar dan menunutut kebijaksanaan diri individu untuk mengaplikasikan al-quran dan Sunnah dalam kehidupan. Jadi, persoalannya, sudah bersedia?

Berat kepala memikirkannya sekiranya di bulan Ramadhan sendiri dirasakan berat untuk beramal dengan istiqamah.

Harapan saya, semoga baki hari-hari yang dilalui sepanjang bulan Ramadhan pada tahun ini, akan berlaku keajaiban agar diri ini dipermudahkan untuk terus bersemangat memburu cinta Allah selepas selesai Ramadhan nanti.

BALIK KAMPUNG RAYA INI?

“Hang balik kampung tak raya ni?”

Selalunya ini soalan yang saya ajukan pada sahabat-sahabat saya pada setiap hari sejak kebelakangan ini. Sengaja bertanya untuk mengeratkan ukhwah dan ingin tahu sama ada mereka balik kampung atau tidak. Jawapan yang diterima, ada yang balik dan ada yang tidak. Dan bila mereka soal saya semula, saya jawablah tidak. Sejak belajar di bumi Labuan ini selama 4 tahun, tahun ini adalah kali ketiga saya tidak pulang ke Perak. Cuti hanya seminggu dan rasa tidak berbaloi kerana kos pergi dan balik menggunakan Air Asia mencecah RM400. Saya rasa baik saya duduk Labuan dan menghabiskan kuih-kuih raya di setiap rumah di Labuan yang para penduduknya amat peramah.(kalau dapat habiskanlah)

Semoga Ramadhan kali ini dapat membri impak positif dalam kehidupan saya dan kita semua. Semoga Raya tahun ini adalah sebenar-benar tanda kemenangan kepada kita kerana berjaya mengharungi ujian sepanjang bulan Ramadhan.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI…SELAMAT PULANG KE KAMPUNG….

“HIDUP ADALAH PERJUANGAN”

Abu Nasih

W. P. Labuan

24 SEPTEMBER 2008/24 RAMADHAN 1429

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: