Skip to content

Jemput ke Website Baru Saya di AliffBasri.com

November 24, 2010

Jemput ke website baru saya di:

http://aliffbasri.com

🙂

Perlu berperang?

November 14, 2010
tags:

14 Nov 2010:

Proses mahu memahami hikmah prof Al-Attas diteruskan lagi sejak awal pagi tadi. Prolegomena, bahagian ‘introduction’, dibaca perlahan-lahan. iaitu berkaitan dengan takrifan Pandangan alam Islam (worldview of Islam). Prof Al-Attas menjelaskan bahawa Pandangan Alam Islam tidak boleh ditakrifkan sebagai Nazrat al islam li al-kawn, kerana makna nazrat itu sendiri merujuk kepada proses spekulasi akal atau falsafah dalam mencari kebenaran.

Oleh itu, Prof al-Attas menyarankan penggunaan ‘ru’yat al Islam li al-wujud’ sebagai perkataan yang sesuai dalam bahasa arab.

Selepas itu, aku membuka buku 55 Petua Orang Berjaya, karya Dr Fadzilah Kamsah dan Tn Hj Ahmad Fadzli Yusof. Latihan untuk mengetahui cara untuk menjejaki masa yang telah digunakan seharian. Sebabnya, selalu ramai orang tidak sedar, ke mana mereka menghabiskan masa mereka berlalu. Saranannya ialah, sediakan satu buku log dan catat apa yang dilakukan bagi setiap 15 minit. Tidak perlu dibuat setiap hari, cukup menjadikan 2 hari bekerja dan 1 hari cuti sebagai sampel untuk bermuhasabah.

Meja kemas yang baru di atur malam tadi, memang sangat membantu memberikan aku keselesaan dalam membaca buku.

Mesyuarat tengah tadi berjalan dengan lancar. Ketika makan tengah hari, abang Fadzli berkongsi tentang peperangan yang berlaku antara Korea Selatan dan Korea Utara. Juga anggapan bahawa kemungkinan boleh dikatakan peperangan antara Korea Selatan dan Korea Utara sebagai perang dunia ke-3. Menarik

Dan yang lebih menarik ialah berkenaan dengan peperangan yang dianggap sebagai medium terbentuknya teknologi-teknologi moden masa kini. Maknanya, seolah-olah, jika tiada peperangan, banyak teknologi masa kini tidak akan tercipta.

Ketika itu, timbul persoalan, adakah peperangan menjadi satu keperluan? Aku tidak rasa begitu. Ia mungkin boleh dianggap sebagai asbab tercetusnya teknologi-teknologi moden, tetapi dari segi etika, ia sangat bertentangan dengan tujuan kehidupan manusia. bahkan, teknologi masa kini juga berpotensi menyumbang kepada perkara yang menyalahi tujuan penciptaan manusia.

Ini membuatkan aku teringat perumpamaan Prof al-Attas perihal perumpamaan beliau tentang teknologi dan kepentingan pendidikan ke atas manusia. Pisau itu adalah objek. Yang mampu menjadi pembantu di dapur untuk mempermudahkan urusan, dan mampu juga menjadi alat yang berbahaya bila digunakan untuk membunuh manusia.

Iya, persoalannya adalah pada manusia. Nilai baik dan hidup beragama yang menjadi fokus untuk dibangunkan dalam diri manusia.

Aku tahu, ini masih belum betul-betul membincangkan hal tersebut. Moga satu hari nanti, aku dapat menjawab persoalan ini secara tuntas. Amin.

Semakin Canggih, Semakin Kabur Tujuan Hidup

October 30, 2010

Semakin canggih kehidupan masa kini, semakin kabur tujuan perjalanan hidup.

Frasa ini saya perolehi dalam buku “Pembangunan di Malaysia: Ke arah Satu Kefahaman Yang Baru”, karya Prof Wan Mohd Nor. Beliau mengambil frasa ayat ini daripada karya William Leiss berjudul The Domination of Nature.

Sudah beberapa kali saya mengulangi frasa ini, sejak setahun yang lepas, baru saya dapat memahaminya dengan lebih baik berbanding hari-hari sebelum ini, ketika membacanya berulang kali.

Tiada siapa dapat nafikan, kecanggihan hidup kita sebagai manusia pada hari ini, adalah sesuatu yang mengkagumkan. Menjadi satu kebodohan bagi sesiapa yang bersikap menolak kecanggihan teknologi pada hari ini.

Jika dahulu, proses Revolusi Perindustrian mengambil masa beratus tahun untuk mencapai kemuncaknya, pada hari ini, zaman yang dikenal sebagai Revolusi Informasi, tidak mengambil masa yang lama untuk terus memuncak. Bilang sahaja dengan jari, sekitar tahun berapa komputer dan internet menjadi keperluan manusia? Dan sehingga kini, berapa lama pula mana sesuatu maklumat itu dapat dicapai?

Sungguh, kecanggihan teknologi pada hari ini, dari sudut semakin memudahkan peranan dan tugas sebagai seorang manusia menghadapi hidup sehari-harian di dunia ini, telah tercapai objektifnya-walaupun berubah-ubah.

Tetapi ‘mudah’ yang dimaksudkan itu ialah bersifat material. Contohnya, jika mahu makan, pergi sahaja ke restoran-restoran makanan segera seperti McD dan sebagainya. Mahu lebih mudah lagi? Tidak perlu duduk di restoran tersebut, cukup sekadar ‘drop-by’ di ‘drive-thru’ di setiap restoran McD tersebut. Kehendak (desire) ‘mahu kenyang’ akan tercapai. Contoh lain, jika mahu berniaga, teknologi internet sangat berpontensi dan telah terbukti mampu membantu para usahawan membuat ‘marketing’ dan ‘promotion’ melaluinya. Tambahan pula, melalui internet yang tiada sempadan, jaringan menjadi sangat luas dan tanpa batasan.

Begitu juga dalam aspek pendidikan, jika dahulu(sekitar 6 tahun lepas), semasa di Matrikulasi (teringat kenanagan di Kolej Matrikulasi Perlis), sangat jarang rakan-rakan yang membawa atau menggunakan laptop kerana keperluan tidak begitu terdesak. Tetapi hari ini, laptop telah menjadi satu keperluan penting, baik di sekolah menengah, apatah lagi di matrikulasi.

Banyak contoh sekeliling yang boleh diambil untuk menunjukkan bahawa kecanggihan teknologi sebenarnya sangat membantu urusan manusia, tetapi ia bersifat material-kebendaan.

Pada masa yang sama, ia kering dari aspek spiritual dan ketuhanan. Teknologi hari ini dihasilkan tanpa didahului dengan konsep metafizik yang jelas. Tidak disertai-disaluti dengan ‘tujuan akhir’ penciptaannya. Benar, tujuan akhir bagi penggunaan Mesin basuh adalah tenaga dapat dikurangkan daripada menggunakan tenaga fizikal dan masa yang lama untuk membasuh pakaian. Tetapi, ‘tujuan akhir’ tersebut tidak menyatakan penghasilan mesin basuh dan detergen yang digunakan tidak akan menyumbang kepada pencemaran sungai dan laut yang boleh membawa kepada ketidak-stabilan ekosistem, lalu ‘mencipta’ dosa kering akibat kelalaian tersebut. ‘Tujuan akhir’ seperti ini tidak ada di dalam manual penggunaan atau ketika mempromosikannya kepada para pembeli. Fokusnya adalah ‘kebahagiaan’ lahiriah-material. Ini terjadi apabila idea asalnya sendiri gersang dari aspek metafizik yang mempercayai wujudnya pembalasan bagi setiap yang dilakukan.

Tetapi pada hari ini, sudah mula wujud kesedaran tentang teknologi hijau yang dapat menjadi alterbatif dan pilihan utama berbanding teknologi yang tidak hijau-yang merosakkan alam sekitar. Namun ia masih bersifat material juga, apabila fokusnya adalah untuk pembangunan ekonomi individu-kerajaan, berbanding untuk membawa masyarakat memahami konsep wujudnya Tuhan Yang Esa.

Kesilapan diperingkat awal kewujudan teknologi ini telah mengakibatkan kemusnahan pada diri manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Kemusnahan inilah yang dimaksudkan oleh al-Attas apabila rencana falsafah sekularisasi wujud dalam sains dan teknologi. Aspek metafizik dicabut keluar dari kehidupan yang ada sehingga menjadikan manusia hidup tanpa nilai dan etika yang jelas dan tetap. Nilai dan etika ini tidak akan mampu kekal sekiranya tidak melalui kewujudan agama sebagai asasnya.

Dan apabila bercakap tentang agama, ia merujuk kepada ad-din al-Islam, yang mempunyai kerangka yang sangat jelas tentang bagaimana insan mahu menjalani hidup di dunia fana’ ini. Ad-din ini jugalah satu-satunya ad-din yang menetapkan halatuju yang jelas berkaitan dengan ‘tujuan akhir’ penciptaan manusia.

Apabila kefahaman ini dimiliki oleh manusia, khususnya para saintis Muslim, ia sebenarnya mampu mewujudkan teknologi-teknologi dan kecanggihan yang akan membawa insan menuju Tuhan yang Esa.

Untuk itu, ia bermula dengan kepentingan saintis Muslim masa kini-khususnya, dan Muslim seluruhnya, mengetahui tentang Pandangan Alam Islam, seperti yang di-‘formularized’kan dengan baik sekali oleh Prof al-Attas sebagai asas membezakan Pandangan Alam Islam yang sangat bertentangan dengan Pandangan Alam Barat.

Satu permulaan yang baik sekiranya setiap Muslim, khususnya anak muda, yang mahu menyelami permasalahan mendasar(root of the problem) umat Islam dan juga jalan penyelesaian yang juga mendasar dan untuk jangka masa panjang, untuk menyelongkar idea dan pandangan Prof al-Attas sebagai usaha membentuk kerangka pemikiran yang lebih terarah dalam proses mengislah umat manusia dan umat Islam khususnya.

Kehidupan yang ‘canggih’ adalah kehidupan yang dapat menghadirkan ketenangan dan kebahagiaan kepada manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Bukan disandarkan semata-mata dengan kecanggihan teknologi-tanpa didasari nilai yang jelas dan tetap.

Saya akhiri perkongsian pada kali ini dengan sedutan dari artikel Dr. Adi Setia berjudul “Tiga Pengertian Sains: ke arah Usaha Penyedaran Semula Misi Pengislaman Sains dan teknologi Menurut Kerangka Faham Syed Muhammad Naquib al-Attas”, apabila beliau menghuraikan pengertian sains yang ketiga di dalam makalahnya itu:

“Pengertian ini lebih menitikberatkan sifat keilmuan atau sifat kognitif sains daripada sifat kebergunaan/kealatan atau sifat utiliti/instrumentalnya. Ini adalah kerana matlamat akhir sains dalam Islam ialah ilmu yakini tentang kebenaran mutlak (absolute truth), tentang hakikat tertinggi, tentang aspek numena (noumenon) di sebalik fenomena (phenomenon), tentang makna diri insan dan makna-diri alam, tentang kesyukuran dan pengabdian diri kepada Pencipta, yang semuanya itu merupakan aspek-aspek kemakrifatan akan hakikat tertinggi sekadar yang termampu dicapai insan. Adapun aspek kebergunaan/kealatan sains sebagai teknologi dalam membina kemakmuran hidup di dunia yang fana ini, maka itu hanya merupakan sifat pengantara (a means=wasitah, wasilah) demi mencapai matlamat yang lebih mendasar dan luhur demi kerana firman Allah:

‘Dan demi sesungguhnya alam Akhirat lebih baik dan lebihy kekal…” (al-A’la: 17)

Dan demi kerana tugas insan di dunia fana ini ialah mkenzahirkan kesyukuran kepada Tuhan Yang Maha Tinggi dalam pemikiran, pertuturan dan pengamalan.”

Sumber:

1) Risalah Untuk Kaum Muslimin, S. M. N. al-Attas.

2) Pembangunan Di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna, Wan Mohd Nor Wan Daud.

3) Tiga Pengertian Sains: ke arah Usaha Penyedaran Semula Misi Pengislaman Sains dan teknologi Menurut Kerangka Faham Syed Muhammad Naquib al-Attas, Adi Setia.

Comel Melihat Budak Membaca

October 23, 2010

Tempat yang paling saya gemari untuk kunjungi ialah kedai buku. Antara yang utama ialah Kinokuniya dan MPH Bookstore. Sewaktu MPH menawarkan jualan buku beserta diskaun kepada yang mempunyai Member Card, saya pergi mengunjunginya, pada hari Ahad. Selepas beli beberapa buku, saya berehat di tempat rehat yang disediakan khas untuk sesiapa yang menjadi ahli MPH.

Ketika itu, kelihatan seorang bapa beserta 2 orang anaknya, seorang abang dan adik perempuannya sekitar umur 4 dan 2 tahun. Si bapa sedang membaca, begitu juga anak-anaknya yang khusyuk membelek buku-buku cerita bergambar.

Dalam hati saya, begitulah seorang bapa mula menanam minat mereka terhadap ilmu.

Hari minggu membawa keluarga ke kedai buku. Sambil bersantai membaca di samping anak-anak. Sudah tentu ini akan membawa kesan mendalam dijiwa anak-anak tadi, apabila melihat ibubapa mereka ada seorang yang cintakan ilmu.

Tapi perlu berjaga-jaga. Bila bercakap dalam konteks menggalakkan anak-anak cintakan ilmu dan membaca, bukan bermaksud memaksa mereka buat latihan untuk peperiksaan semata-mata.

Buat ibubapa yang muda, tanamkan diri cintakan ilmu, sayangkan ulama dan teruskan menjadikan ia sebagai budaya dalam hidup.

TAKAFUL Vs. RIBA

October 21, 2010
tags: ,

Beberapa hari minggu lepas, saya dihubungi oleh seorang warga kerja CELCOM. Katanya, mahu memperkenalkan perkhidmatan baru kepada para pengguna CELCOM yang setia. Perkhidmatan baru yang dimaksudkan ialah skim takaful dengan kerjasama CIMB AVIVA.

Beliau meminta kebenaran saya untuk bercerita tentang produk tersebut. lalu saya membenarkan beliau mengambil masa saya, kerana saya faham kerja beliau. Sekitar 15 minit beliau bersembang dengan saya berkenaan dengan skim takaful tersebut. Menakjubkan! Sebab ada orang sudi dengar beliau berceloteh panjang perihal produk tersebut.

Saya cuba memahami manfaat yang beliau cuba sampaikan. Bagi saya, tiada masalah dalam hal tersebut. Cuma yang menjadi persoalan besar di sini apabila beliau bertanya, sama ada saya pengguna kad bank CIMB atau tidak. Lalu saya katakan ya.

Selanjutnya beliau bertanya lagi, sama ada kad yang saya miliki bewarna hijau (CIMB ISLAMIC) atau bewarna merah (CIMB CONVENTIONAL). Lalu saya katakan saya punya bewarna hijau.

Tiba-tiba, beliau maklumkan bahawa untuk menggunakan perkhidmatan ini, saya mesti menggunakan kad merah (CIMB KONVENTIONAL). Setakat ini, CIMB ISLAMIC tidak boleh digunakan.

Menyirap juga bila dengar. Pelik. Perkhidmatan TAKAFUL, tapi cara pembayaran guna KONVENSIONAL.

Saya tidak marahkan beliau secara keseluruhan, sebab saya tahu, beliau juga pekerja biasa. Jika tidak, masa-kan masih sanggup menjadi promoter untuk produk yang celaru dan menghinakan ini.

Ada yang tidak kena dengan keadaan yang baru saya alami ini. Bagaimana aplikasi halal dan haram ini boleh bergabung?

Eksekutif Syariah mereka membenarkan perkara ini berlaku ke?

Siapa kerja CIMB dan CELCOM, sila jawab!!!

Tanggungjawab Diri

October 20, 2010
tags:

Tanggungjawab terhadap diri harus dihayati sebelum berfikir berkenaan dengan tanggungjawab kepada ummah.

Asasnya ialah menjadi insan beradab. Tetapi maksud adab ini bukannya seperti yang menjadi maksud kebiasaan yang kita fahami, contohnya, jalan tunduk apabila di depan orang tua, berkata lemah lembut, bersalam cium tangan bila dengan orang tua dan sebagainya.

Lebih mendalam dan lebih tepat, maksud adab di sini ialah mengakui bahawa setiap sesuatu mempunyai tempat yang tersendiri, oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meletakan ia betul pada tempatnya. Konsep ini amat rapat dengan konsep keadilan. Lawan bagi adil ialah zalim.

Ketiadaan atau kehilangan adab ini adalah antara punca utama berlakunya permasalahan umat hari ini. Ia adalah konsep asas, tetapi dilupai. Mungkin kerana ketidak-fahaman terhadapnya atau juga kekeliruan yang sedang dihadapi hampir kebanyakan umat Islam.

Kerana itu, Prof Al-Attas membuat kesimpulan yang konkrit untuk kita sebagai orang awam, benar-benar mengetahui permasalahan umat terlebih dahulu sebelum bertindak menghadapinya. Prof al-Attas mendedahkan bahawa permasalahan yang berlaku kini, seperti kemelut masalah ekonomi, masalah politik umat Islam, masalah sosial dan pelbagai lagi masalah – dan ia bukan sahaja diperingkat negara, tetapi berlaku disetiap peringkat masyarakat, ia sebenarnya bukanlah masalah sebenar. Ia hanya simptom atau gejala akibat daripada permasalahan utama yang disebut beliau sebagai ‘vicious cycle’. Lingkaran ini adalah 3 masalah utama umat Islam hari ini iaitu:

1) Kecelaruan ilmu, lalu melahirkan;

2) Ahli masyarakat yang kehilangan adab, hasilnya lahirlah;

3) Para pemimpin yang tidak layak untuk memimpin

Menurut Prof al-Attas lagi, antara 3  punca yang saling berkaitan dan berterusan berlaku ini, Kecelaruan terhadap ilmu adalah punca kepada 2 lagi permasalahan selepasnya. Ahli masyarakat sudah hilang pedoman dan keliru, di mana mahu meletakkan kedudukan ilmu tafsir berbanding ilmu kejuruteraan. Ahli masyarakat sudah tidak memahami yang mana satu ilmu fardhu ain dna mana satu fardhu kifayah, sampai bila mahu belajar agama, adakah bila masuk universiti maka pendidikan Islam tidak perlu diajar, berlakunya ‘double standard’  antara pengkhususan sains dan teknologi dengan pengkhususan ilmu wahyu dan banyak lagi contoh kekeliruan yang berlaku dalam ahli masyarakat. Kesan daripadanya, lahirlah masyarakat yang hilang adab.

Hilang adab terhadap para ulama’ misalnya, menjadikan ulama’ sebagai tempat rujukan sesetengah perkara, seperti untuk menyelesaikan masalah rukun Islam, tetapi bila soal sains dan teknologi, mereka menganggap tiada apa yang perlu dilakukan oleh mereka (para ulama’) kerana mereka bukan ahli! Ini sungguh dangkal kerana amat jauh berbeza dengan tradisi keilmuan Islam terdahulu yang langsung tidak mengasingkan antara ilmu agama dan sains. Bahkan, sains dan teknologi itu sendiri lahir daripada pencerapan para ulama terhadap al-Quran dan sunnah.

Hilang adab juga dizahirkan kepada alam sekitar. Pembangunan yang sarat dengan falsafah barat, yang bersifat material, menjadi faktor kepada proses pembangunan yang berat sebelah, lalu mengakibatkan bangunan-bangunan menjadi antara penentu utama kepada pembangunan sesebuah negara, berbanding pembangunan jiwa insan yang menekankan aspek kejujuran, amanah, kesabaran, berani, kukuh jati diri dan sebagainya. Indeks-indeks utama yang datang dari Barat pula menjadi kebanggaan dan sebut-sebutan untuk diikuti tanpa menapis dan berusaha membuat indeks dalam lingkungan tersendiri, contohnya penglibatan OIC dalam mengusahakan indeks Pembangunan Insan yang tersendiri. Sudah tentu ia berbeza keputusannya berbanding dengan menggunakan INdeks Pembangunan Insan sedia ada.

Idea ini pernah diutarakan oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud di dalam karyanya ‘Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Yang Baru’.

Saya baru berkongsikan dua contoh semasa dan belum menyentuh kehilangan adab dalam sektor-sektor yang lain, baik diperingkat sebuah keluarga kecil hinggalah keperingkat dalam proses keputusan-keputusan yang dibuat oleh pembuat dasar-dasar negara.

Apabila maslah utama satu dan dua diadun dengan baik, lahirlah para pemimpin yang tidak layak memimpin. Negara jadi huru hara. falsafah Barat yang tandus wahyu menjadi dukungan dan kiblat pedoman. Perkataan ‘islamic’ diwar-warkan seribut mungkin untuk menunjukkan negara sebagai sebuah Negara Islam, sedangkan proses yang dilakukankan tidak tepat dan memerlukan satu ‘post-mortem’ yang jujur dilakukan ke atasnya. Jika tidak, ia amat merugikan semua pihak dan umat Islam seluruhnya, kerana secara berterusan pendidikan sedia ada mengorbankan berjuta-juta hak umat Islam daripada sepatutnya mendapat pendidikan seperti yang Islam kehendaki, kepada ‘terpaksa’ pasrah akibat sifat kemajmukan kaum, walhal kemajmukan kaum bukan satu penghalang jika mereka memahami ketamadunan islam yang lebih majmuk daripada masa kini.

Pemimpin muda harus bersedia dengan ilmu, melebihi bersedia dengan propaganda yang tiada ‘substance’.

Wallahu alam.

Kembali Ke Asal

October 19, 2010
tags:

Ia mungkin mimpi. Atau andaian. Atau juga harapan dan cita-cita. Yang pasti ia selalu bermain difikiranku.

ISTAC akan kembali seperti dahulu. Berperanan membentu generasi Muslim yang adabi. Ia dibarisi oleh para pensyarah yang berwibawa serta mempunyai kebersihan hati untuk mendidik generasi Muslim yang adabi.

Dewan Utamanya akan dipenuhi pada setiap minggu dan dihiasi dengan syarahan mingguan yang sarat dengan idea hijau. Hijau isinya dan senantiasa hijau.

Hadirin yang memenuhinya adalah golongan ilmuan yang sangat ikhlas dalam usaha memperbaiki keadaan ummah.

Perpustakaannya juga, dipenuhi dengan para pelajar yang dahagakan ilmu. mereka menggeledah manuskrip-manuskrip lama lagi amat jarang keberadaannya di dunia fana ini, untuk di tatap, difahami dan digali ilmu yang ada. hasilnya dipaparkan kepada generasi kini, yang semakin tandus jati diri. Fikiran dijajah cara halus. Proses imitasi menjadi berleluasa dan ini adalah tanda semakin hilangnya jati diri.

Berbalik kepada ISTAC, pancutan air di tamannya menjadi hidup semula, kesan ruhani yang memenuhi tujuan keberadaannya di tengah-tengah ISTAC. Sesiapa yang memahami konsep kewujudannya, pasti akan jatuh cinta padanya.

Sekian.